"Whether it is the splendour of monarchy or the spectacle of democracy, if politics is separated from religion, all that is left is tyranny and anarchy." Mohammad Iqbal, Faith and Politics
Wednesday, August 17, 2011
Bermunajat di Tebing Sungai Turag
Saya sudah bermastautin di Dhaka selama hampir lima tahun semenjak tahun 2006 dan hadir sebanyak empat kali di Ijtima Tabligh Sedunia (Bishwa Ijtima). Saya tidak hadir pada Bishwa Ijtima tahun 2010 tetapi hadir di Ijtima Tabligh Malaysia yang di adakan di Negeri Sembilan pada tahun itu.
Diakui sebagai perhimpunan tahunan terbesar umat Islam selepas perhimpunan tahunan Haji di Mekkah, Bishwa Ijtima – yang bermula pada tahun 1967 - diadakan dalam bulan Januari setiap tahun. Pada tahun ini, ia diadakan dalam dua sesi, iaitu, pada 21-23 Januari dan pada 28-30 Januari (hari Jumaat, Sabtu dan Ahad). Kehadiran yang semakin besar - mencecah 2.5 juta peserta pada Ijtima tahun lepas - memaksa penganjur, Jamaat Tablighi Bangladesh, memecahkan Bishwa Ijtima 2011 kepada dua sesi.
Bulan December-Januari adalah musim sejuk di Bangladesh di mana suhu boleh turun ke satu angka berbanding suhu biasa sekitar 15-20 darjah selsius. Di samping suhu yang sejuk, dalam dua bulan ini, bumi Bangladesh diselubungi kabus dan berdebu. Udaranya kering dan kaku, sinar mataharinya kurang bermaya dan hujan biasanya tiada. Inilah musim yang sesuai untuk mengadakan Ijtima di tempat terbuka yang berlantaikan tanah dan beratapkan langit.
Dalam tahun 2009, Bishwa Ijtima ditamatkan lebih awal kerana hujan lebat menyebabkan suhu turun ke paras paling sejuk pernah dirakam dalam sejarah Ijtima dan tapak Ijtima berair dan berlumpur, tidak boleh dihuni. Ada karkun yang lanjut umur dan bermasalah kesihatan meninggal dunia ketika itu dimamah kesejukan.
Ijtima tahun ini berlangsung dalam suasana dan cuaca yang cukup enak dan nyaman. Suhu di Tongi adalah dalam belasan darjah selsius, kabus tidak tebal, debu pun kurang dan matahari bersinar di sepanjang hari. Hanya suhu malam sahaja yang sejuk, sekitar 8-12 darjah selsius. Tiada hujan selama tiga hari itu.
Saya dan seorang kawan bersama-sama dengan pemandu kereta betolak dari rumah ke tapak Ijtima pada pukul 9.30 pagi hari Jumaat. Jalan yang kami lalui memang sesak tetapi kenderaan masih boleh bergerak, sekadar perlahan. Perjalanan se jauh kira-kira 12 kilometer dari rumah saya di Gulshan, ke tapak Ijtima di Tongi, di pinggir sebelah utara Kota Dhaka, memakan masa kira-kira satu setengah jam, empat kali ganda waktu biasa.
Kenderaan saya tidak dibenarkan masuk ke dalam tapak Ijtima kerana tiada berpelekat khas. Pemandu saya berpatah balik ke tempat letak kereta di perkarangan bangunan Cancer Hospital (milik Dhaka Ahsania Mission) dan meletakkan kenderaan di situ. Hospital ini terletak kira-kira satu kilometer dari kemah antarabangsa di dalam tapak Ijtima. Dari situ saya berjalan kaki ke tapak Ijtima.
Keluasan Tapak Ijtima ialah 165 ekar. Apabila saya sampai di situ, saya dapati ianya sudah pun penuh sesak dengan manusia. Peserta Ijtima tiba dari seluruh pelusuk Bangladesh. Dari daerah-daerah yang jauh, mereka datang dengan menaiki bas, minibas, mikrobas, kenderaan pelbagai guna, kereta dan keretapi. Ada juga yang datang dengan menaiki lori barang. Tidak kurang pula yang datang dengan menaik bot, feri dan sampan melalui rangkaian sungai-sungai yang berselirat di Bangladesh. Mereka kemudian masuk ke Sungai Turag. Di tebing Sungai Turag inilah terletaknya tapak Ijtima. Dari lokasi yang berhampiran dengan tapak Ijtima, peserta datang dengan menaiki beca dan tut-tut beroda tiga, menonggang motosikal dan basikal. Ramai yang datang dengan berjalan kaki.
