Saturday, August 26, 2006

RMK9: Iktibar dari Profil Projek Terbengkalai

Bulan lalu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 880 projek bernilai RM15 bilion. Ini mewakili 7% dari peruntukan berjumlah RM220 bilion di bawah RMK9. Di sana ada lagi beribu-ribu projek bernilai RM205 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 1,800 hari. Perdana Menteri berkata beliau sendiri akan memantau pelaksanaan projek bagi menentukan pelaksanaan mengikut jadual dan bertepatan dengan spesifikasi.

Namun, pengalaman memberitahu bahawa terlalu banyak projek di bawah pelbagai rancangan lima tahun yang terbengkalai, tidak disiapkan mengikut jadual dan mengikut spesifikasi. Puncanya amat jelas: pemilihan kontraktor yang tidak mengikut peraturan, kewangan kerajaan yang tidak mencukupi dan karenah birokrasi. Di sini dikesahkan dua profil projek tergendala. Kalau cara pelaksanaan projek sebegini diteruskan, sukar untuk merasa optimis bahawa pelaksanaan projek di bawah RMK9 akan berjalan lancar. Akhirnya, rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang merupakan longgokkan projek yang tidak dapat dilaksanakan di bawah rancangan-rancangan sebelumnya.

Kes 1: Projek Pembinaan Pengkalan TLDM Tanjung Gerak, Langkawi
Projek Kemeneterian Pertahanan ini dinamakan projek pembinaan pengkalan TLDM Markas Wilayah Laut Tanjung Gerak Langkawi (“Marwilla Tanjung Gerak”) untuk dilaksanakan di bawah RMK7. Projek ini penting kerana ia akan beroperasi sebagai pusat kawalan dan pengumpulan data risikan.

Kementerian telah membeli tapak markas seluas 76 ekar dari kerajaan negeri Kedah dengan harga RM3.86 juta. Kos pembinaan projek dianggarkan RM60 juta (tahun 1998) terdiri dari kos perolehan tanah sebanyak RM10 juta dan kos bangunan dan kemudahan sebanyak RM50 juta. Bagaimana pun, bila projek dikaji semula dalam tahun 1999, kosnya melonjak ke RM200 juta atau lebih tiga kali ganda kerana dimasukkan pembinaan jeti, kelengkapan dalaman dan kos perunding.

Pada awalnya, Kementerian Pertahanan melantik Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana projek tetapi dalam tahun 1998, Jawatankuasa Pembangunan Kementerian Pertahanan memutuskan supaya JKR diketepikan dan perunding dilantik bagi mengendalikan projek.

Projek Marwilla Tanjung Gerak dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa 1 merangkumi kerja tanah, pembinaan pagar dan trek jip dilaksanakan di bawah RMK7. Fasa 2 merangkumi pembinaan bangunan dan kemudahan, jeti dan lain-lain dimasukkan di bawah RMK8. Anggaran projek siap dalam tempoh 5-6 tahun.

Bagi Fasa 1 perlantikan kontraktor dibuat secara tender terhad dari kalangan kontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dalam kelas B dan BX. Pemilihan kontraktor secara tender terhad diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan. Juru audit negara dalam pengauditannya gagal mencari jawapan kenapa tiada amalan tender terbuka.

Bagi Fasa 2, perlantikan kontraktor dibuat melalui tender terbuka, iaitu, terbuka kepada kontraktor kelas A yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan Lembaga Pembanguan Industri Pembinaan Malaysia. Kementerian Kewangan telah melantik 3 perunding untuk projek Marwilla Tanjung Gerak.

Empat penender telah mengemukakan tender untuk Fasa 1. Pemilihan adalah berasaskan criteria harga yang ditawarkan, spesifikasi teknikal, pengalaman dan keupayaan kontraktor, kesempurnaaan dokumen tender dan kemampuan kewangan kontraktor. Akhirnya, penender yang menawarkan harga kedua terendah – RM4.24 juta telah diterima. Perjanjian kontrak ditandatangi pada Oktober 1999. Projek hendaklah disiapkan pada Mei 2000 dengan tempoh penyenggaraan selama 12 bulan selepas tarikh projek siap.

Fasa 1 disiapkan lewat. Ia siap pada Ogos 2000 (lewat 3 bulan) dan sijil perakuan siap kerja dikeluarkan pada oktober 2000.Bagi Fasa 2, seramai 45 penender mengeemukakan tawaran. Harga cut-off bagi tender Fasa 2 ini ialah RM19.16 juta. Proses penyenaraian pendek penender berlangsung seperti berikut:
1. Saringan Pertama: 9 dari 45 telah disenaraikan.
2. Saringan Kedua: 6 dari 9 disenaraikan.
3. Saringan Ketiga: 3 dari 6 disenaraikan. Nama 3 penender ini telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Perakuan, Kementerian Pertahanan.
4. Jawatankuasa Perakuan telah memperakukan 1 dari 3 penender dan nama penender ini telah dikemukakan kepada Lembaga Tender Perolehan (Pembangunan), Kementerian Pertahanan. Penender ini menawarkan harga RM18.95 juta.

Walau bagaimana pun, Lembaga Tender Perolehan (Pembangunan), Kementerian Pertahanan tidak memilih penender yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Perakuan. Sebuah syarikat lain yang tidak memasuki tender telah dianugerahkan dengan kontrak Fasa 2. Kenapa penender yang telah diperakui ditolak dan kontraktor yang tidak pernah masuk tender dianugerahkan projek merupakan satu mistri yang juru audit negara sendiri gagal merungkainya.

