Tuesday, October 25, 2011

Hutang Amerika

Diukur dari segi nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hutang negara Amerika (2010: 92%) adalah yang keempat tertinggi di dunia selepas negara Greek (123%), Itali (127%) dan Jepun (197%). Kesemua negara ini menghadapi pelbagai masalah ekonomi termasuk kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Ahli ekonomi masih berbahas tentang paras hutang negara yang membahayakan ekonomi. Di antaranya, Kenneth Rogoff dan Carmen Reinhart berhujah bahawa bagi negara-negara maju, hutang negara mencapai paras bahaya apabila nisbah HN:KDNK mencecah 90% dan ke atas kerana ia memudharatkan pertumbuhan ekonomi. Bagi negara-negara sedang membangun, pertumbuhan ekonomi tertekan apabila nisbah hutang luar negara kepada KDNK mencecah 60%. Mereka seterusnya memerhatikan bahawa jarang didapati negara yang terjebak dalam hutang boleh membebaskan diri darinya dengan mudah. Prof. Paul Krugman pula berpendapat sukar untuk menentukan “paras hutang berbahaya.” Beliau melihat sebaliknya, iaitu, pertumbuhan ekonomi yang rendah menyebabkan hutang negara meningkat. Contohnya, hutang negara Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika meningkat kerana pertumbuhan ekonomi mereka berpanjangan rendah.

Pengerusi Federal Reserve, Ben Bernake pula berhujah pengalaman dan teori ekonomi tidak menunjukkan dengan jelas paras hutang negara yang membahayakan kemakmuran dan kestabilan ekonomi tetapi mengingatkan bahawa hutang negara yang semakin besar meningkatkan risiko mungkir membayar balik hutang. Oleh itu, beliau mengsyorkan adalah wajar bagi Amerika melaksanakan rancangan mengurangkan defisit belanjawan ke paras lestari bagi menyahkan kemungkinan mungkir bayar hutang.

Hutang negara Amerika telah bertambah pada purata sebanyak USD500 bilion setahun dalam tempoh 2003-07, USD1 trilion dalam tahun 2008, USD1.9 trilion (2009) dan USD1.7 trilion (2010). Setakat 3 Ogos 2011, ia berjumlah USD14.34 trilion. Nisbah HN:KDNK mencecah 96% (KDNK: USD15.003 trilion pada 30 Jun 2011). Akibatnya, pada 5 Ogod 2011, Standard and Poor (S&P), sebuah syarikat penarafan kredit yang utama di dunia, telah menurunkan taraf kredit berdaulat Amerika dari AAA kepada AA+ dan meletakkan prospek jangka panjang sebagai negatif dengan kemungkinan penarafan diturunkan kepada AA pada bila-bila masa dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini bermakna wujud kemungkinan Amerika akan mungkir membayar hutang.

Belanjawan 2010 pentadbiran Presiden Obama mengunjurkan peningkatan hutang negara yang besar, mencecah USD20 trilion dalam tahun kewangan 2015 (TK 2015) dan nisbah HN:KDNK mencecah 100% dalam TK 2020 (Andaian: KDNK berkembang 2.6-4.6% setahun dalam tempoh 2010-2019). Bagaimana pun, unjuran ini meleset kerana nisbah HN:KDNK telah pun mencapai hampir 100% dalam tahun 2011, sembilan tahun lebih awal.

Jabatan Audit Negara Amerika pula melakarkan keadaan yang lebih pesimistik dengan unjuran nisbah HN:KDNK meningkat kepada 200% dalam tahun 2040, 400% dalam tahun 2060 dan 600% dalam tahun 2080 sebahagian besarnya disebabkan peningkatan ketara dalam perbelanjaan mandatori (terutamanya sekuriti sosial, medicare, Medicaid dan bunga hutang negara) yang dijangka mencapai 20% daripada KDNK dalam tahun 2080. Ini bersamaan nisbah pungutan cukai kepada KDNK, bermana hasil cukai hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mandatori. Maka, perbelanjaan diskresionari (seperti pertahanan, keselamatan dalam negara, pendidikan, penguatkuasaan undang-undang da lain-lain) harus dibiayai dari sumber bukan cukai. Di atas sebab inilah S&P melihat wujud kemungkinan bahawa Amerika bukan sahaja akan mungkir membayar hutang tetapi juga mengalami ketidakcukupan dana untuk menampong perbelanjaan.