Kecuali kenderaan yang berpelekat khas, tiada kenderaan dibenarkan masuk ke dalam tapak Ijtima yang berpagar keliling itu. Jalan masuk hanyalah melalui pintu-pintu yang di kawal ketat oleh pengawal keselamatan. Kenderaan dikehendaki diletakkan ditempat letak kenderaan yang dibenarkan.
Peserta datang membawa bekalan masing-masing – pakaian, blanket, tilam kecil dan bantal, bekalan makanan dan air dan kelengkapan dapor. Kesemuanya di bawa dengan memikul di atas bahu atau kepala atau diheret (beg beroda) ke dalam tapak Ijtima.
Peserta luar negara ke Ijtima tahunan ini sudah mula tiba se awal bulan Januari. Ketika saya tiba di Lapangan terbang Hadrat Shahjalal, Dhaka dari Kuala Lumpur pada malam 9 Januari 2011, saya dapati tempat sembahyang berjemaah telah disediakan di suatu sudut di balai ketibaan. Saya perhatikan ramai karkun bersembahyang di situ sebelum mereka meneruskan perjalanan ke tempat lain atau ke Tongi. Setiap tahun, tidak kurang dari 100,000 orang peserta luar negara menghadiri Ijtima tahunan ini. Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia. Seramai 3,000 peserta datang dari Malaysia.
Bishwa Ijtima dianjur dan diurus oleh Jemaah Tabligh Bangladesh dengan sokongan jemaah Tabligh dari lain-lain negara. Kesemua pekerjanya - dari pegurusan tertinggi sampai kepada pemungut sampah di tapak Ijtima - terdiri dari sukarelawan. Memang menjadi kelaziman jemaah Tabligh mewujudkan pasukan khidmat sukarela semasa keluar berdakwah.
Makanan percuma disediakan kepada peserta luar negara di sepanjang ijtima berlansung. Jadi, tidak perlulah mereka membawa dapur dan periok-belanga. Namun, ini tidak menghalang mereka untuk membawa bekalan makanan sendiri khasnya makanan ringan dan minuman. Bekalan makanan termasuk beras, kacang dal, daging lembu, kambing dan ayam, minyak masak, rempah ratus dan sayur-sayuran dan air minuman mineral, sebahagian besarnya, disumbang oleh orang ramai. Di Bangladesh, ramai ahli perniagaan yang menyokong gerakan Tabligh. Ada syarikat korporat yang mendermakan kenderaan untuk kegunaan semasa Ijtima. Mereka juga menaja pemasangan kain rentang, sepanduk dan papan tanda mengenai Ijtima dan peta tapak Ijtima di lokasi-lokasi strategik sekitar Kota Dhaka.
Memang tidak mudah untuk menyediakan makanan untuk 100,000 peserta luar negara selama tiga hari berturut-turut. Bayangkan jumlah makanan yang perlu disediakan dan kelengkapan dapur dan pinggan- mangkuk yang perlu ada. Bayangkan berapa ramai pula tukang masak dan pekerja dapor yang diperlukan. Memang kepakaran, kecekapan dan kesabaran para petugas di jabatan makanan dan minuman cukup tercabar dan teruji dalam tempoh tiga hari ini. Syabas kepada mereka kerana telah berjaya melaksanakan tugas berat itu.
Peserta dalam negara – yang datang berkumpulan - menyediakan makanan mereka sendiri. Mereka datang membawa dapor masak, periok-belanga, dulang bulat-besar dan pinggan-mangkuk di samping bahan-bahan makan seperti beras, dal, gula, minyak masak, rempah ratus dan sebagainya. Lain-lain keperluan seperti daging, ikan, roti dan air minuman mereka beli dari penjaja-penjaja di sekitar pekan Tongi. Di tapak Ijtima ada orang yang menjual kayu api. Setiap kumpulan ada pasukan tukang masak masing-masing. Bayangkan, berapa banyak makanan yang perlu disediakan untuk ratusan ribu manusia selama tiga hari. Kita boleh perhatikan pesta masak memasak di sekitar tapak Ijtima dan menghidu aroma dari pelbagai jenis masakan. Sungguh enak. Ketika waktu makan, tapak Ijtima bertukar menjadi restoran gergasi.