“Kontraktor lain” ini menawarkan harga RM18.98 juta, iaitu, RM0.03 juta lebih tinggi dari penender yang diperakui oleh Jawatankuas Perakuan. “Kontraktor lain” yang dipilih ini berjanji menyiapkan projek di bawah Fasa 2 dalam tempoh 75 minggu.

Penjumpaan audit mendapati bahawa “kontraktor lain” ini tidak mematuhi syarat-syarat tender anataranya ia gagal mengemukakan data teknikal dan tidak mengemukakan maklumat mengenai kakitangan.

Kontrak Fasa 2 ditandatangani pada Julai 2002 dan dijangka siap pada Jun 2003 dengan tempoh penyenggaraan selama 12 bulan dari tarikh projek siap.

Projek Fasa 2 gagal disiapkan pada waktu yang dijanjikan. Pada Jun 2003, ia hanya siap 58%. Kontraktor dibenarkan tarikh lanjutan sehingga Mac 2004. Bila tempoh lanjutan siap, projek masih tidak siap – hanya 77% siap. Tarik penyiapan dilanjutkan lagi ke Mei 2004. Tidak juga siap. Akhirnya, pada Julai 2004, Sijik Perakuan Kerja Tidak Siap dikeluarkan kepada kontraktor. Audit mendapati sebab utama kegagalan projek ialah kelemahan kontraktor – kekurangan staf teknikal, kelemahan kewangan sehinga pekerja, sub-kontraktor dan pembekal bahan binaan tidak dibayar dan pelbagai lagi kelemahan.

Pada Oktober 2004 sebuah syarikat telah dilantik sebagai kontraktor penyelamat tetapi ia menarik diri kerana dihalang untuk memasuki tapak oleh pekerja yang tidak dibayar gaji oleh kontraktor asal. Kontraktor penyelamat kedua dilantik pada November 2004. Kontraktor ini pun mungkir janji tetapi Kementerian Pertahanan tidak merampas Bon Pelaksanaan. Ini bertentangan dengan amalan biasa. Kenapa? Tidak diketahui.

Lawatan audit ke tapak projek mendapati pagar telah runtuh dan bangunan di vandalise.

Peruntukan asal projek berjumlah RM200 juta.tetapi nilai projek yang ditenderkan hanya RM2.24 juta (Fasa 1) dan RM18.98 juta (Fasa 2). Kenapa? Kerana ada bahagian-bahagian projek seperti jeti, quarters dan bangunan Area Logistic Deport (ALD) telah ditangguhkan dan dibawa ke RMK9.

Pembinaan jeti diserahkan semual kepada JKR. Ia telah diluluskan pada tahun 2003 dan Kementerian Kewangan telah memanggil tender tetapi tender dibatalkan kemudian atas alasan “…Kementerian mempunyai masaalah aliran tunai…”

Projek Fasa 1 sepatutnya merangkumi kuarters pegawai dan anggota TLDM yang mana Kementerian Pertahanan telah memohon peruntukan sebanyak RM45 juta di bawah RMK8 tetapi Kementerian Kewangan hanya meluluskan RM30 juta. Kementerian Pertahanan mendapati peruntukan ini tidak mencukupi. Akhirnya, projek ditangguhkan.

Juru audit negara merumuskan bahawa projek terbengkalai kerana ketidakcukupan peruntukan dan kelemahan kontraktor yang mana pemilihannya telah dibuat tanpa mengikut prosidur yang betul.

Kes 2: Pembinaan Kompleks Jabatan Laut Wilayah Selatan, Tanjung Pelepas, Johor

Projek bernilai RM49.9 juta ini adalah pusat kawalan dan pengawasan radar bagi mengawasi lalu lintas di Selat Melaka. Perancangan dan pelaksanaan projek diletakkan di bawah Cawangan Pengkalan Udara dan Marin, Jabatan Kerja Raya. Permohonan pengambilan tanah dibuat pada Mac 1995 tetapi Surat Hak Milik Sementara hanya dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor hanya pada Mac 2000, iaitu, 5 tahun kemudian. Akibatnya, projek yang dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMK7 ditunda ke RMK8 dan peruntukan projek meningkat ke RM55 juta atau 10%.

Pemilihan kontraktor dibuat secara tender terbuka mengikut syarat-syarat dalam Surat Pekeliling Ketua Pengarah JKR Bil. 4 Tahun 1993.

1. Tender dibuka pada Disember 2000. Sejumlah 27 penender mengemukakan tawaran.
2. Saringan Pertama: 14 penender disenaraipendekkan.
3. Saringan Kedua: 5 penender disenaraipendekkan.
4. Saringan Ketiga: 3 penender disenaraipendekkan.
5. Saringan Keempat: Satu penender dipilih dan kemudiannya diperakui oleh Jawatankuasa Penilaian Tender.

Walaubagaimana pun, Lembaga Tender Kementerian Kerja Raya telah menganugerahkan projek kepada kontraktor lain yang tidak melalui proses pemilihan tender secara terbuka. Ini direstui oleh Perbendaharaan Malaysia. Kontraktor kelas A ini bermodal RM5 juta tetapi juru audit negara tidak dapat menentukan kriteria pemilihan. Audit membuat rumusan bahawa “pemilihan kontraktor … bertentangan dengan peruntukan yang ditetapkan dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya.”