Kenapa Hutang Negara Amerika terus meningkat sehingga menjerumuskan negara itu ke dalam krisis hutang? Defisit belanjawan meningkatkan hutang sementara lebihan mengurangkan hutang. Belanjawan yang sentiasa dalam defisit sepanjang beberapa dekad kebelakangan menyebabkan hutang negara Amerika meningkat tahun demi tahun. Dalam tahun 1994, hutang negara berjumlah USD4.65 trilion atau 67% dari KDNK. Dalam masa enam tahun berikutnya ia telah meningkat hampir tiga kali ganda menjadi USD13.551 trilion atau 93.4% daripada KDNK pada tahun 2010. Dalam tempoh Oktober 2010 – Februari 2011 ia mencecah USD14.1 trilion atau 96.8% daripada KDNK.

Tempoh semenjak tahun fiskal 2001 hingga sekarang memperlihatkan keadaan fiskal negara Amerika semakin buruk. Unjuran Jabatan Belanjawan Kongres (CBO) bahawa Amerika akan mengalami lebihan belanjawan dalam tempoh tahun kewangan 2009-2012 sebanyak kira-kira USD850 bilion setahun meleset sekali. Realitinya, berlaku defisit belanjawan pada kadar purata sebanyak USD 1.125 trilion setahun, satu lonjakan sebesar hampir USD2 trilion. Kenapa ini terjadi?

Dalam penjelasannya, Presiden Obama menyatakan bahawa sebanyak USD5 trilion daripada jumlah defisit belanjawan dalam tahun 2010-2019 (dianggarkan berjumlah USD9 trilion) berpunca dari penerusan program pentadbiran sebelum beliau termasuklah langkah pengurangan cukai tahun 2001 dan 2003 dan peningkatan perbelanjaan Medicare. Sebanyak USD3.5 trilion lagi berpunca dari belanja menangani krisis kewangan dan peningkatan belanja sekuriti sosial. Selebihnya ialah belanja berkaitan perlaksanaan pakej rangsangan dan menyelamatkan syarikat korporat.

Kajian Pew Center (April 2011) menunjukkan hayunan yang besar ini berlaku kerana, di antaranya, faktor-faktor berikut: (1) kemerosotan hasil kerana kemerosotan ekonomi (28%), (2) peningkatan belanja pertahanan (15%), (3) langkah penurunan cukai pentadbiran George Bush (13%), (4) peningkatan bayaran faedah hutang negara (11%), (5) lain-lain belanja bukan pertahanan (10%), (6) lain-lain langkah penurunan cukai (8%) dan (6) langkah rangsangan ekonomi pentadbiran Obama (6%). Dalam jangka panjang (tahun 2030-2040), perbelanjaan mandatori akan melebihi hasil cukai. Maka, perbelanjaan akan terpaksa dibiayai dengan berhutang. Sekiranya perubahan yang drastik tidak dilakukan ke atas perbelanjaan mandatori, pada tahun 2040, nisbah HN:KDNK akan mencecah 200%.

Siapakah yang meminjamkan wang kepada Amerika? Amerika meminjam dari sumber dalam negera – sekitar 50% – iaitu, dari Dana Keselamatan Sosial dan Fedreserve (berkaitan pelaksanaan dasar monetari) dan lain-lain sumber dalam negara. Hutang dari sumber ini diklasifikasikan sebagai “intra-governmental holdings” dan dianggap “tidak membimbangkan.” Pemegang awam surat hutang Amerika terdiri dari pemegang dalam negara dan pemegang asing.

Setakat Januari 2011, sebanyak USD9.49 trilion atau 47% dari hutang negara Amerika ada di dalam tangan pemegang awam. Hutang dari sumber luar negara semakin membesar, dari 13% dalam tahun 1988 kepada 25% dalam tahun 2007. Setakat Januari 2011, sebanyak USD4.45 trilion atau 32% daripada hutang negara Amerika datangnya dari sumber luar negara. Pemegang asing surat hutang Amerika yang terbesar ialah China (setakat November 2011 – 26%), Jepun (20%), United Kingdom (6%), Negara pengeksport minyak (5%), Brazil (4%), Pusat Perbankan Caribbean (4%), Taiwan (4%), Russia (4%), Hong Kong SAR (4%), Switzerland (3%) dan lain-lain. Hutang dari sumber luar negara inilah yang membimbangkan Amerika kerana ia mendedahkannya kepada risiko kewangan dan politik sekiranya pemegang surat hutang tiba-tiba menjual surat hutang itu dan bila bank-bank asing enggan membeli surat hutang Amerika. Memandangkan aset yang didenominasi dalam USD telah mengalami susut nilai, ramai pelabur dalam surat hutang Amerika telah mengalami kerugian besar sejak.