Bukanlah satu perkara mudah untuk mengurus aliran kira-kira 2.5 juta manusia yang berhimpunan di suatu kawasan yang kecil. Tetapi pengurusan yang bersistem dan cekap ditambah oleh peserta yang berdisplin tinggi dengan pancaran akhlak Islam membolehkan Ijtima berlangsung dengan jayanya tanpa berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Inilah keajaiban Bishwa Ijtima ini.
Kerajaan juga membantu di dalam pengurusan Ijtima. Dilaporkan seramai 12,300 anggota pelbagai pasukan penguatkuasa undang-undang termasuk Batalion Gerak Cepat (Rapid Action Battalion – RAB) dan agensi perisikan negara di kerah bertugas di sekitar tapak Ijtima bagi menjamin ianya berlangung dalam suasana aman, bebas dari sebarang sabotaj dan ancaman keselamatan.
Sistem kawalan keselamatan pelbagai lapis diwujudkan. Pertama, pasukan keselamatan membina menara pemerhati di lokasi yang strategik di sekeliling tapak Ijtima dan memasang rangkaian TV litar tertutup pada lokasi tertentu di dalam dan di luar kawasan Ijtima untuk memantau pergerakan manusia dan mengesan unsur dan watak yang meragukan. Saya juga melihat anggota keselamatan ditempatkan di atas bumbung bangunan tinggi dan minar masjid di sekitar tapak Ijtima.
Kedua, anggota keselamatan ditempatkan di pintu-pintu masuk untuk membantu petugas sukarela mengawal aliran keluar-masuk di tapak Ijtima. Sebahagiannya pula ditugaskan meronda di sekeliling dan sekitar kawasan Ijtima.
Ketiga, anggota polis bertugas mengawal lalu lintas, mengurus aliran manusia dan menunjuk arah. Semasa Ijtima berlangsung, khasnya pada waktu sembahyang Jumaat (hari pertama Ijtima), sebahagian besar hari kedua (Sabtu) dan dari waktu fajar sehingga selepas waktu zuhur pada hari ketiga (Ahad), jalan-jalan tertentu di sekitar kawasan Tongi ditutup. Misalanya, Jalan Tongi Station ditutup. Kenderaan yang hendak ke Sylhet dari Dhaka dan sebaliknya diarahkan ke Jalan Kanchpur-Jatrabari. Juga, jalan Kaliganj-Dhaka ditutup dan kenderaan diarahkan ke Jalan Morkun, Tongi. Tiada kenderaan kecuali ambulan dan kenderaan yang membawa pekerja-pekerja syarikat penerbangan Biman dibenarkan melalui Jambatan Dhaur, Jalan Abdullahpur dan Jambatan Tongi semasa Ijtima berlangsung.
Keempat, pasukan polis berhelikopter pula dikerah meronda ruang udara sementara pasukan polis bot laju mengawal kawasan perairan di sekitar tapak Ijtima khasnya di Sungai Turag. Juga, anggota keselamatan di dalam pick-up van mundar madir di jalan-jalan raya utama di pekan Tongi menjaga keselamatan.
Pihak berkuasa bekalan air khasnya Lembaga Bekalan Air Dhaka (Dhaka WASA) dan Tongi (Tongi WASA) membina perigi-perigi bertiub bagi menjamin bekalan air yang mencukupi semasa ijtima berlangsung. Lori-lori pembekal air juga disediakan. Sebanyak 2,000 tandas awam sementara juga dibina di lokasi tertentu di kawasan Ijtima. Di dalam tapak Ijtima memang ada bangunan tandas awam dan tempat wudhu tetapi tidak mencukupi.