Sijil siap Praktikal untuk projek telah dikeluarkan September 2004 tetapi juru audit mendapati banyak ketidakpatuhan berlaku kepada syarat-syarat kontrak dan spesifikasi kerja. Tambakan tanah projek ditetapkan pada 3.3 meter tetapi JKR bersetuju ianya dikurangkan kepada 2.9 meter. Namun, tambakan yang dibuat tidak sampai 2.9 meter. Walau bagaimana pun, JKR telah membayar harga tambakan 3.3 meter, iaitu, sebanyak RM5.29 juta menyebabkan lebihan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM0.7 juta. JKR juga telah terlebih bayar sebanyak RM252 ribu kepada kontraktor bagi pembenaan tembok RC Deck bagi penampanan hakisan ombak. Pelbagai kerosakan lain ke atas projek termasuklah pemendapan longkang, saiz kabel bumi yang dipasang tidak memenuhi piawaian Institute of Electrical Enginners (IEE), iaitu, tidak kurang dari 16mm persegi tetapi yang dipasang hanya 2.5mm persegi, besi reinforcement tidak diturap dengan simen dan lain-lain.

Audit merumuskan bahawa kegagalan projek disiapkan mengikut jadual adalah berpunca dari pelbagai sebab termasuklah masa yang terlalu panjang diambil dalam urusan tanah dan pemilihan kontraktor yang tidak mengiukut peraturan sehingga berlaku keadaan di mana pembinaan tidak mengikut spesifikasi dan penyeliaan kerja tidak memuaskan.

Jelas bahawa kontraktor yang masuk tender dizalimi. Mereka masuk tender dan sudah dapat tender tetapi akhirnya tender dihijack dan diberi kepada kontraktor yang tidak pernah masuk tender. Lebih buruk lagi kontraktor yang mendapat projek tidak memenuhi syarat yang kerajaan sendiri tetapkan. Akhirnya projek tergendala. Bukankah di sini nyata ada penyelewengan dan salahguna kuasa? Akhirnya rakyat yang rugi.

Subang Jaya
20 Ogos 2006

Wednesday, August 2, 2006

Belanjawan 2006: Gagal Menjawab Persoalan Bagaimana Hendak Mengatasi Kelemahan Ekonomi

Part II

Sebenarnya, banyak perkara yang Belanjawan 2006 lupa hendak address, antaranya:

1. Hutang luar Negara yang tinggi:
Dianggarkan berjumlah RM197 bilion pada hujung tahun 2004 atau 79% daripada KDNK Benar (2004: RM248 bilion) atau 45% daripada KDNK Semasa (RM448 bilion). Ini jauh melewati paras berhemat yang diperakuan oleh Bank Dunia (25-50% daripada KDNK Benar). Pembayaran balik pokok dan faedah mencecah RM24 bilion. Tiada pelan diumumkan untuk mengurangkan hutang luar negara ini.

2. Hutang kerajaan pusat yang tinggi:
Dianggarkan berjumlah RM217 bilion pada akhir tahun 2004 bersamaan 88% dariapda KDNK Benar atau 48% daripada KDNK Semasa (RM448 bilion). Caj khidmat hutang mencecah RM11 bilion atau 14% daripada jumpalah belanjawan. Tiada pelan untuk mengurangkan hutang ke paras lebih berhemat.

3. Defisit belanjawan melebar:
Defisit belanjawan kerajaan pusat masih besar iaitu sebanyak RM21 bilion atau 5.3% daripada KDNK pada tahun 2005 dan hanya turun sedikit kepada RM19 bilion (2004) dan RM18 bilion (2005) merupakan 3.8% darpiada KDNK. Ini jauh dibawah sasaran yang hendak dicapai, iaitu, 1.8% daripada KDNK. Sudah tiada komitmen untuk mencapai belanjawan berimabng.

4. Sektor awam yang besar:
Perbelanjaan penggunaan dan pelaburan sector awam berjumlah RM78 bilion atau 31% daripada KDNK Benar (2004). Penswastaan tidak berjaya mengurangkan saiz sektor awam. Kakitangan sektor awam juga tidak berkurangan seperti yang diharapkan dari proses penswastaan.

5. Daya saing yang merosot:
Daya saing Malaysia memang semakin merosot. Penilaian terkini oleh Institute fo Management Developement berpengkalan di Geneva menunjukkan daya saing Malaysia telah merudum daripada tangga ke 16 dalam kumpulan 60 buah Negara ke tangga 28 dalam tahun 2004. Ini menunjukkan cost of doing business di Malaysia sudah meningkat dengan teruk.

6. Keefisyenan sektor awam merosot:
Dari tangga 16 (2003) ke tangga 26 (2004), iaitu, merudum sebanyak 10 mata. Ini menunjukkan bahawa karenah birokrasi semakin teruk, amalan rasuah semakin berleluasa, pembaziran meningkat, kerajaan menggunakan kemudahan awam untuk membantu UMNO dan parti rakan dalam BN dalam kempen pilihan raya dan kegagalan kerajaan mengamalkan tender terbuka. Ini bermakana setipa ringgit yang dibelanjakan kerajaan tidak membawa produktiviti yang sewajarnya.

7. Perbelanjaan Penyelidikan dan Pembangunaan (R&D) yang rendah:
Di samping pelbagai insentif diberikan, perbelanjaan R&D masih rendah. Kajian yang dibuat oleh kerajaan dan dilaporkan dalam dokumen Rancangan Malaysia ke 8 menunjukkan bahawa perbelnjaan R&D nasional hanya berjumlah RM549 juta atau 0.2% daripada KDNK dalam tahun 1986 dan RM1.1 bilion atau 0.3% daripada KDNK (1998).

8. Pasaran eksport yang sempit:
Hampir 60% daripada eskport negara pergi hanya ke empat buah neagara - ke Amerika Syarikat (2004: 22%), Kawasan Euro (13%), Jepun (10%) dan Singapura (17%). Usaha untuk mengembangkan pasaran ke negara Selatan-Selatan masih tidak berhasil. Pasaran ke Negara ASEAN yang lain pun masih sempit.

Belanjawan 2006 hanya melaporkan item perbelanjaan dan dari mana sumber hasil untuk menampong perbelanjaan itu. Tidak ada langkah-langkah diperkenalkan untuk menangani pelbagai kelemahan dan permasalahan di dalam ekonomi. Tidak ada langkah berjimat cermat yang dicadangkan. Juga cadangan untuk menjadikan penjara Pudu kawasan perbandaran Melyu di tengah Bandaraya yang ternyata berat sebelah pembagunannya, iaitu, penguasaan yang nyata ketara dalam hartanah oleh kaum bukan Melayu tidak langsung disebut dalam belanjawan ini.

Rembau
1 Oktober 2005

Jual Saham MAS Kerana Hendak Tutup Kerugian Bank Negara?

Tan Seri Tajuddin Ramli, bekas Pengarah Urusan syarikat penerbangan nasionl, Malaysia Airlines (MAS) telah menyaman balas kerajaan Malaysia, Danaharta dan pelbagai syarikat dan individu menuntut gantirugi sebanyak RM13.46 bilion. Sebelum ini beliau telah disaman oleh Danaharta sebanyak RM569 juta. Saman balas Tajuddin ini adalah yang terbesar dalam rekod.
Kenapa Tajuddin menyaman balas? Seperti yang didakwa oleh Tajuddin di dalam Affidavit bertarikh 29 Jun 2006 kerajaan telah memungkiri peruntukan yang memberi perlindungan mutlak kepada beliau di dalam satu perjanjian sulit yang dipanggil ”overriding agreement” yang ditandatangani di belakang tabir di antara beliau dan Tun Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin yang masing-masing pada ketika itu adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia.

Perjanjian itu berkaitan dengan pembelian 32% saham MAS oleh Tajuddin dari Bank Negara Malaysia.Intisari overriding agreement itu ialah dengannya Tajuddin mendapat jaminan bahawa beliau bebas dari memikul apa jua liabiliti termasuk kerugian kewangan sekiranya berlaku perkara yang negatif ke atas MAS yang sahamnya telah dibeli oleh Tajuddin atas arahan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Atas jaminan ini Tajuddin telah mengambil pinjaman peribadi bagi membayar harga pembelian itu bernilai RM1.8 bilion. Akibatnya, Tajuddin menjadi peminjam perseorangan yang terbesar di Malaysia. Tetapi janji ini telah tidak ditepati oleh kerajaan. Bila kerajaan membeli balik 32% saham MAS itu daripada Tajuddin dalam tahun 2001, beliau dibiarkan menanggung pelbagai liabiliti sehingga beliau disaman oleh Danaharta dan terpaksa menjual syarikat miliki beliau pada ”forced-sale price.”

Akhbar New Straits Times (7 Julai 2006) menyifatkan pendedahan ini sebagai ”... likely to send tremors through the corridors of business and politics.” Akhbar internet Sun2Surf pada 6 Julai pula menyifatkan pendedahan Tajuddin sebagai satu ”bombshell.” Pemimpin pembangkang, Lim Kit Siang menuduh Tun Daim telah berbohong: ”Daim had deceived parliament and the nation when he allegedly made false claims in the Dewan Rakyat on March 21, 2001 over the RM1.8 billion buy-back of MAS shares by the Government. …that Daim as finance minister at that time, claimed that no special considerations were given to Tajuddin in buying back the MAS shares from Naluri.” (NST, 7 Julai 2006). Nampaknya, kes ini merupakan satu skandal melibatkan pemimpin atasan dan kerajaan yang ada perlu mengambil tindakan yang wajar.

Tajuddin memfailkan saman melalui peguam Lim Kian Leong & Company pada 29 Jun 2006. Kes ini berprofail tinggi kerana ia melibatkan tiga personaliti besar, iaitu, bekas ahli korporat ternama, bekas Menteri Kewangan dan Bendahari UMNO, Tun Daim Zainuddin dan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad, sebuah institusi terpenting, iaitu, Bank Negara Malaysia dan penswastaan MAS.

Selepas bersara Tun Daim kembali ke dunia perniagaan. Beliau mempunyai rangkaian perniagaan dalam dan luar negeri. Kabarnya, beliau memiliki bank di Afrika dan Indonesia. Sebagai Bendahari UMNO, beliau juga telah memperkayakan parti itu sehingga menjadi parti politik yang terkaya di Malaysia dengan rangkaian perniagaan yang cukup besar melalui, tentunya, proksi-proksi. Tun Mahathir dapat pencen sebanyak RM10,000 sebulan beserta pelbagai kemudahan lengkap disediakan kerajaan. Hanya Tajuddin yang kena saman dan dibiarkan menanggung kerugian besar.

Perkara yang menggemparkan dalam pendedahan Tajuddin ialah kes penjualan saham MAS melibatkan satu institusi yang amat penting di dalam ekonomi dan ini belum pernah diketahui umum selama ini, iaitu, bank pusat. Watak yang terlibat tentunya arwah Tan Seri Jaffar Hussein dan Tan Seri Nor Mohamed Yackop, orang kepercayaan beliau. Mereka adalah culprit yang telah menyebabkan Bank Negara kerugian berbilion-bilion ringgit dalam ”illegal foreign exchange speculations” dalam awal tahun 1990an. Berasaskan tindakan yang telah diambil oleh Bank Negara (diberhentikan kerja), kedua-dua mereka terkait sebagai ”arkitek utama” kepada kerugian terbesar dalam sejarah bank pusat. Skandal ini tidak pernah disiasat secara muktamad oleh badan penyiasat bebas. Hasil siasatan dalaman pun tidak pernah didedahkan.

Walau pun perbuatan berspekulasi itu terang-terang melanggar peraturan Bank Negara dan mengikut pakar pasaran pertukaran asing, melanggar segala norma pasaran dan akibat darinya telah menyebabkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit, Nor Mohamed Yackop didenda hanya dengan ”denda buang kerja” dan ”tidak dibenarkan bekerja di dalam mana-mana institusi kewangan.” Selepas dibuang kerja oleh Bank Negara, beliau bekekerja seketika dengan Rashid Hussein Securities, sebuah syarikat pembroker saham (juga dikira sebagai sebuah institusi kewangan).

Beliau berhenti dan diambil bekerja oleh Abrar Group International di pertengahan tahun 1990an. Berikutan degan krisis kewangan 19997-98, beliau ”dipanggil kembali” ke Bank Negara, mungkin memandangkan kepakaran beliau dalam bidang pertukaran asing, sebagai penasihat khas bekerja di bawah Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara dalam perumusan dan pelaksanaan dasar ”peg exchange rate.” Tugas ini telah mengubah nasib beliau dari ”the pariah of the central bank” kepada ”the trusted economic adviser of the Prime Minister.” Jasa beliau ini dibalas dengan jawatan Menteri Kewangan Kedua.
Sekarang dapatlah kita gambaran bahawa tidak mustahil kalau dikatakan bahawa ”illegal speculation activities in the international foreign exchange market” yang dijalankan oleh Bank Negara di bawah pimpinan Gabenor Tan Seri Jaffar Hussein ketika itu dan dilaksanakan oleh Nor Mohamed Yackop mendapat restu pimpinan tertinggi negara. Tanggapan ini semakin kuat apabila di sana didapati tiada penyiasatan peringgkat tertinggi dibuat dan cadangan supaya kes itu disiasat oleh badan penysiasatan diraja ditolak. Nor Mohamed nampaknya ”dilindungi” dan kemudiannya dibawa kembali ke Bank Negara dan akhirnya diberi jawatan menteri dalam kabinet Abdullah Badawi. Ramai pihak bertanya: Bagaimanakah seorang yang memiliki rekod yang begitu cemar boleh berada di dalam kabinet?

Tan Seri Jaffar Hussein ”berundur” dari Bank Negara dan diberi jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PNB. Beliau pada awal pengumuman mengenai kerugian Bank Negara memberi tahu bahawa ”kerugian itu hanyalah kerugian di atas kertas” tetapi ternyata ini satu ungkapan yang mengelirukan rakyat kerana kemudiannya, kerugian di atas kertas tiba-tiba bertukar menjadi kerugian sebenar berjumlah berbilion ringgit. Tan Seri Jaffar diserang sakit jantung tidak lama kemudian. Kesihatan beliau pulih buat sementara. Beliau jatuh sakit lagi dan meninggal dunia pada tahun 1996.

Kesilapan besar beliau semasa menerajui Bank Negara ialah teralu percaya kepada Nor Mohamed dan gagal mengesan pelanggaran-pelanggaran peraturan Bank Negara dan norma-norma pasaran. Beliau juga gagal mengesan penyelewengan dan pemalsuan dalamg laporan-laporan kedudukan transaksi pertukaran wang asing. Sumber rapat dengan Bank Negara menyatakan bahawa kerugian telah dikesan oleh pegawai bawahan tetapi kerana ia disorokkan dari pengetahuan Gabenor, tiada tindakan wajar dapat diambil bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar. Nor Mohamed juga dikatakan berspekulasi dengan menggunakan akuan-akaun urusniaga pegawai-pegawai bawahan beliau bagi mengelak pengesanan.

Sebagaimana yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan Bank Negara Tahun 1993, Bank Negara menanggung kerugian operasi sebanyak RM712 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 1993. Ini bukan kerugian yang sebenar kerana kerugian akibat bermain ”judi” di dalam pasaran pertukaran wang antarabangsa itu terlalu besar (mind-boggling) untuk diakui oleh kerajaan dan untuk didedahkan kepada rakyat. Oleh itu, ia telah disorokkan di dalam satu item perakaunan yang ”luar biasa” dipanggil ”deferred expenditure” atau perbelanjaan tertangguh. Perbuatan ini mengelirukan orang ramai dan boleh dianggap tidak beretika malah berunsur jenayah kerana kerugian dilaporkan sebagai perbelanjaan.

Di bawah tajuk ”perbelanjaan tertangguh” itu diletakkan jumlah RM5.7 bilion. Dibelakang tabir, jumlah kerugian dikatakan jauh lebih besar. Pelbagai aset dan pelaburan Bank Negara telah dijual untuk ”mengurangkan” kerugian itu sebanyak mungkin. Dengan pendedahan terkini ini maka tahulah kita bahawa salah satu pelaburan yang telah dicairkan oleh Bank Negara untuk mengurangkan kerugian ialah 32% saham MAS yang ia miliki pada harga RM8.00, iaitu, RM3.50 lebih tinggi daripada harga pasaran sekitar RM4.50 se saham pada ketika itu. Tajuddin membelinya pada harga RM8.00 se saham dan kerajaan membeli balik juga pada harga RM8.00 se saham, jelas untuk menyelamatkan Tajuddin.

Menurut Tajuddin, beliau membeli saham terbabit pada harga yang cukup tinggi ini atas desakan kerajaan dan tujuannya ”to enable Bank Negara to recoup some ot its foreign exchange losses.” (NST 7 Julai 2006). Tetapi akibat krisis ekonomi 1997, MAS dan syarikat-syarikat lain milik Tajuddin mengalami kerugian. Tajuddin menghadapi masalah untuk melunaskan hutang. Akhirnya, Tajuddin terpaksa menjual balik 32% saham MAS yang dipegang kepada kerajaan pada harga RM1.8 bilion, iaitu, RM8.00 se saham walaupun harga pasaran hanya RM2.75 se saham. Jelas, ini adalah satu usaha untuk membantu Tajuddin meringankan beban liabiliti kewangan yang beliau tanggung yang terbit dari pembelian saham MAS itu.

Di bawah nota kaki berkaitan (Note No. 10: Deferred Expenditure) dinyatakan: ”This represents the net deficiency arising from foreign exchange transactions. The Government has undertaken to make good this deficiency as and when required to do so by the Bank.” Bank Negara dibenarkan mengurangkan kerugian itu secara beransur-ansur selama sepuluh tahun mulai tahun 1994 dengan menolak keuntungan tahunan sebanyak RM500 juta tiap tahun. Kerugian itu telah menjadi kosong (fully armortized) pada 31 Disember 2003.

Perbuatan Tan Seri Jaffar Hussein dan Nor Mohamed berspekulasi dalam pasaran pertukaran wang antarabangsa yang telah mengakibatkan kerugian besar kepada Bank Negara memalukan Negara. Pada analisis mutakhirnya, perbuatan ini telah menyebabkan wang rakyat “going down the drain” dan rakyatlah yang terpaksa menanggung kerugian. Ini adalah satu jenayah besar. Perbuatan berspekulasi itu menyalahi Akta Bank Negara dan prosidur dalaman Bank Negara berhubung dengan pengurusan rizab negara. Menoleh ke belakang, denda yang dikenakan kepada arwah Jaffar Hussein dan Nor Mohamed Yackop tidak setimpal dengan berat kesalahan, terlalu mild.

Satu kesilapan besar Bank Negara ialah ia telah melaksanakan dasar ”internationalisation of the ringgit” sebagai sebahagian daripada dasar liberalisasi kewangan. Nor Mohamed dikatakan adalah juga arkiteknya. Dasar ini memberi peluang besar kepada para spekulator matawang membeli atau lebih tepat ”mengepong” (to corner) ringgit. Bila kadar faedah luar persisiran pantai meningkat sejak April 1998 kepada 20-40% setahun berbanding dengan sekitar 11% setahun di dalam negara, ringgit Malaysia mengalir keluar secara besar-besaran. Kerana ringgit adalah ”matawang yang kecil,” spekulator dengan mudah dapat ”mengepong” ringgit. Bank Negara mengakui bahawa ”the rapid increase in the internationalisation of the ringgit since April 1989 also contributed to the ringgit’s weakness during this period.” (Laporan Bank Negara 1998, muka surat 60). Pada 10 Julai 1998 nilai ringgit merudum kepada USD1.00 = RM4.3260. Dasar ini adalah satu dasar yang salah yang tidak sepatutnya dilaksanakan oleh Bank Negara. Akhirnya, ia telah dimansuhkan mulai September 1, 1998.

Kerugian sebenar dari perbuatan spekulasi bukan sahaja dalam bentuk angka seperti yang tertera di dalam imbangan kira-kira Bank Negara. Kerugian besar yang sebenar kepada ekonomi datang 3 tahun kemudian dalam tahun 1997 apabila ”penyangak matawang” menyerang pasaran pertukaran wang asing ASEAN mengakibatkan berlakunya krisis kewangan yang tidak diduga. Kerugian Bank Negara pada tahun 1992-93 melemahkan daya tahan kewangan negara dan apabila matawang Malaysia diserang, kita tidak mampu mempertahankan nilainya di pasaran antarabangsa. Musuh ekonomi kita sudah mengetahui kelemahan ini dan mereka melakukan serangan bertubi-tubi hinggalah nilai matang kita ”collapse” mencecah nilai pertukaran terendah RM4.8800 bagi se unit dolar Amerika (7 Januari 1998). Rizab antarabangsa mengecil dengan cepat bila digunakan untuk mempertahankan nilai ringgit.

Kerana di sana wujud tanggapan bahawa ringgit akan terus lemah dan diserang, pelabur-pelabur ”hot money” di pasaran saham Kuala Lumpur terus mencairkan pelaburan dan membawa wang lari keluar negara dan dalam proses ini menyebabkan pasaran saham jatuh merudum dan sebagai kesan timbal baliknya, niali ringgit terus menurun. Negara hampir terjerumus ke dalam kancah kebangkrupan. Kerajaan Malaysia menjadi panik. Hanya selepas lebih satu tahun krisis berlalu baru ditemui jalan penyelesaian, iatu, menguatkuasakan regim kadar pertukaran asing dikekang (peg exchange rate policy) di mana berkuatkuasa mulai 1 September 1998, kadar pertukaran antarabangsa ringgit ditetapkan pada USD1.00 = RM3.80. Dasar ini kekal sampai bulan Mac 2005.Pendekatan yang tidak tepat yang dilaksanakan oleh Bank Negara dalam mengurus dasar kewangan, iaitu, pertama, meninternalisasikan ringgit dan kedua, bermain spekulasi di pasaran matawang antarabangsa. Padahnya, ia membawa kerosakan ekonomi dan kerosakan ini dirasakan bebannya secara penuh dalam tahun 1998 bilamana ekonomi menguncup sebanyak 7.5%, pendapatan per kapita jatuh dari USD4,377 (1997) kepada USD3,093 (1998) dan bekalan wang negara (M1) menguncup sebanyak 15%. Ini diburukkan lagi oleh kenaikan inflasi pada kadar 5.3% dan kemerosotan kadar upah sebanyak 2.4%. Ini bermakna negara mengalami stagflasi dalam tahun 1998 menyebabkan rakyat hidup dalam kesusahan. Perbuatan berspekulasi dan kerugian yang dialami adalah ”ibu” kepada kerosakan ekonomi ini.

Kadar pertukaran yang ditetapkan oleh Bank Negara pada 1 September 1998 juga teralu rendah, iaitu, USD1.00 = RM3.80 berbanding dengan kadar pertukaran pra-krisis, sekitar RM2.65-2.75 per unit dolar Amerika. Nilai pertukaran RM3.80 = USD1.00 mengandungi nilai spekulasi ke atas ringgit. Pada menetapkan nilai pertukaran ini, Bank Negara sekali lagi membuat kesilapan kerana gagal menyahkan bahagian nilai spekulasi. Sepatutnya, dalam menetapkan nilai pertukaran tetap ini, Bank Negara wajar membuat pertimbangan supaya kadar pertukaran yang ditetapkan adalah konsisten dengan nilai fundamental ringgit pada ketika itu. Nilai fundamental ini sebenarnya tidak jauh dari nilai pertukaran ringgit sebelum krisis dan paling buruk pun pada sekitar USD1.00 = RM3.00. Ini memandangkan bahawa ekonomi Malaysia mempunyai fundamental yang kuat kerana pertama, ekonomi cukup pelbagai dengan sektor penindustrian, perkhidmatan, pertanian komoditi dan sumber galian khasnya petroleum. Kedua, hutang luar negara khasnya yang berjangka pendek adalah kecil. Ketiga, kadar tabungan nasional adalah tinggi dan negara memiliki institusi tabungan yang teguh seperti KWSP, SOCSO, PNB, Kumpulan Wang Pencen dan Tabung Haji. Keempat, ternyata pada masa itu ekonomi adalah ”on the path of fast recovery” (1989: unjuran 1.0% tetapi pertumbuhan sebenar 5.4%).

Kesilapan menentukan kadar pertukaran ini membawa “durian runtuh” kepada spekulator yang telah memindahkan aset mereka ke dalam “USD assets” dan negara kerugian kerana peningkatan besar beban hutang dan pembayaran hutang luar negara.. Rakyat rugi kerana terpaksa menanggung beban inflasi dari nilai ringgit yang lemah.
Berikutan maklumat baru yang didedahkan ini, maka wajar penyiasatan diraja ditubuhkan bagi menyiasat semula kerugian spekulasi yang dialami oleh Bank Negara Malaysia 12 tahun yang lalu. Di antara persoalan-persoalan yang perlu dicari jawapannya ialah:

Kenapa Bank Negara berspekulasi di dalam pasaran pertukaran wang asing?
Apakah pemimpin tertinggi negara merestui Bank Negara berspekulasi?
Apakah Bank Negara memiliki prosidur yang lengkap dan sistem kawalan yang berkesan dalam pengurusan operasi wang asing?
Kenapa Nor Mohamed, ketika itu berpangkat penasihat di Bank Negara, diberi kuasa penuh oleh Bank Negara dalam urusniaga wang asing?
Apakah peranan jawatankuasa pengurusan rizab luar negara yang ada di Bank Negara pada masa itu?
Berapakah kerugian spekulasi yang sebenarnya?· Kenapakah Gabenor Bank Negara pada awalnya mengumumkan kerugian hanya di atas kertas walhal kerugian adalah real?
Apakah di sana ada unsur jenayah dalam menguruskan rizab antarabangsa?
Apakah langkah yang telah dilaksanakan oleh Bank Negara bagi mengelakkan berulangnya perkara yang sama?
Maklumat yang didedahkan membayangkan wujudnya konspirasi peringkatan tinggi dalam di dalam perjudian di pasaran matawang dan untuk menyorok kerugian. Culprit utamanya ialah Nor Mohamed Yackop. Apakah orang yang mempunyai rekod yang cemar dan culprit kepada kerosakan kepada Bank Negara dan ekonomi negara wajar diamanahkan menjaga kewangan negara? Kerugian Bank Negara perlu disiasat semula.

Subang Jaya
7 Julai 2006

Tuesday, August 1, 2006

Belanjawan 2006: Gagal Menjawab Persoalan Bagaimana Hendak Mengatasi Kelemahan Ekonomi

Part I

Memang ada kebenarannya bila bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mencirikan orang Melayu sebagai “mudah lupa.” Satu contoh dalam kes ini ialah bila Perdana Menteri Dato’ Sri Abdullah Ahamad Badawi lupa akan janji yang dibuatnya kira-kira dua tahun dahalu di hadapan berjuta-juta rakyat Malaysia bahawa beliau akan mengimbangkan belanjawan pada tahun 2006. Dalam pembentangan belanjawan 2004 pada 10 November 2004 beliau berjanji akan mengurangkan defisit belanjawan “…dari 5.4 perarus daripada KDNK pada tahun ini (2003) kepada 3.3 peratus pada tahun 2004 dan 1.8 perauts pada tahun 2005. Seterusnya, kerajaan dijangka dapat mencapai matlamat bajet berimbang pada tahun 2006.” (muka surat 17, Ucapan Bajet 2004). Tenyata komitmen hanya mainan kata-kata. Janji dimungkiri, kata tidak dikota. Mungkin Abdullah memang pelupa. Mungkin kerana terlalu banyak memegang jawatan. Sudahlah menjadi Perdana Menteri, memegang pula portfolio Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Kewangan selolah-olah ada unsur tidak percaya kepada pemimpin UMNO yang lain untuk memikul tugas berkenaan. Tony Blair Menjadi Perdana Menteri Great Britain tetapi itu sajalah jawatan beliau. George W. Bush memegang Jawatan Presiden Amerika. Itu sajalah yang dipegangnya. Beliau tidak memegang jawatan kabinet yang lain.

Tidak tahulah apa sebabnya di Malaysia ini perkara jadi begitu. Tamak jawatankah? Tidak percaya orang lainkah? Orang lain itu semuanya tidak layak atau tidak ada piawaiankah? Atau ada alasan politikkah? Atau bila tiba tentang kuasa atas duit dan projek mesti orang nombor satu jaga? Atau bila tiba kepada kuasa ke atas Akta Keselamatan Dalam Negeri – pasal hendak kurung orang tanpa bicara ini dan membuat tuduhan-tuduhan falsu untuk kurung orang - biarlah orang nombor satu jaga.

Sudahlah jawatan Perdana Menteri itu cukup berat dan jawatan kabinet yang lain itu memberatkan lagi ditambah pula dengan siisteri yang sakit, tentulah fikiran Perdana Menteri serabut dan diserabutkan lagi. Maka wajarlah beliau jadi pelupa. Menteri Kewangan Kedua pula tidak mengingatkan Menteri Kewangan Pertama. Kalau betul-betul hendak memilih menteri, Menteri Kewangan Kedua itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop memang kekurangan kredibiliti. Beliau ini seorang speculator matang di pasaran matawang antarabangsa yang tarafnya samalah dengan “penyangak” kewangan, George Soros. Apa tidaknya, dalam tahun 1992-93, dengan mengunakan akaun kakitangan bawahan beliau, beliau menspekulasikan simpanan rizab Bank Negara Malaysia dengan menjual dan membeli matawang dalam blok yang “unprecendentedly large” sehingga menakutkan hatta “seasoned speculators.” Akibatnya, Bank Negara merakamkan kerugian hampir RM6 bilion dalam neraca kira-kiranya pada 31 Disember 1993. Dalam akaun berkenaan kerugian itu direkodkan sebagai “deferred expenditure” satu cara “creative accounting” untuk mengabui mata rakyat. Kerugian spekulasi yang terbesar dalam sejarah perbanknegaraan memalukan Gabenor Tan Sri Jaffar Hussein ketika itu. Beliau diserang sakit jantung selepas itu dan tidak lama kemudian meninggal dunia akibat sakit kanser. Kerugian itu amat mahal kosnya kepada beliau. Beliau tidak dikurniakan “Tun” selepas bersara sebagimana selayaknya bagi seorang pesara Gabenor Bank Negara. Bila beliau berhenti dari Bank Negara, beliau hanya diberi jawatan Timbalan Pengurusi PNB yang dikira memang tidak sepadan dengan kedudukan beliau pada masa itu. Tetapi itulah kos yang beliau terpaksa bayar akibat rekod yang tidak baik itu. Berlainan dengan Nor Mohamed Yakcop, orang yang bertanggungjawab di belakang tabir, kini menjadi Menteri Kewangan Kedua.

Tiada suruhanjaya diraja ditubuhkan untuhk menyiasat kerugian yang besar itu. Nor Mohamed selamat. Belia Beliau diminta berhenti secara terhormat. Beliau mendapat kerja di bahagian penyelidikan ekonomi di firma broker saham Rashid Hussein selepas itu. Kemudian beliau melompat, pergi pula bekerja dengan syarikat baru tumbuh Abrar Group International pimpinan ahli korporat muda Bumiputera berbakat, Dr. Wan Mohamad Hasni dan Dr. Abdul Rahim Mohd. Ghause sehingga tahun 1997. Kumpulan Abrar sudah sudah dijahanamkan kerana disyaki ada kaitan dengan musuh politik Tun Mahathir, iaitu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Bila Malaysia diserang spekulasi matang dalam bulan Julai 1997, maka kepakaran Nor Mohamed dalam bidang pertukaran asing menjadi berharga semula lalu Perdana Menteri pada masa itu menimba nasihat beliau. Mungki benar, “only a thief can catch a thief.” Beliau dikembalikan ke Bank Nergara sebagai Penasihat Khas, naik ke tangga penasihat ekonomi di Jabatan perdana Menteri kemudiannya. Ramai terperanjat beliau tidak dijadikan Menteri Kewangan di zaman Mahathir, Rupa-rupanya ganjaran datang di zaman Abdullah Badawi. Bagaimana seorang yang mempunyai rekod buruk di Bank Negara boleh diamanahkan dengan jawatan penting sebagai Menteri kewangan Kedua sukar difahami. Tun Mahathir pun memberi beliau tugas penasihat sahaja. Mungkin Abdullah juga lupa yang Menteri Kewangan Kedua yang beliau lantik kekurangan kredibiliti.

(bersambung..)