Ahli-ahli ekonomi tidak menolak kemungkinanpelabur-pelabur akan secara tergesa-gesa mencairkan pegangan surat hutang Amerika dan memberi amaran bahawa kemungkinan ini tidak boleh dipandang ringan. Jika ini berlaku, nilai matawang Amerika (USD) akan terus susut dan pemegang aset yang didominasi dalam USD terus rugi. Jika wujud sesuatu keadaan yang memburukkan ketidakyakinan pelabur dalam aset didenominasi dalam USD (misalnya, Amerika mungkir membayar hutang), pelabur akan bertindak menyekat kerugian lalu menjerumuskan Amerika ke dalam krisis pasaran kewangan yang serius. Bersamanya, akan terjadi kekalutan dalam pasaran kewangan dunia dengan implikasi besar ke atass ekonomi pelbagai negara.

Pelarian dari USD telah mula berlaku. Misalnya, bermula pada 20 Mei 2007, negara Kuwait tidak lagi mengikat matawangnya kepada USD semata-mata, sebaliknya, mengikat matawangnya kepada “sebakul matawang.” Negara Syria juga berbuat demikian pada 4 Jun 2009. Dalam bulan Novewmber 2009, China, Russia dan India menambahkan emas ke dalam pegangan rezab antarbangsa masing-masing.

Ahli ekonomi melihat hutang negara Amerika yang tinggi boleh membawa mudharat berikut: (1) semakin besar tabungan akan digunakan untuk membeli surat hutang keraajaan, bukannya dilabur dalam barangan modal produktif (pelaburan) dan ini menjejaskan pendapatan, (2) sekiranya kadar cukai dinaikkan untuk membayar bunga hutang, tabungan akan berkurangan dan semangat bekerja luntur, (3) bunga hutang yang semakin tinggi akan memaksa kerajaan memotong atau mengurangkan perbelanjaan ke atas program-program awam yang penting, (3) risiko akan melutusnya krisis fiskal secara mendadak semakin tinggi menyebabkan pemberi hutang meminta kadar bunga yang lebih tinggi, (4) hutang yang lebih tinggi memaksa kerjaaan untuk mengkitarkan semula hutang, iaitu, membayar hutang dengan membuat pinjaman baru yang akhirnya membawa kepada peningkatan bertersusan hutang negara, (5) sekiranya kerajaan meminjam dari luar negara, maka semakin besar penggantungan dana kepada sumber luar negara dan bila persepsi mengenai risiko berubah dengan mendadak di pasaran surat hutang, maka kos hutang akan turut naik dengan mendadak, dan (6) penggantungan yang semakin tinggi ke atas sumber luar negara menyebabkan kebebasan Amerika untuk menentukan polisi dan tindakan akan lebih terbatas.

Prof. Laurence Kotlikoff, dalam menilai kedudukan fiskal Amerika memberi amaran bahawa akhirnya Amerika akan terpaksa memilih di antara menjadi sebuah negara yang bankrup, menaikkan cukai atau memotong perbelanjaan. Amerika sekarang terjebak dalam “perangkap besar tiga lapis” – belanja besar, defisit besar dan hutang besar. Ia mendapati sukar untuk melepaskan diri dari perangkap ini seperti mana yang dikatakan oleh Prof. Kenneth Rogoff dan Prof. Carmen Reinhart bahawa jarang didapati negara yang terjebak dalam hutang boleh membebaskan diri darinya dengan mudah. Inilah padah pengurusan fiskal yang tidak berdisiplin dan inilah padah defisit belanjawan yang tidak terkawal.


Subang Jaya
Selasa 23 Ogos 2011
Hutang Amerika

1 comment:

Neutronboy said...

Maaf andai luar tajuk, Dr. Cuma saya ingin bertanya pendapat pasal mende ni.

http://sphotos-c.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash3/542155_421346904581544_2064749865_n.jpg

macam mana boleh terhasil pengiraan sebegini dan adakah lagik? dan boleh x Dr buat huaraian pasal ni?

Terima kasih kerana sudi membaca dan saya sangat berbesar hati jikalau Dr dapat memberi response dan jawapan terhadap persoalan ni.

wasalam