Juga, diwujudkan pusat kesihatan sementara lengkap dengan pasukan perubatan (doktor dan jururawat) dan ambulan di tapak Ijtima. Pusat kesihatan ini mampu mengendalikan kes-kes kecemasan dan menghantar dengan segera pesakit-pesakit yang memerlukan rawatan lanjut ke hospital-hospital berdekatan. Empat orang peserta termasuk seorang karkun dari Malaysia berusia 63 tahun yang bernama Abu Bakar bin Mansur meninggal dunia ketika Ijtima berlangsung. Arwah telah dikebumikan di kawasan perkuburan Islam Tongi. Rawatan perubatan adalah percuma.
Pasukan bomba juga bertugas untuk mengawal kebakaran. Tiada sebarang kebakaran berlaku ketika Ijtima berlangsung.
Dari tempat letak kereta, saya terus berjalan menuju ke kemah antrabangsa untuk menyertai karkun-karkun dari Malaysia. Saya menyeberangi Sungai Turag melalui jambatan terapung yang dibina oleh pasukan tentera Bangladesh untuk sampai ke kemah antarabangsa itu. Ada dua jambatan terapung dibina merestasi sungai. Jarak di antara satu jambatan ke jambatan yang lain kira-kira setengah kilometer. Panjang jambatan pula kira-kira 50-60 meter.
Di sepanjang perjalanan, saya dapati sudah tiada ruang yang tidak dipenuhi manusia. Namun, masih ramai manusia masuk berpusu-pusu ke tapak Ijtima. Juga, boleh dilihat orang sedang memaasak makanan, mandi di tempat mandi yang terbuka dan mengambil wudhu ditempat wudhu yang disediakan. Bila saya tiba di kawasan pentas utama, saya melihat puluhan ribuan manusia sedang duduk mendengar bayan pagi yang disampaikan di dalam Bahasa Urdu.
Saya akhirnya tiba di pintu gerbang masuk ke kemah antarabangsa yang dikawal rapi setelah hampir setengah jam berjalan kaki. Setelah menunjukkan pasport antarabngsa, saya dibenarkan masuk tetapi pemandu saya, orang Bangladesh, tidak dibenarkan masuk. Beliau diarahkan ke kawasan yang dikhaskan untuk peserta tempatan. Seorang pemandu jalan terus membawa saya ke lokasi di mana karkun dari Malaysia ditempatkan di dalam kemah antarabangsa itu. Saya lihat ribuan manusia pelbagai bangsa di dalam kemah itu. Mereka duduk kusyuk mendengar bayan yang diterjemahkan di dalam pelbagi bahasa. Saya mencari ruang kosong untuk duduk tetapi memang tiada ruang yang tidak berpenghuni. Akhirnya, saya memperkenalkan diri kepada seorang karkun dan meminta izin untuk duduk diruang yang diperuntukkan kepada beliau.
Saya bertemu dan berbual-bual dengan beberapa orang karkun dari Malaysia. Salah seorang dari mereka ialah doktor haiwan yang pernah belajar di Universiti Pertanian Bangladesh di Rajshahi dan seorang lagi bekas pegawai tinggi syarikat talipon mobil Aktel (sekarang Robi) yang pernah bertugas di Dhaka dalam awal tahun 1990an. Saya juga bertemu dengan seorang bekas pegawai Jabatan Kerja Raya dari Kelantan yang kini bekerja sendiri. Kami berbual sedikit sahaja kerana tumpuan pada ketika itu ialah untuk mendengar bayan yang sedang disampaikan. Saya sempat memberikan kepada mereka kad perniagaan saya.
Kemah yang dibina amat simpel. Tiangnya buluh dan kemahnya kain guni jut. Lantainya tanah. Di atas tanah itu dihampar tikar jerami berukuran kira-kira 3’ X 4’ setiap keping. Setiap peserta diberi ruang kiranya 12 kai persegi (2’ X 6’). Dalam lengkongan kawasan inilah dihamparkan kain atau tilam kecil sebagai alas tidur dan diletakkan barang-barang yang dibawa. Tiada siapa yang merungut kerana kesederhanaan yang sedemikian sudah serasi dan sebati dengan kehidupan bertabligh. Nyamuk memang banyak berkeliaran. Ada karkun yang memasang kelambu atau kemah kecil.
Ketika saya sampai di kemah, bayan sedang berlangsung. Saya duduk bersama-sama karkun yang lain untuk mendengar bayan yang disampaikan di dalam Bahasa Urdu dan diterjmah ke dalam Bahasa Malaysia oleh seorang karkun Malaysia. Bayan adalah mengenai Iman, Amal dan Dakwah. Di akhir bayan diadakan majlis tashkil, iaitu, memujuk karkun supaya keluar di jalan Tabligh selama sekurang-kurangnya tiga hari (dalam kawasan sendiri dan kawasasan yang berhampiran), 40 hari dan setahun atau lebih (di dalam negeri dan peringkat antarabangsa).
Bayan berakhir pada kira-kira pukul 12.40 petang, sebelum azan sembahyang Jumaat dilaungkan. Saya kemudian beredar keluar dari kemah antarabangsa ke kawasan di mana sembahyang Jumaat akan diadakan. Sebenarnya, seluruh tapak Ijtima dan kawasan yang berhampiran disekelilingnya bertukar menjadi kawasan masjid bila tiba waktu bersembahyang Jumaat. Kawasan Ijtima menjadi lautan manusia. Saya memilih untuk berada di saf yang berhampiran dengan pentas utama.
Se sayup mata memandang, yang kelihatan hanyalah manusia. Ada yang duduk dan ada yang berdiri dan masih ramai pula bergerak masuk ke tapak Ijtima dan mencari ruang kosong untuk menghamparkan sejadah dan duduk. Saya rasa, inilah sembahyang Jumaat yang terbesar di dunia, disertai oleh tidak kurang dari 2 juta manusia, mungkin lebih. Setiap ruang – sejauh mata saya mampu memandang - di dalam tapak Ijtima yang berkeluasan 165 ekar ini penuh sesak dengan manusia.
Sembahyang Jumaat bukan sahaja disertai oleh peserta Ijtima tetapi juga oleh penduduk kota Dhaka dan daerah-daerah yang berhampiran. Penduduk Kota Dhaka berjumlah 10 juta dan jika sekadar 10% sahaja hadir di sini untuk bersembahyang Jumaat, itu sudah mencecah nagka 1 juta umat. Memang menjadi keinginan penduduk Kota Dhaka - walaupun mereka tidak bersedia untuk duduk dan tidur selama tiga hari dan tiga malam di tapak Ijtima - untuk sekurang-kurangnya bersembahyang Jumaat di tapak Ijtima. Sahabat saya – seorang anak muda - datang semata-mata untuk bersembahyang jumaat kerana kata beliau inilah sembahyang Jumaat yang terbesar di Banglasdesh, mungkin juga di dunia. Beliau tidak muhu terlepas peluang untuk berada di dalam jemaah yang begitu besar yang hanya berlaku setahun sekali.
Turut hadir untuk bersembahyang Jumaat ialah orang-orang kenamaan luar negara dan tempatan seperti duta-duta, pegawai-pegawai kedutaan, menteri-menteri, ahli-ahli politik, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan juga ahli-ahli korporat. Kenderaan yang membawa mereka ini di benarkan masuk ke dalam tapak di Ijtima dan diletakkan pada tempat letak kereta khas. Biasanya, mereka diiringi oleh pengawal peribadi masing-masing khasnya duta-duta dari negara-negara seperti Afghanistan dan Pakistan. Kawalan keselamatan memang ketat di lokasi yang dikhaskan untuk orang kenamaan.
Pada anggaran penulis, ahli jemaah yang menyertai sembahyang Jumaat di Bishwa Ijtima tahun ini boleh sahaja mencecah 2 juta orang. Kalau kita berada di dalam helikopter and belegar-legar di ruang udara Tongi, pasti kita boleh melihat saf-saf sembahayang di dalam tapak Ijtima dan di atas jalanraya, lorong-lorong dan tempat-tempat lapang di luar tapak Ijtima. Lalu lintas menjadi kaku dan beku ketika sembahyang Jumaat berlansung. Ruang yang kosong hanya di tempat yang berair.
Khatib sembahyang jumaat ialah Imam Maulana Mohammad Jubayer Al Hafiz, Imam Masjid Kakrail, sebuah masjid Tabligh terletak tidak jauh dari pusat kewangan Motijheel, Dhaka. Khatib ini amat terkenal dengan kewara’annya dan terlalu ramai penduduk Bangladesh mahu menjadi ma’mum di belakang beliau. Kutbah beliau dapat didengar tetapi semasa sembahayang ada gangguan letrik. Bacaan sembahyang beliau tidak dapat didengar. Yang kedengaran hanya suara muezzin bertakbir.
Kesesakan lalu lintas dipekan Tongi menjadi kronik selepas sembahyang selesai. Manusia yang hanya hadir untuk bersembahayng Jumaat bersurai meninggalkan tapak Ijtima sementara peserta Ijtiama pula kembali ke kemah masing-masing. Lepas sembahyang Jumaat adalah masa untuk makan tengahari. Saya tidak makan kali ini kerana demam memantulkan selera saya.
Penulis berehat di dalam kemah antarabangsa sebelum meninggal tapak Ijtima pada kira-kira pukul 3.30 petang untuk pulang ke Gulshan. Pada ketika itu, kesesakan lalu lintas sudah lega tetapi pemandu saya tidak mahu melalui Jalan Abdullahpur. Beliau melalui pelbagai jalan rentas yang tidak pernah saya tempuhi selama ini. Kami tiba di rumah satu jam kemudian.
Kali ini, saya memilih untuk tidak bermalam di tapak Ijtima kerana saya belum betul-betul sembuh dari demam sejuk yang menjangkiti saya dua hari yang lepas.
Hari Sabtu – hari kedua Ijtima – dipenuhi dengan program bayan yang disampaikan oleh ulama-ulama dari pelbagai negara. Di dalam kem antarabangsa, bayan ini diterjemah secara langsung ke dalam pelbagai bahasa menjadikan suasana di dalam kemah bagaikan persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Bayan mengupas persoalan iman, amal dan dakwah. Umat Islam diajak supaya sentiasa memelihara dan mempertingkatkan iman, memperkayakan keyakinan kepada Allah, meningkatkan mutu amalan fardu dan sentiasa berusaha menambahkan amalan-amalan sunat bersesuaian dengan suruhan Nabi SAW supaya menghidupkan sunnah-sunnah beliau. Umat Islam juga digesa keluar menjelajah ke seluruh pelusuk dunia untuk menjalan kerja-kerja tarbiyyah dan dakwah. Di akhir setiap bayan diadakan majlis tashkil.
Satu acara istimewa pada hari kedua Ijtima ialah majlis perkahwinan beramai-ramai tanpa mahar. Kali ini, lebih seratus pasangan diijabkabulkan. Belanja perkahwinan di Bangladesh memang tinggi kerana maharnya tinggi. Lebih teruk lagi, masyarakat Islam masih terikut-ikut dengan budaya Hindu di mana pihak penganti perempuan dikehendaki membayar mahar kepada pengantin lelaki. Ini adalah amalan yang telah diharamkan oleh Islam. Mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat Islam melalui acara simbolik ini ialah, pertama, janganlah biarkan gejala mahar yang mahal menyempitkan ruang perkahwinan dan kedua, gejala pihak perempuan membayar mahar kepada pihak lelaki harus dikikis dari masyarakat Islam.
Bishwa Ijtima tiba dikemuncaknya pada hari Ahad dengan majlis “Akhiri Munajat” atau Munajat Penutup. Faktor Akhiri Munajat menjadi magnet yang menarik ramai manusia ke Tongi, menghasilkan perhimpuan manusia yang lebih besar daripada perhimpuan pada hari Jumaat. Presiden Bangladesh, Perdana Menteri, Sheikh Hasina dan Ketua Pembangkang, Begum Khalidah Zia turut hadir untuk mengaminkan munajat. Ramai lagi orang-orang kenamaan yang turun hadir di majlis Akhiri Munajat itu. Mereka juga adalah magnet yang menarik manusia ke Tongi.
Hari Ahad adalah hari kerja di Bangladesh tetapi saya mengambil cuti untuk ke majlis Akhiri munajat. Pemandu kereta saya mencadang saya bertolak ke Tongi sebaik-baik sahaja selepas sembahyang subuh bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. Kami bertolak dari rumah pada pukul 7.30 pagi – sudah lewat.
Setelah melepasi kawasan Banani, kami masuk ke lebuhraya yang menuju ke lapangan terbang, pekan Uttara dan Tongi. Baru kira-kira lima minit berada di lebuhraya, kenderaan bergerak perlahan kerana lebuhraya ke lapangan terbang sudah penuh sesak. Saya lihat di setiap simpang banyak kenderaan yang berpatah balik ke arah Dhaka.
Setelah berada di dalam kereta selama lebih dari satu jam dan hanya 3 kilometer dari rumah, pergerakan kenderaan terhenti terus. Saya menunggu di dalam kereta selama lima belas minit. Selepas itu, saya memutuskan untuk berjalan kaki bersama-sama orang ramai yang berjalan kaki ke Tongi kerana saya merasa jalan telah ditutup.
Sangkaan saya benar. Setelah berjalan kira-kira sepuluh minit, saya mendapati polis lalu lintas telah meletakkan kerangka besi penghalang jalan merentasi lebuhraya bermula dari simpang masuk ke kawasan Cantonment. Lebuh raya ke lapangan terbang menghala ke pekan Uttara dan Tonggi ditutup terus dari sebarang kenderaan kecuali beca beroda tiga. Di situ, saya melihat polis lalu lintas mengarahkan kenderaan supaya berpatah balik ke Dhaka. Saya menalipon pemandu saya dan menyuruh beliau berpatah balik ke rumah.
Saya terus berjalan kaki bersama-sama ribuan manusia yang memenuhi kedua-dua belah lebuhraya menuju ke Tongi. Selepas berjalan kira-kira dua kilometer, saya merasa letih dan berhenti berjalan. Saya cuba mendapatkan sebuah beca untuk meneruskan perjalanan. Tiada beca yang kosong. Setelah menuggu kira-kira 20 minit, saya bangun dan berjalan semula sambil memerhatikan jika ada beca yang kosong. Tiba-tiba berhenti sebuah beca yang kosong melintas di hadapan saya. Beca berhenti dan saya terus menaikinya tanpa menanyakan tambangnya terlebih dahulu. Saya menyuruh pemandu beca membawa saya ke Tongi. Dia meminta tambang Taka 300. Saya terus setuju. Memang pemandu beca mencari penumpang antarabangsa kerana dia boleh mendapat bayaran yang lebih tinggi. Tambang yang saya bayar itu adalah 6 kali ganda harga biasa.
Pemandu beca tidak melalui lebuhraya, sebaliknya dia membawa saya ke Tongi melalui pelbagai jalan rentas yang memendekkan perjalanan. Lagipun, memang sukar untuk bergerak di lebuhraya kerana ianya padat dengan manusia yang berjalan kaki.
Setengah jam kemudian beca yang membawa saya sampai di satu check-point di luar pekan Tongi. Saya turun di situ kerana hanya orang yang berjalan kaki dibenarkan melepasi check-point ke tapak Ijtima. Pemandu beca meminta bayaran Taka 400 walupun pada awalnya dia telah bersetuju dengan tambang Taka 300. Saya membayar Taka 320 dan terus berjalan ketapak Ijtima yang terletak kira-kira satu kilometer dari check-point. Saya hanya mampu berjalan perlahan dalam lautan manusia.
Saya tiba di tapak Ijtima kira-kira pada pukul 11.30 pagi. Setelah menjumpai sedikit ruang kosong di tengah-tengah lautan manusia, saya pun menghamparkan tikar plastik yang saya bawa dan terus duduk dan mendengar bayan dalam bahasa Bengali yang sedang disampaikan ketika itu sementara menunggu majlis Akhiri Munajat bermula pada pukul 12.30 petang.
Saya berada di lokasi yang diperuntukkan kepada orang tempatan. Tidak ada karkun antarabangsa di situ. Jadi, tiada terjemahan selari ke dalam bahasa asing. Untuk berjalan di tengah-tengah lautan manusia ke kemah antarbangsa sudah menjadi perkara yang mustahil. Kerana tikar saya agak besar, beberapa orang lain juga duduk bersama-sama saya. Bayan menyentuh tentang iman, amal and tabligh.
Ketika waktu bermunajat telah hampir, saya perhatikan setiap ruang di tapak Ijtima dipenuhi manusia. Begitu juga jalanraya, lorong-lorong dan setiap ruang kosong di luar tapak Ijtima dan seluruh pekan Tongi. Saya juga boleh melihat kumpulan manusia berhimpun di atas jejantas dan bumbung bangunan di sekitar tapak Ijtima dan pekan Tongi.
Presiden Bangladesh, Perdana Menteri Sheikh Hasina dan rombongan mengambil tempat di bumbung Bangunan Polwel Convention Centre sementera Ketua Pembangkang, Begum Khalida Zia dan rombongan mengambil tempat di bumbung bangunan Atlas Bangladesh Limited, keduanyanya terletak tidak jauh dari tapak Ijtima. Dari bumbung bangunan ini boleh dilihat dengan jelas pentas utama di tapak Ijtima. Dari pentas utama itulah Ulama Tabligh yang terkenal dari New Delhi, Maulana Jobayerul Hasan bermunajat. Kawasan seluas kira-kira 2 kilometer persegi di sekitar tapak Ijtima dan pekan Tongi dipenuhi manusia untuk sama-sama mengaminkan munajat mutakhir selama kira-kira 20 minit yang bermula pada pukul 12.30 petang.
Munajat, yang dibaca dalam Bahasa Arab dan Urdu, memohon rahmat dari Allah bagi seluruh manusia yang berhimpunan dan umat Islam diseluruh dunia, memohon pengampunan dan memohon dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan ibadat kepada Allah dan untuk berdakwah ke serata dunia. Diakhir munajat, khatib memohon agar Allah memakbul segala doa dan permintaan umat Islam yang hadir di Biswa Ijtima. Ratusan ribu manusia mencucurkan airmata membasahi bumi Tongi ketika munajat dibaca.
Sebaik sahaja majlis Akhiri Munajat selesai, manusia pun beredar meninggalkan tapak Ijtima dan pekan tonggi dengan berjalan kaki. Jalan Abdullahpur yang saya lalui untuk kembali ke Gulshan – menghala ke selatan - penuh sesak dengan manusia berjalan kaki. Tiada sebarang kenderaan dibenar sehinggalah selepas check-point berhampiran dengan Jambatan Sungai Tongi, kira-kira satu kilometer dari tapak ijtima.
Setelah hampir se jam berjalan dalam lautan manusia, barulah saya sampai di check-point. Di luar kawasan check-point saya menunggu beca untuk pulang ke Gulshan. Saya menunggu beca yang boleh terus ke Gulshan tetapi selepas puas bertanya, tiada satupun beca yang sanggup ke sana walaupun ditawarkan dengan bayaran yang jauh lebih tinggi dari hari-hari biasa.
Akhirnya, saya menaiki beca yang membawa saya se hingga ke lapangan terbang Hadrat Shahjalal, tiga kilometer dari check-point. Saya tiba di bulatan Jalan Lapangan Terbang pada pukul tiga petang dan turun di situ setelah membayar tambang sebanyak Taka 200. Dari situ saya terus berjalan ke Masjid di lapangan terbang untuk bersembahyang zuhur. Setelah menunaikan sembahyang, saya berehat seketika. Jalan dari Tongi ke bulatan lapangan terbang penuh sesak dengan manusia yang berjalan kaki, menaiki beca dan tut-tut. Pada bulatan itu kenderaan tidak bergerak langsung.
Saya menaiki beca ke Banani. Di sepanjang perjalanan, kelihatan berduyun-duyun manusia berjalan kaki. Jalan dari bulatan lapangan terbang menghala ke Dhaka penuh sesak dengan pelbagai kenderaan yang bergerak perlahan. Saya sampai di Banani pada pukul 4.30 petang setelah pengayuh beca berkayuh hampir sejam untuk perjalanan hanya sejauh empat kilometer. Saya membayar Taka 500 sebagai tambangnya. Tambang yang disetujui Taka 400 tetapi pemandu beca tiada duit tukar. Saya pun tiada duit kecil. Pemandu saya telah menunggu di Banani. Akhirnnya saya sampai dirumah pada kira-kira pukul 5.00 petang. Setelah menunaikan sembahyang Asar, saya berehat, keletihan.
Saya panjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah SWT kerana diberiNya peluang untuk bersembahyang Jumaat bersama-sama dengan 2 juta umat dan mengaminkan munajat bersama-sama 2.5 juta umat. Alhamdulillah.
Gulshan 1, Dhaka
30 Januari 2011.
Tongi 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment