Sunday, April 27, 2008

Tun Mahathir yang Rosakkan UMNO

Tidak adil untuk menyalahkan Abdullah Badawi seorang saja di atas kekalahan teruk UMNO-BN dalam PRU12 semata-mata kerana beliau adalah Perdana Menteri semasa.

Dalam nada yang sama, tidak adil juga untuk membebaskan Tun Mahathir dari sebarang pertangungjawaban di atas bencana yang menimpa semata-mata kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri semasa.

Dengan slogan “dahulu, kini dan selama-lamanya,” UMNO menjadi angkut dan dan terlebih yakin bahawa dengan rekod pembangunan yang “cemerlang,” tidak mungkin kuasa akan hilang dari tangan.

UMNO bersama-sama rakannya dalam BN telah memerintah selama setengah abad. Pemerintahan bermula dengan baik tetapi kerana merasakan kuasa yang ada di tangan tidak mungkin tergugat, sedikit demi sedikit ketidakbaikan dilakukan .sehingga akhirnya rakyat merasa bahawa ketidakadilan dan kezaliman diperlakukan ke atas mereka sudah sampai ke tahap tidak boleh diterima lagi.

Pemerintah diperingatkan berulang kali supaya berhenti dari melakukan mungkar dan kembalikan keadilan, namun segala peringatan tidak dihiraukan. Di zaman Tun Mahathir perlakuan mungkar sampai ke kemuncaknya. Amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan sumber, pembaziran, penipuan, penganiayaan dan perbuatan fitnah-memfinah merebak. Gejala jenayah dan keruntuhan akhlak mewabak. Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia untuk membeli pembangunan.

Bila tiba zaman Abdullah, UMNO dan kerajaan sudah berada di dalam keadaan “retak menunggu belah.” Abdullah Badawi menakhodai kapal yang sedang karam. Lebih malang, beliau bukan seorang nakhoda yang pintar.

UMNO yang diwarisi Abdullah nampak cantik diluar, di dalamnya berualat. Tun Mahathirlah yang meletakkan batu asas kerosakan UMNO dan parti-aprti lain dalam BN.

Beliau adalah seorang yang cukup pintar bermain “buang batu suruk tangan.” Selama lebih dua dekad Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, terlalu banyak kerja mungkar yang dilakukan. Beliau enggan mengambil tanggungjawab di atas kemungkaran yang telah berlaku sebaliknya, meletakkannya ke atas kepala orang lain. Kata-kata seperti “saya tak suruh…, itu bukan keputusan saya…, itu mereka yang putuskan…, saya tidak ada di Malaysia ketika itu…, itu salah mereka bukan salah saya…” dan seumpamanya terlalu banyak dilafazkan untuk menggambarkan kepada umum bahawa seolah-olahnya, beliau seorang yang bersih dan yang melakukan mungkar itu semuanya orang lain.

Kemungkaran yang berlaku dalam tempoh dua dekad pemerintahan beliau terlalu panjang untuk di senaraikan. Cukuplah didedahkan beberapa contoh khasnya yang berkaitan dengan UMNO, “just to bring the point home.”

Pertama, tentang “buaya dan jerung” di dalam UMNO yang dibangkitkan oleh YM Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang baru-baru ini, wajar ditanya Tun Mahathir: Siapakah yang membiakkannya kalau bukan beliau? Oleh kerana beliau adalah Presiden UMNO, maka beliau adalah ketua kepada buaya dan jerung yang berkeliaran di dalam UMNO. Sekarang, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawilah yang menjadi ketua buaya dan jerung ini.

YM Tengku Razaliegh menggelarkam mereka buaya dan jerung mungkin kerana pertama, mereka ganas, kedua, tidak kira bangkai atau bukan-bangkai, semua mereka sapu, ketiga, mereka tidak kira halal atau haram, semuanya meraka telan dan yang keempat, mereka ini makan besar.

Kedua, pada tahun 1987, Tun Mahathir memperkenalkan “undi hantu” dalam pemilihan UMNO. Ada tuduhan bahawa beliau menang menjadi Presiden UMNO mengalahkan YM Tengku Razaliegh Hamzah kerana undi hantu. UMNO diharamkan oleh mahkamah kerana kehadiran perwakilan yang tidak sah di dalam perhimpunan agung UMNO. Sesetengah dari orang yang bersekongkol dengan Tun Mahathir dalam membuat kerja mungkar ini masih menjadi orang setia beliau hingga kini. Sesetengahanynya pula telah meninggalkan beliau. Ada yang bertukar menjadi seteru beliau.

Ketiga, kerana gara-gara penipuan dalam UMNO, beliau juga merosakkan sistem kehakiman negara. Berikutan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan dua orang hakim mahkamah tinggi dipecat dan tiga lagi digantung. Sistem kehakiman diperkosa. Sejak dari peristiwa inilah sistem kehakiman negara menjadi rosak dan tempoh dua dekad berikutnya menyaksikan sistem kehakiman terus diperkosa dan rosaknya semakin parah.

Tun Mahathir berkata bukan beliau yang memecatkan mereka. Kenyataan seperti ini memperbodohkan rakyat. Salah sangka besar kalau Tun Mahathir beranggapan bahawa beliau boleh terus memperbodohkan rakyat. Sebab itulah dalam PRU12 ramai rakyat mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO-BN.

Kerajaan telah mengaku bersalah pada 17 April 2008 dalam hal pemecatan dan penggantungan hakim-hakim berkenaan, namum Tun Mahathir tetap keras hati tidak mahu memohon maaf kepada hakim-hakim yang telah beliau aniaya. Kalau dicadangkan agar hakim-hakim terbabit bertindak menyaman kerajaan dan Tun Mahathir bagi menebus malu, dirasakan majoriti rakyat akan menyokong.

Keempat, siapakah yang memperkenalkan politk wang dalam UMNO kalau bukan Tun Mahathir? Jawatan di dalam UMNO boleh dijual beli dan pembida tertinggi menang. Sesiapa yang berminat untuk berada di pucuk pimpinan, mereka harus mempunyai banyak wang. Mana hendak ambil wang? Maka bermulalah era amalan rasuah di kalangan pemimpin. UMNO.

Pemimpin UMNO pergi jumpa taukeh sana dan taukeh sini untuk mendapatkan wang dengan janji akan mengurniakan projek kepada taukeh-taukeh yang sanggup memberi “wang pendahulaun” kepada pemimpin UMNO yang mahu bertanding untuk merebut jawatan dalam parti. Memanglah mereka mendapat wang berjuta-juta malah beratus juta tetapi projek-projek yang bernilai ratusan juta malahan bilion ringgit jatuh ke tangan segelintir taukeh-taukeh. Siapa yang mengkayakan sekelompok taukeh-taukeh – tidak kiralah Cina, Melayu India atau orang asing – kalau tidak pemimpin UMNO?

Badan-badan yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perdagangan sebahagian besarnya menjadi tonggangan pemimpin UMNO untuk menjana wang yang kemudiannya digunakan untuk membeli jawatan dalam UMNO dan dalam kerajaan. Tanah kerajaan dijual kepada syarikat Bumiputera tetapi tanah yang sama akhirnya dijual kepada mana-mana taukeh yang sanggup memberi rasuah pada harga yang lebih tinggi dan habuan digunakan oleh pemimpin UMNO untuk membeli jawatan.

Tidak ada syarikat “milik Bumiputera” yang ditubuhkan kecuali syarikat itu mesti menyalurkan wang kepada UMNO dan pemimpin UMNO. Akibat dari krisis kewangan 1997-98 dahulu, banyak syarikat ini yang telah lingkup. Banyak pula yang dipulihkan dengan menggunakan wang rakyat dan syarikat-syarikat ini sekarang digelar “Government-linked companies.” GLCs ini terus menjadi tonggangan UMNO. Sebab itulah Dasar Ekonomi Baru gagal.

Cukuplah sekadar ini. Kalau hendak didedahkan semua kemungkaran, ia akan menjadi buku yang cukup tebal. Tindakan yang terbaik yang wajar diambil oleh Abdullah Badawi ialah “tutup mulut “ Tun Mahathir kalau pendarahan UMNO mahu dihentikan. Sejak kebelakangan ini tindak-tanduk beliau banyak memalu malah merugikan UMNO. Beliau mungkin sudah jatuh ke dalam golongan yang menderhaka kepada UMNO dan kalau memang benarlah perkara ini, maka, mengikut piawaian Almarhum Tunku Abdul Rahman, wajar bagi UMNO memecat beliau.

Dhaka, Bangladesh
19 April 2008

Wednesday, April 16, 2008

Berniaga di Negara Bangladesh

Di sini saya, di Bangladesh dari banyak-banyak negara di dunia. Ramai sahabat bertanya: ”Kamu mahu berniaga di Bangladesh, negara termiskin di dunia itu?” Jawapan saya mudah: ”Rezeki ada di mana-mana. Kalau rezeki saya di Bangladesh, insya Allah, Allah akan sampaikan saya di sana.” Dan di sini saya di bumi 95% rakyatnya umat Islam setelah tiga setengah jam penerbangan dari KLIA, Sepang.

Saya tiba di Bangladesh pada awal pagi 12 September dan terus ke sebuah tempat penginapan persendirian, Ambrosia di daerah Dhanmondi, satu kawasan perniagaan dan kediamanan yang amat sebok di Dhaka. Tentunya, seluruh Kota Dhaka sibuk, padat dan bersesak-sesak kerana penduduknya melebihi 10 juta umat.

Pada malam berikutnya saya dan rakan-rakan menghadiri jamuan makan malam meraikan kejayaan sebuah bank perniagaan milik pelabur Abu Dhabi memulakan perniagaannya di Bangladesh, iaitu, Al Falah Bank Limited. Majlis itu adalah perhimpauan ahli perbankan di Dhaka dan saya amat gembira kerana dapat bertemu dan berinteraksi dengan mereka hanya dalam tempoh satu hari saya berada di Dhaka. Di pertemuan ini saya mendapat maklum bahawa pelabur Timur Tengah sudah lebih awal datang berniaga di Bangladesh termasuk di dalam sektor kewangan khususnya perbankan.

Di malam kedua saya dan rakan-rakan dijemput ke majlis makan malam di rumah seorang shahabat dari Malaysia yang menjadi bos syarikat Aktel, sebuah syarikat talipon bimbit. Saya terperanjat lagi kerana hadir di majlis itu hampir seratus orang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka. Mereka berkerja dengan syarikat dan bekerja sendiri sebagai pedagang dan kontraktor. Di zaman saya belajar di Amerika dahulu, kalau ada pertemuan dengan rakyat Malaysia, majoriti yang hadir orang kedutaan dan pelajar. Di Bangladesh berlainan – orang berniaga yang majoriti.

Bagi saya ”Bangladesh is an up and coming economy” walaupun ia miskin. Penduduknya melibihi 150 juta dan industri galian sudah bermula. Rakyatnya cukup cintakan ilmu dan cinta agama. Apa yang diperlukan ialah kemasukan pelaburan yang membawa kepada peningkatan peluang kerja dan pendapatan yang akan memutarkan roda eknomi dengan lebih laju dan dengannya kemakmuran akan meningkat. Masalah utama ekonomi Bangladesh ialah ketidakadilan agihan sosial dan ekonomi – jurang kaya-miskin yang terlalu lebar.

Dalam laporan bertajuk “Doing Business 2007: How to Reform” yang dikeluarkan secara bersama oleh International Finance Corporation dan Bank Dunia pada 6 September 2006 yang mendedahkan hasil kajian mengenai kos menjalankan perniagaan di 175 buah Negara di dunia, di dapati Bangladesh berada di tangga ke 88 dari segi kos menjalankan perniagaan. Ini bukanlah satu berita yang mengembirakan kerana secara perbandingan ini bermakna kos menjalankan perniagaan di Bangladesh bukanlah yang termurah di dunia. Di dalam cluster Asia Selatan, kos menjalankan perniagaan lebih rendah di Bangladesh berbanding Sri Lank ( tangga ke 89), Nepal (100), India (134), Bhutan (138) dan Afghanistan (136) tetapi lebih tinggi berbandin Maldives (53) dan Pakistan (74).

Kos menjanlakan perniagaan adalah paling rendah di Singapura (tangga pertama) diikuti New Zealand (2), Amerika Syarikat (3) dan Kanada (4). Di kalangan negara Asia – selepas Singapura - kos menjalanan perniagaan paling rendah di Hong Kong (tangga ke 5 di dunia) diikuti Jepun (11), Thailand (18), Korea Selatan (23) dan Malaysia (25).

Penarafan mengenai kos menjalankan perniagaan diasaskan kepada tujuh ciri, iaitu, memulakan perniagaan, berurusan mendapatkan lesen, kemudahan mendapatkan pinjaman, membayar cukai, perniagaan merentas sempadan, perlindungan kepada pelabur-pelabur dan menutup perniagaan. Dalam aspek melindungi pelaburan, Bangladesh berada pada tangga ke 15 di dunia dan paling atas di kalangan lapan negara Asia Selatan – Pakistan (18), India (33), Maldives (33), Nepal (60), Bhutan (79) dan Afghanistan ( corot, 173).

Kajian terkini yang dibuat oleh Dhaka Chamber of Commerce and Industry (DCCI) mendapati bahawa rasuah, kekurangan kemudahan infrastruktur dan karenah birokrasi meningkatkan kos menjalankan perniagaan. Selain dari kos yang meningkat, ahli-ahli DCCI, yang mana 70% terdiri dari industri kecil dan sederhana berdepan dengan masalah kesukaran mendapat akses kepada sumber kewangan pada kos yang munasabah.

Sekarang sudah ada kesedaran yang tinggi di Bangladesh untuk membaiki iklim pelaburan dan usaha ini dibantu oleh Bank Dunia. Bangladesh telah melaksanakan beberapa langkah ke arah ini seperti memperkenalkan akta baru pendaftaran tanah bagi melindungi pemilik tanah dan mengurangkan amalan rasuah dalam urusniaga tanah. Langkah lain termasuk membanteras rasuah secara keseluruhannya, membaiki kemudahan infrasturktur, mengatasi masalah kekurangan tenaga letrik, membaiki suasana politik dan mengatasi masalah indicisiveness di pihak kerajaan dan pelbagai pihak berkuasa kerajaan. Susana pasaran buruh juga sedah diperbaiki bagi mengurangkan insiden labour unrest yang boleh menghambat pelaburan.

Dengan pelebaran ruang demokrasi di Bangladesh, timbul keyakinan baru bahawa pelaburan di negara ini boleh menghasilkan pulangan yang lumayan. Saya perhatikan ramai pelabur-pelabur dari negeri Cina, Jepun dan India berniaga di Bangladesh. Begitu juga pelabur-pelabur dari Timur Tengah. Pelabur dari Malaysia yang menduga nasib di Bangladesh juga semakin ramai. Mungkin mereka yakin bahawa di tengah-tengah permasalahan itu ada peluang. Saya rasa inilah yang membawa ramai pelabur ke Bangladesh sekarang. Bagi saya, keramaian penduduk Bangladesh menjadi pertimbangan utama untuk memulakan pernigaan di sini. Apabila pendapatan rakyat Bangladesh dapat di tingkatkan melalui penwujudan peluang kerja dan peningkatan produktiviti, roda ekonomi akan berputar semakin pesat, aktiviti perniagaan akan meluas dan kemakmuran akan terhasil.

Dhaka
18 September 2006

Monday, March 17, 2008

Kemenangan BA: Hasil Doa, Pengorbanan, Darah dan Air Mata

Pakatan Barisan Alternatif (BA) – DAP, PKR dan PAS – kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Kesebelas (PRU11) 2004. PAS kehilangan negeri Terengganu dan menang tipis di Kelantan. Kekalahan diterima dengan penuh kesabaran walau pun ianya berlaku dalam suasana pilihan raya “yang paling kotor” dalam sejarah negara. Pengundi hantu berkeliaran dan ruang bagi BA untuk mendapatkan pendedahan di dalam media perdana milik kerajaan mahu pun milik swasta hampir sifar. Imej Abdullah Badawi yang kononnya “bersih” telah memukau pengundi lalu mereka terus memenangkan BN.

Rancangan perhimpunan seratus ribu rakyat anjuran PAS untuk memprotes penipuan dibatalkan kerana ada ugutan bahawa pemimpin-pemimpin PAS akan disumbat ke dalam kem tahanan Kemunting jika perhimpunan diteruskan. Ketika himpunan dibatalkan, sudah berpuluh-puluh ribu penyokong PAS dan PKR tiba di Kuala Lumpur. Mereka pulang ke kampong masing-masing dengan rasa kecewa. Ada tuduhan bahwa pemimpin PAS penyecut, diugut dengan ISA sudah menggigil. Mengimbas kembali, ternyata pembatalan itu ada barakahnya laksana perjanjian Hudaibiyyah.

Masa yang berlalu menyedarkan rakyat bahawa mereka tidak mahu terus ditipu dan dizalimi. Mereka tidak rela dipatuk di lobang yang sama dua kali. Sudah sampai masa untuk berubah.

Bangun Dari Debu Kekalahan

Bangun dari debu kekalahan, BA membina kekuatan se awal selepas PRU11 berakhir. Mereka mengambil sikap tiada gunanya untuk cry wolf di atas kekalahan. Secara positif mereka memandang ke hadapan menangani persoalan: Bagaimanakah “kekebalan” UMNO-BN boleh ditembusi dan kekalahan boleh ditukar menjadi kemenangan dalam PRU12 yang mendatang?

Organisasi diperkemas dan diperkasa dan program turun padang menemui rakyat dipertingkat. Pemimpin-pemimpin BA menjelajah keseluruh pelusuk negara. Beberapa program besar turun ke jalan raya seperti himpunan seratus ribu rakyat 10 November 2007 dan himpunan HINDRAF telah berjaya diadakan walau pun terpaksa berdepan dengan keganasan polis dan paksaan berihat di Kemunting.

Dinafikan ruang dalam media aliran perdana, pihak BA mengeksploit sepenuhnya saluran media alternatif untuk menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada rakyat. Peningkatan mendadak celik-komputer di kalangan rakyat khasnya golongan muda meluaskan pengkalan sokongan bagi BA. BA melancarkan perang siber. Cubaan BN untuk mencekik media alterntif ternyata tidak berkesan.

Pelbagai Program

Di samping memperhebatkan program ceramah yang merupakan program tradisi, PAS menambahkan pelbagai program dalam kerangka untuk mempromosi parti itu dan memenangi hati dan minda rakyat termasuklah program-program khidmat masyarakat, penggunaan media elektronik seperti web TV dan akhbar internet sebagai saluran alternatif untuk menyampaikan maklumat, mengadakan majlis-majlis dialog, majlis makan malam dan minum teh petang, persidangan-persidangan, seminar dan pelbagai lagi. Program berjalan tanpa henti, dalam cuaca panas mahu pun hujan.

Walaupun diakui program-program yang disebut bukan cara terbaik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat kerana jangkauannya yang terhad, itu sahaja yang terbuka kepada PAS apabila semua saluran media perdana dimonopoli kerajaan BN.

Lebai Profesional

Untuk meluaskan tapak sokongan orang bukan Melayu, PAS menubuhkan kelab-kelab penyokong PAS di seluruh negara. Semakain ramai orang bukan Islam memahami perjuangan PAS.

Pemimpin-pemimpin dari peringkat bawah sampailah ke peringkat tinggi dengan tidak jemu-jemu merancang dan melaksanakan program parti yang sukar dikira banyaknya. Beratus-ratus program berjalan serentak di seluruh negara setiap hari khasnya dihujung minngu. Semua ini dengan biaya yang datang dari poket ahli sendiri. Pengorbanan ahli tidak mengenal batas dan tidak pula pernah mengharapkan balasan kecuali redha Allah SWT.

Sejak dari tahun 1998, parti PAS telah menjadi tadahan kepada kemasukan ahli profesional ke dalam parti itu, kebanyakan meninggalkan UMNO kerana bersimpati dengan Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) yang dipecat dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri secara aniaya dan zalim, angkara Mahathir Muhamad yang abusive. Kini PAS merupakan sebuah parti yang pimpinan dan ahlinya merupakan sebuah gabungan golangan Melayu berpendidikan agama yang dididik disekolah agama, madrasah dan universiti-universiti Timur Tengah dan golongan teknokrat Melayu yang dididik di sekolah-sekolah biasa dan universti-universti tempatan dan Barat.

Kini, tiada siapa lagi yang berani menjenamakan parti itu sebagai “parti tok lebai.” Ahli PAS yang yang cepat merentasi bilangan sejuta merangkumi seluruh lapisan masyarakat yang tiada beza antara satu sama lain umpama jemaah haji berpakaian ihram di Padang Arafah. Ukuran taraf mereka hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Wajah baru PAS ini menyebabkan ianya lebih menarik kepada rakyat pelbagai kaum sehingga tapak sokongannya terus membesar.

Darah dan Air Mata

Kemaraan PAS dalam pesada politik negara bukan dicipta dalam satu hari satu malam. Kerja-kerja yang telah dijalankan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dengan segala kepayahan, onak dan duri dan tribulasi yang mereka lalui memperkasakan PAS. Pimpinan silih berganti tetapi perjuangan PAS tidak pernah berganjak dari Islam yang menjadi tonggak. Pengorbanan, perjuangan dan kerja-kerja pemimpin sepertu Al Marhum Ustaz Fadhil Nor, Al Marhum Yusof Rawa dan ramai lagi kini mula berbuah lebat dan hasilnya dituai oleh pewaris perjuangan. Barisan pemimpin dan para pejuang dan aktivis yang telah shahid tetap dalam ingatan. Mereka telah memperkasakan PAS dengan air mata, darah dan jiwa dan raga.

Itulah adat perjuangan, ibarat menanam pokok. Para pejuang awalan menanam benih, menyiram air, membaja, melindungi pokok dari unsur perosak, membuat pagar dan membersihkan semak samun supaya pokok tumbuh tanpa terencat. Pokok hanya akan berbuah apabila sampai umur ianya ditakdirkan berbuah. Acapkali, si penanam tidak berpeluang menikmati buah dari pokok yang ditanam. Pokok durian hanya akan berbuah bila cukup umurnya. Buahnya pula akan gugur apabila ia sudah masak dengan sempurna. Buah yang dijolok tidak akan masak dengan sempurna dan kalau ia masak pun rasanya tidak se sedap buah yang masak secara tabii di atas pokok dan gugur dengan sendiri.

Demikianlah perjuangan PAS. Ianya untuk generasi dan pewaris yang mendatang menyambung perjuangan. Perjuangan PAS adalah satu mata rantai dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam yang diwarisi dari Nabi Muhamad SAW dan para Nabi terdahulu hinggalah ke akhir zaman.

Jangan lupa, kejayaan yang dikecepi adah berkat doa orang yang tidak jemu-jemu berdoa kepada Allah SWT.


Faktor DSAI

Kembalinya DSAI ke pesada politik tanah air (setelah dibuang kes) menyemarakkan lagi suasana politik negara. Atas sifat sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, beliau telah berjaya membawa rakyat pelbagai kaum berjemaah di bawah parti majmuk PKR yang mana beliau menjadi penasihatnya dan isteri beliau menjadi Ketua. Beliau menjelajah ke seluruh pelusuk negara tanpa henti.

Perlu disebut bahawa DSAI adalah pemimpin perkasa hasil didikan masa dan peristiwa. Guru beliau adalah gerakan pelajar, gerakan belia Islam, air mata rakyat miskin Baling dan Pantai Dalam, hujan peluru gas pemedih mata dan air asid, penjara Kemunting, gelanggang UMNO-BN, jemaah menteri, fitnah kubra oleh Tun Mahathir Muhamad, pembelasahan sampai hampir maut oleh Ketua Polis Negara dan pakatan BA. Umum mengetahui bahawa tiada pemimpin yang telah menempuh begitu banyak onak dan duri, pahit dan maung dan tribulasi seperti DSAI.

Keunggulan dan kewibawaan beliau sebagi pemimpin cukup teruji. Di atas pimpinan beliau, PKR muncul sebagai sebuah parti yang perkasa dengan barisan pimpinan yang terdiri daripada golongan profesional dan berilmu tinggi dengan ahlinya pula merentasi pelbagai kaum dan strata masyarakat – yang kaya, pertengahan dan yang miskin. DSAI juga telah berjaya memperkasakan pakatan BA. PRU12 menyaksikan peningkatan persefahaman dan kerjasama di antara parti PAS, PKR dan DAP.

Khidmat Guaman

Parti DAP yang paling banyak memenangi kerusi parlimen dalam PRU11 terus meluaskan pengaruhnya di kalangan kaum Cina dan India dan lain-lain bangsa melalui pendekatan lawatan rumah ke rumah, program khdimat masyarakat dan melancarkan perang siber. DAP amat terkenal di kalangan masyarakat berbilang kaum kerana memberi khidmat guaman kepada golongan yang tertindas tnapa mengira kaum.

Peguam-peguam dari parti DAPlah yang memberi pembelaan kepada orang-orang Cina, India dan Melayu yang berdepan dengan permasalahan undang-undang di mahkamah. Peguam-peguam dari parti UMNO-BN tidak akan membela sesiapa pun dalam kes-kes yang tidak memihak kepada pemimpin-pemimpin dan kepentingan BN kerana takut peluang cari makan mereka tergugat.

Fitnah Belaka

Tidak boleh dinafikan bahawa wujudya pakatan PAS-PKR-DAP walaupun longgar khasnya di antara PAS dan DAP, merupakan satu faktor penting yang telah menjana kemenangan. Jika ada pengajaran dari keputusan FRU12 ini, maka pengajaran penting bagi DAP ialah tidak rugi untuk menserasikan diri dengan perjuangan PAS kerana perjuangan Islam adalah untuk menegakkan keadilan untuk seluruh manusia. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang berjuang di atas landasan bangsa, warna kulit, darah dan keturunan. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang tidak melindungi hak rakyat – Islam dan bukan Islam - apatalah lagi menafi dan merampas hak mereka. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang menzalimi dan yang tidak adil kepada rakyat yang berbilang kaum.

Allah memerintahkan pemimpin Islam menegakkan keadilan untuk seluruh umat manusia. Tidak ada paksaan dalam Islam. Inilah garis besar yang menjadi landasan kepada hubungan umat Islam dan bukan Islam. Fitnah yang ditabur MCA di kalangan kaum Cina yang kononnya Islam yang dibawa PAS bersamaan dengan keganasan, bahawa jika PAS berkuasa ia akan memaksa orang bukan Islam tunduk ke bawah hukum Islam dan PAS akan merampas hak orang bukan Islam sudah tidak lagi melekat di hati dan minda kaum Cina. Akhirnya, masyarakat Cina sedar bahawa semua itu fitnah belaka. Mereka menghukum parti MCA sehingga hampir maut.

Menonjolkan Kesederhanaan

Penonjolan sifat kesederhanaan oleh pemimpin-pemimpin BA apabila pergi bertemu rakyat cukup menambat hati. Pemimpin wanita PKR, DAP dan muslimat PAS yang berpakaian sopan dan berperhiasan ala kadar dan mesra rakyat seperti Datin Sri Wan Azizah, Dr. Maria, Dr. Lo Lo Ghazali, YB. Theresa Kuok dan ramai lagi, amat serasi dengan cita rasa rakyat terbanyak. Rakyat menjadi saying kepada mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO-BN pula datang bertemu rakyat dengan gaya mewah “the rich and famous” mahu memaparkan kekayaan. Wanita UMNO ramai yang memaparkan gaya “ala mami jarum.” Datang pula dengan menaiki kereta mahal. Pakaian dan aksesori juga mahal-mahal belaka, jenama pereka. Yang pemimpin Islamnya, jarang pula yang betul-betul tutup aurat.

“Unsung Heroes”

Peranan pelbagai NGO yang memihak kepada BA tidak boleh diperkecilkan dalam usaha menentang kezaliman dan ketidakadilan. Walau pun bilangannya masih kecil, sudah ada NGO yang berjuang bersama-sama parti pembangkang. Ini satu faktor plus kepada BA.

Pada kemuncaknya, pengorbanan rakyat terbanyaklah yang membawa kemenangan. Rakyat berkorban tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran melainkan untuk melihat keadilan tertegak dan kezaliman berakhir. Siapakah yang turun ke Ibu Kota untuk berdemontrasi kalau bukan para aktivis dan rakyat biasa? Mereka datang dari seluruh pelusuk negara menaiki bas, keretapi, berkongsi kereta dan motor sikal dengan belanja sendiri untuk berdepan dengan polis yang ganas, pukulan baton, hujan peluru pemedih mata dan air asid malahan peluru hidup. Mereka tidak pernah takut kepada bahaya dan risiko akan maut di tangan pasukan polis. Inilah unsung heroes yang tidak pernah meminta nama mereka diagongkan. Kepada mereka cukuplah Allah yang menentukan ganjaran.

Sebenarnya, BA tidak kuat tetapi BN juga lemah. Resepi utama kemenangan ialah BA tidak jemu-jemu berusaha. Bagi PAS, pengorbanan yang panjang merentasi pelbagai generasi dan darah para syuhadah yang tersimbah di bumi dan doa yang tidak putus-putus akhirnya mula menghasilkan buah.

Setelah dikurniakan kemenangan, tugas yang lebih besar dihadapan kita untuk mengisi dan mengekalkan kemenangan. Ini adalah tugas yang jauh lebih sukar, tugas mendaki gunung (uphill task). Untuk menjana kemenagan yang lebih besar dalm PRU12, ia menuntut tidak kurang dan tidak lebih dari pengorbanan yang ikhlas, darah, air mata, jiwa dan raga dan di atas segala-segalanya doa kepada Allah SWT. Bukankah doa itu senjata ampoh kaum Muslimin? Bersyukurkan kepada Allah SWT di atas kemenangan yang dicapai dengan segala keinsafan kerana hanya Dia yang mampu dan berhak mengurniakan kemenangan kepada sesiapa yang Dia sukai.

Dhaka, Bangladesh
15 Mac 2008

Sunday, March 16, 2008

Kaum Cina dan India Sudah Berubah, Kaum Melayu Bila Lagi?

“Binasalah kedua-dua tangan Abu Lahab dan binasalah ia bersama. Hartanya dan segala yang diusahakannya tidak dapat menolongnya. Ia akan menderita bakaran api neraka yang marak menjulang. Dan juga isterinya, seorang perempuan pemuggah kayu api. Di lehernya sejenis tali dari tali-tali yang dipintal.” (Ayat 1-5, Surah 111, Al-Masad).
Tanpa diduga, Pilihan Raya Umum Keduabelas 8 Mac 2008 (PRU12) menimpakan lipatan maut kepada gabungan 14 parti UMNO-Barisan Nasional (BN) sekaligus mendedahkan bahawa parti itu bukannya kebal. Inilah keputusan pilihanraya yang terburuk bagi BN dalam sejarah.

Ia menghantar shock-wave ke seluruh negara lalu menghumbankan pemimpin dan penyokong BN ke dalam keadaan tergamam dan tidak percaya. Pemimpin dan penyokong pakatan BA terkejut gembira kerana menerima bonus di luar dugaan.

BN dilanda Tsunami

Dosa-dosa yang lakukan terhadap rakyat, khususnya sedari zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri hingga kini akhirnya menemukan BN buku dengan ruas dengan kuasa keramat rakyat. Di atas kapangan dosa itulah BN membina kekuasaan dan kerana kapangan dosa itu pula rakyat menjatuhkan hukuman. BN dilanda Tsunami, ditimpa malang yang ditempa sendiri. Allah itu Maha Besar lagi Maha Adil.

Keputusan PRU12 (Jadual 1) jelas menunjukkan bahawa kuasa keramat rakyat menimpakan pukulan maut kepada BN. Ia hilang kuasa di empat buah negeri dan Wilayah Persekutuan Dengan buaian kuasa keramat rakyat memihak kepada pakatan PAS-PKR-DAP (BA), ia berjaya menawan negeri Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dan mengekalkan kerajaan PAS Kelantan. BA menawan 10 daripada 13 kerusi parlimen Wilayah Persekutuan.

Abu Jahal Maut


Serangan ganas BN ke atas kerajaan PAS Kelantan dengan selogan “Merawat Rakyat Kelantan” telah dikalahkan dengan pukulan maut. Ibaratnya, serangan tentera jahiliyyah berjaya dipatahkan oleh tentera Islam dengan pertolongan tentera malaikat di medan perang Badar. Abu-abu jahal dan lahab Kelantan seperti Dr. Awang Adek Hussain, Anwar Musa, Dr. Asraf Wajdi Dasuki, Rahim Mohd. Zin, Mohd. Fatmi Che Salleh, Ahmad Rosdi Mohamad, Mohd. Affandi Yusoff, Abd. Ghani Mamat, Shaari Hassan, Sazmi Miah dan ramai lagi dan ummu-ummu Jamil mereka kecundang.


Rakyat Kelantan betul-betul menghayati selogan “Masa untuk Berubah” meninggalkan BN dalam skala besar. UMNO Kelantan kini merawat luka yang parah.


PAS memasuki PRU12 dengan cita-cita untuk mempertahankan Kelantan dan menawan kembali Terenggagu. Pakatan BA pula bercita-cita untuk menafikan majoriti dua pertiga kepada BN. Cita-cita untuk merampas pemerintahan dari kerajaan BN memang ada tetapi ia tidak mampu dilafazkan dengan terbuka kerana keyakinan yang ada hanya samar-samar. Namun, dalam tempoh berkempen, pemerhati politik telah mengesan perkembangan yang menyebelahi BA.


Unjuran


Wujud unjuran bahawa BA mampu memenangi sehingga 40 kerusi parlimen di seluruh negara. Pada saat terakhir sebelum hari pengundian pada 8 Mac 2008, wujud pula ramalan di mana BA akan memenangi sehingga 70 kerusi parlimen dan akan menawan beberapa buah negeri di samping mempertahankan Kelantan. Pemimpin BN tertekan dan terjebak di dalam keadaan di antara percaya dan tidak percaya. Sesuatu yang drastik perlu dilakukan segera lalu diarah SPR membatalkan penggunaan dakwat secara unilateral supaya di sana wujud ruang untuk memanupulasi perjalanan pilihan raya. Serangan media diperhebatkan. Semuanya terbukti terlambat.


Mimpi ngeri menjadi kenyataan pada dini hari 9 Mac 2008. Dengan tiba-tiba dan tanpa diduga, BN runtuh dilanda Tsunami. Lidah pemimpin kelu tidak mampu berkata-kata. Sidang media dini hari 9 Mac tertangguh begitu sahaja. Soalan wartawan tidak mampu dijawab. Abdullah dan Najib tidak keluar suara. Angkat tangan pun nampak tidak bermaya. Mereka tergamam dan terkejut.


PAS Gagal di Terengganu


PAS gagal menawan semula negeri Terengganu tetapi luka dan kesedihan dari kekalahan ini terawat bila kuasa keramat rakyat menghasilkan kemenangan besar kepada BA di lima buah negeri dan Wilayah Persekuatan. PAS menambah negeri Kedah ke bawah naungannya.


Di samping itu, BA berjaya membina tapak di negeri-negeri lain termasuk kelahiran sulung DUN PAS di Negeri Sembilan apabila Haji Mohd. Taufek Abdul Ghani, Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan memenangi kerusi DUN Paroi dalam Parlimen Rembau dengan majoriti selesa 1107 undi. Kecuali negeri Melaka, Sabah dan Sarawak, PAS sudah ada wakil di DUN setiap negeri.


Kuasa keramat rakyat juga memungkinkan BA menimpakan pukulan maut kepada parti-parti MCA, MIC, GERAKAN dan PPP, rakan kongsi kanan UMNO. Kecuali pemimpin tertinggi MCA (Ong Ka Ting), pemimpin tertinggi MIC (S. Samy Vellu), GERAKAN (Dr. Koh Tsu Koon) dan PPP (M. Kayveas) kecundang.


MIC hilang kesemua kerusi parlimen kecuali 3. MCA hanya menang 17 kerusi parlimen daripada 40 yang diperuntukkan kepada parti itu. GERAKAN hilang kesemua kerusi parlimen yang diperuntukkan kecuali dua. PPP tidak memenangi sebarang kerusi.


Enggan Letak Jawatan


Bagi Abdullah Badawi, beliau kehilangan sokongan rakyat negeri beliau sendiri - Pulau Pinang. Hanya beliau dan Nor Mohamed Yackop (orang yang dikatakan telah menyebabkan Bank Negara Malaysia kerugiaan berbilion-bilion ringgit dalam spekulasi haram pertukaran wang asing yang dilakukan oleh beliau dengan menggunakan akaun-akaun pegawai bawahan beliau) yang menang, masing-masing di parlimen Kepala Batas dan Tasik Gelugur. Yang lainnya dimenangi DAP (7) dan PKR (4) sekali gus menimbulkan persoalan: Apakah layak bagi beliau untuk terus memimpin kerajaan BN?


Kesemuanya, seramai 4 Menteri dan 10 Timbalan Menteri BN tumpas. Juga, ramai Setiausaha Parlimen kecundang.


Gesaan, termasuk dari mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Muhamad dan ahli parlimen Jerlun, Kedah yang baru, Datuk Mukriz Tun Mahathir, supaya Abdullah Badawi mangakui “anak yang lahir” dan meletakkan jawatan tidak dihiraukan.


Telur Dihujung tanduk



Kalau ditolak kerusi parlimen Sabah dan Sarawak, BN hanya memenangi 84 kerusi berbanding 80 yang dimenangi BA. Ini bermakna BN sudah hampir kalah di Semenanjung dan kalaulah tiada rakan kongsi dari Sabah dan Sarawak, BN sudah hilang kuasa. Kedudukan kerajaan BN sudah seperti telur dihujung tanduk. BA hanya memerlukan 30 kerusi lagi untuk mendapat majoriti mudah (112) dalam parlimen (Jadual 2).



Sekiranya sesuatu berlaku sehingga membawa sebahagian ahli parlimen UMNO di Semenanjung dan Sabah dan ahli parlimen Sarawak menyeberang ke BA, kedudukan kerajaan BN boleh tergugat. Apakah ini yang menjadi maksud apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Penasihat PKR menyatakan bahawa BA bukan “an opposition Government” tetapi “a Government-in-Waiting”? Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Memang umum mengetahui bahawa DSAI mempunyai rakan karib dalam UMNO dan mempunyai hubungan peribadi yang akrab dengan pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak. Tidak boleh ditolak bahawa beliau mungkin merancang untuk merealisasikan kerajaan BA.


Masa untuk Berubah


Kekalahan teruk parti MCA, MIC dan Gerakan menunjukkan perubahan ketara di dalam cita rasa politik kaum Cina dan India. Kuam Cina secara masif menolak MCA dan Gerakan lalu memberi sokongan padu kepada DAP dan PKR dan juga PAS sementara kaum India pula, juga secara masif, menolak MIC lalu memberi undi kepada DAP dan PKR dengan limpahan kepada PAS. Ini berlaku khususnya di negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Hanya di negeri Johor, Pahang, Melaka, Sabah dan Sarawak kaum Cina memberi sokongan padu kepada BN khasnya parti komponen BN yang berasaskan kaum Cina.


Perubahan di kalangan pengundi Melayu tidak merata dan pada keseluruhan, skalanya tidak sebesar perubahan yang lakukan oleh kaum Cina dan India.


Di Kelantan, perubahan cita rasa politik orang Melayu yang ketara memberi kemenangan besar kepada PAS. UMNO membiayai kepulangan anak Kelantan yang bekerja dan bermastautin di luar Kelantan dengan harapan mereka mengundi calon-calon UMNO tetapi sebaliknya berlaku. Mereka mengundi calon PAS.


Di Sabah pengundi Melayu dan Bumiputera yang lain masih lagi tidak berganjak. Mereka terus memberi sokongan padu kepada UMNO dan parti komponen BN yang lain.


Di negeri-negeri Selatan Semenanjung – Johor, Melaka dan Negeri Sembilan yang memang terkenal sebagi kubu UMNO – sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR semakin meningkat tetapi belum lagi mencapai skala yang memungkinkan calon kedua parti ini meraih kemenangan besar.


Di Negeri Sembilan, sedikit peningkatan pengundi Melayu yang menyokong calon PKR dan PAS dibantu pula oleh buaian (swing) ketara pengundi Cina dan India telah memungkinkan PKR meraih empat kerusi DUN (Sikamat, Ampangan, Port Dickson dan Chuah) dan satu kerusi parlimen (Teluk Kemang) dan PAS pula memenangi Dun Paroi. Kesemua ini adalah kawasan bandar. Teluk Kemang ialah bandar pelancungan sementara Paroi, Ampangan, Sikamat, Port Dickson dan Chuah adalah bandar-bandar baru (new township).


Hampir di kesemua kawasan parlimen dan DUN, majoriti calon BN terus menguncup. Di parlimen Rembau misalnya, majoriti kemenangan calon BN merosot daripada dari 10,000 dalam PRU11 kepada sekitar 6,000 dalam PRU12 ini. UMNO bagaimana pun, terus menguasai Melayu kampong yang nampaknya sukar berubah. Calon PAS bertanding di kawasan di mana pengundi Melayu merupakan dua pertiga dari seluruh pengundi, kesemuanya berdepan dengan calon UMNO. Semua calon PAS kalah sekali gus menunjukkan bahawa sokongan orang Melayu Negeri Sembilan kepada UMNO masih teguh di kawasan kurang maju yang merupakan “Malay heartland” di Negeri Sembilan seperti Jelebu, Kuala Pilah, Tampin dan kawasan didominasi peneroka FELDA, Jempol.


Perubahan pengundi Melayu di negeri Johor telah memenangkan dua calon PAS di DUN Sungai Abong dan DUN Maharani. Di Melaka terdapat peningkatkan besar dalam undi yang diperolehi calon PAS hampir di semua kawasan tetapi skalanya belum cukup besar untuk menukar kekalahan kepada kemenangan.


Di Perak, PAS memenangi 6 kerusi DUN menggambarkan bahawa sokong orang Melayu kepada PAS semakin kuat. Persefahaman yang wujud di antara parti DAP, PKR dan PAS dalam PRU12 ini membolehkan calon PAS meraih undi bukan Melayu. Walau bagaimana pun, perubahan ketara cita rasa politik kaum Cina dan India yang di dalam PRU12 ini mengundi calon-calon parti pembangkang telah membolehkan BA menerajui kerajaan negeri Perak.


Diperhatikan bahawa cita rasa politik pelbagai kaum turut berubah di negeri Perlis tetapi skalanya masih tidak cukup besar untuk menukar kekalahan BA kepada kemenangan.


Perubahan cita rasa politik pengundi pelbagai kaum di negeri Terengganu sukar dirumuskan kerana di sana ada tuduhan penyelewengan dalam bentuk kehadiran pengundi hantu yang mengelabui penilaian. Penilaian tepat tidak boleh dibuat. Namun, di sana tetap wujud perubahan cita rasa politik pengundi Melayu sekali gus memungkinkan parti PAS menawan semula 8 kerusi DUN dan satu kerusi parlimen. Cubaan pihak PAS untuk meminimumkan kehadiran pengundi hantu telah menimbulkan sedikit huru-hara tetapi pada keseluruhannya, usaha untuk menghalang fenomena pengundi hantu di Terenggasnu tidak berjaya.


Kaum Melayu Pulau Pinang rata-rata masih teguh bersama UMNO. Walau bagaimanapun, sedikit buaian pengundi Melayu yang memihak kepada BA telah memenangkan calon PKR dan mengekalkan kerusi DUN PAS. Bersama-sama kemenangan besar DAP, Pulau Piang jatuh ke tangan BA.


Perpaduan Orang Melayu Wajib di bawah Sepanduk Islam


Arah aliran ketara yang timbul dari PRU12 ialah ia menampakan bahawa PAS semakin mendapat tempat dalam hati orang Melayu. Sekiranya arah aliran ini berkekalan dan mantap, akan dapat dilihat nanti bahawa UMNO hanya akan menjadi parti bagi orang Melayu yang didominasi sekularisma sementara orang Melayu yang didominasi pemikiran Islam akan berjemaah di dalam jemaah PAS. Oleh itu, memandang kehadapan maka yang dapat dilihat ialah medan pertembongan Melayu lawan Melayu akan menjadi menjadi medan Melayu didominasi sekularisma lawan Melayu didominasi Islam.


Di sini harus ditekankan bahawa prinsip yang harus, bahkan wajib, menjadi pegangan orang Melayu ialah orang Melayu akan hanya selamat di dunia dan akhirat apabila mereka kembali menghayati Islam sebagai cara hidup. Ketuanan Melayu hanya akan selamat apabila Islam menjadi tunggak ketuanan itu. Status ekonomi, sosial, budaya dan politik orang Melayu akan hanya kembali ke tingkat yang dihormati apabila Islam dijadikan asas perjuangan. Tiada perpaduan sejati dan hakiki bagi umat Melayu kecuali perpaduan di bawah sepanduk Islam. Inilah pengajaran besar untuk umat Melayu yang terhasil dari PRU12. Ini selari dengan perkembangan Islam seluruh dunia hari ini.


Pecahnya Tembok Perkauman



Perubahan yang berlaku dalam pola pengundian dalam PRU12 boleh diringkaskan seperti berikut:

Pengundi Cina berubah kepada mengundi calon parti DAP dan di kawasan di mana calon DAP tidak bertanding mereka memberi undi kepada calon PKR dan juga kepada colan PAS. Perubahan cita rasa politik pengundi Cina berlaku dalam skala yang cukup besar sehingga melumpuhkan parti berasaskan kaum Cina yang menjadi anggota BN, iaitu, MCA dan Gerakan. Pengundi Cina mengundi calon PAS merupakan satu fenomena baru dalam pola pengundian di Malaysia.

Perubahan cita rasa politik kaum India amat ketara. Dalam skala yang amat besar, mereka menolak parti MIC dengan memberikan undi mereka kepada parti PKR, DAP dan juga PAS sekali gus memadamkan MIC dari peta politik Malaysia. Juga, pengundi India mengundi calon PAS merupakan satu perkembangan baru dalam politik tanah air.

Tidak boleh dinafikan bahawa cita rasa politik pengundi Melayu turut berubah di dalam PRU12 ini sekali gus memungkinkan parti PAS mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan menambahkan Kedah ke bawah naungannya. Ini bermakna semakin ramai ahli UMNO mengundi calon PAS dan juga calon PKR. Namun, rata-rata, kesetiaan orang Melayu masih pada UMNO. Kesetiaan orang Melayu kepada UMNO tetap dirasakan dengan ketara di negeri-negeri yang memang terkenal sebagai kubu UMNO, iatu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Sabah.

Secara perbandingan maka boleh dirumuskan bahawa skala perubahan cita rasa politik dalam PRU12 ini paling besar berlaku pada kaum India diikuti kaum Cina dan yang paling kecil ialah perubahan di kalangan orang Melayu.

Untuk pertama kali dalam sejarah negara kita melihat pengundi Malaysia tidak lagi mengundi mengikut jalur kaum di mana pengundi Melayu mengundi calon UMNO sahaja dan pengundi bukan Melayu mengundi calon dari bangsa mereka masing-masing. Dalam PRU12 ini kita melihat pengundi pelbagai bangsa mengundi calon perlbagai bangsa pula sekali gus memecahkan pola pengundian mengikut kaum. Calon PAS terutamanya menikmati ganjaran besar apabila pengunidi bukan Melayu buat pertama kalinya mengundi calon-calon PAS dalam skala yang lebih besar sehingga dengan penambahan sedikit pengundi Melayu yang mengundi calon PAS bersama-sama dengan undi kaum Cina dan India yang lebih besar, telah memungkinkan calon-calon PAS menang dengan majoriti yang selesa di kebanyakan kawasan yang ditandingi.

Sesungguhnya pengundi Malaysia pelbagai bangsa telah manghayati slogan “Masa Untuk Berubah.” PRU12 menyaksikan tembok perkauman yang dibina BN telah runtuh. Ketaksuban kaum berakhir.


“Katakanlah (Muhammad). “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki dan engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas segala sesuatu.” (Ayat 26, Surah 3, Ali Imran)





Dhaka, Bangladesh
15 Mac 2008




Saturday, March 15, 2008

PRU12: BN Kalah Kerana Abdullah Ahmad Badawi

“Katakanlah (Muhammad). “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki dan engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas segala sesuatu.” (Ayat 26. Surah 3, Ali Imran)

Keputusan PRU12 menunjukkan pola pengundian semua kaum berubah, pertama, ia memihak kepada BA dan kedua, pengundi tidak lagi mengundi mengikut jalur kaum. Hasilnya, BN hilang kuasa di 5 negeri dan Wilayah Persekutuan dan hilang suara majoriti dua pertiga di parlimen. Ada parti komponen BN yang hilang dari peta. Kenapakah rakyat menolak BN?

Faktornya pelbagai tetapi secara am ianya boleh digolongkan ke dalam dua kumpulan. Pertama, faktor Abdullah Badawi dan kezaliman pemerintahan BN dan kedua, peningkatan ketara pengaruh dan kekuatan parti-parti pembangkang – PAS, PKR dan DAP.

Tetapi, faktor kedua tidak dominan. Harus diakui BA memang tidak kuat. Wang dan tenaga kurang. Betul, ia sudah bangun dari debu kekalahan terok dalam PRU11 tetapi “by any calculation” ia belum mampu lagi untuk menang besar. Unjuran awal ialah kalau PAS mampu mempertahankan Kelantan, itu sudah dikira satu kemenangan besar. Oleh itu, faktor tolak – rakyat menolak BN – adalah faktor utama yang membawa BN rebah. Dan semua ini kerana gara-gara Abdullah Badawi.

Pribadi dan Prestasi

Keperibadian Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Badawi itu sendiri menjadi pendorong terbesar kepada perubahan yang berlaku diburukkan lagi oleh gelagat menantu beliau, Khairy Jamaluddin yang gelojoh untuk membina tapak kuasa pada “fast track” untuk mencapai sasaran peribadi menjadi Perdana Menteri Malaysia termuda dalam sejarah pada umur 40 tahun. Itu kira-kira pada PRU14.

Tuduhan bahawa Khairy mencatur dan mempengaruhi pemerintahan beliau dan bahawa menantu beliau adalah agen kerajaan asing dan talibarut Yahudi dinafikan tanpa disiasat. Tuduhan itu bukan datang dari ketua cawangan UMNO tetapi dari bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad. Tentu ada kesahihannya. Membiarkan menantu campur tangan dalam kerajaan dengan mengenepikan pandangan pihak berwibawa yang lain membawa padah kepada Abdullah. Tuduhan bahawa Khairy terlibat dengan skandal kewangan juga tidak disiasat.

Ini bukan serangan peribadi. Masyarakat barat amat prihatin akan keperibadian pemimpin. Mereka menolak pemimpin yang buruk peribadi yang terlibat dengan pelbagai skandal, misalnya skandal seks. Rakyat Malaysia harus lebih prihatin tentang perkara ini dan belajar dari masyarakat barat.

Sesungguhnya, keperibadian yang buruk menjejaskan kepimpinan. Apatah lagi kalau dinilai dari sudut Islam hatta mana-mana agama sekali pun. Gabungan keperibadian yang unggul dan teserlah, ilmu dan profesionalisma yang tinggi, kehebatan hemah dan hikmah, kuat memegang prinsip dan mesra rakyat adalah di antara beberapa sifat pemimpin yang unggul.

Abdullah Kurang Cerdik
Apabila secara rambang ditanya anak-anak sekolah, remaja belasan tahun, anak-anak muda di kampus dan kaum dewasa yang bekerja malahan kaum tua sekalipun akan soalan: “Di antara kelima-lima Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri yang keberapakah yang paling tidak cerdik? Majoriti menjawab: “Abdullah.” Tun Mahathir sendiri berkata bahawa Abdullah adalah Perdana Menteri sepenggal. Itu pun beliau mengatakan beliau tersilap lantik. Maksudnya, Abdullah tidak berapa cerdiklah. Malah, ramai orang UMNO sendiri mengakui pemimpin mereka tidak begitu cerdik.

Di peringkat antarabangsa, OIC yang dipengerusikan beliau seolah sudah tutup kedai. Permasalahan umat Islam pelbagai dan komplek tetapi tiada apa-apa yang beliau buat untuk menanganinya. Gerakan Negara Berkecuali pula tidak memberangsangkan di bawah pimpinan Abdullah. Nama Malaysia kini amat terkenal dalam hal penganiayaan ke atas pekerja asing. Menteri memungut “tol” daripada pengimportan pekerja asing ini.

Menurut penilaian pemerhati-pemerhati berwibawa, ucapan-ucapan penting yang disampaikan beliau tidak menepati kualiti dan hambar, apabila berdepan dengan soalan dari wartawan, acapkali jawapan yang diberikan tidak memuaskan. Berita-berita beliau kerap tertidur dalam mesyuarat dan terlupa temu janji bukanlah perkara asing lagi. Pernah diceritakan beliau datang terlalu lewat dalam satu temu janji dengan Tun Mahathir sebab terlupa. Juga diberitakan bahawa beliau ialah seorang Perdana Menteri yang tidak begitu rajin membaca.sehingga pengetahuan am dan gaya bahasa penulisan dan pertuturan beliau tergolong pada tahap kurang memuaskan.

Sentuh dan Raba

Juga, beliau gagal menjaga sopan-santun pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagai seorang Islam. Gambar beliau menyentuh, meraba, menggosok dan melengkarkan tangan dipinggang dan bahu orang perempuan yang tidak halal disentuh memang banyak tersebar khasnya di saluran akhbar alternatif. Sebagai pengasas Islam hadhari apakah layak beliau berperangai demikian?


Mungkin perkara ini kecil tetapi ada rakyat yang sensitif sebagaimana rakyat negara barat sensitif mengenai perkara seperti itu. Masyarakat barat adalah permisif terhadap seks tetapi tiada ruang untuk pemimpin yang terlibat dalam skandal seks untuk menjadi pemimpin mereka. Kes terkini ialah kes Eliot Spitzer, Gabenor New York, yang membelanjakan USD80,000 melanggani wanita lacur. Beliau mengambil pertanggungjawaban dengan meletakkan jawatan.

Kes seperti kes Eliot Spitzer ini tidak mustahil wujud di Malaysia. Prostitution ring di Malaysia jangan hendak katalah, bercambah. Bermacam ragam dan rupa perempuan ada, datang dari Russia, Cina, Indonesia, Filipina, Hong Kong, Latin Amerika, Eropah dan Afrika sehingga GRO tempatan (termasuk prempuan Melayu Islam) susah hendak mencari makan. Perempuan Melayu Islam ramai menjadi pelacur agaknya disebabkan Dr. Mashitah, bekas ahli parlimen Baling dan ustazah terkenal Islam hadhari memberi pandangan (ada orang kata fatwa) bahawa “boleh mencari makan melalui pelacuran.” Tidak tahukah pegawai-pegawai tinggi imigresyen akan hal ini. Bukankah mereka masuk melalui immigration check-point? Rasuahlah jawapnya, apa lagi. Abdullah tidak prihatin akan hal ini.

Nampaknya, Abdullah Badawi tidak mengambil pusing akan keperibadian pemimpin. Pemimpin-peminpin yang terlibat dengan pelbagai skandal terus dilindungi. Misalnya, satu berita angin mengenai skandal seks melibatkan pemimpin besar BN yang kononnya berlaku di Negeri Sembilan tidak pernah disiasat. Tuan Kadhi yang dikatakan tahu akan kes itu telah pun meninggal dunia. Kes rogol melibatkan seorang Menteri Besar juga tidak disiasat tetapi sebaliknya Lim Guan Eng (kini Ketua Menteri Pulau Pinang), orang yang membantu dan membela gadis dan keluarga mangsa pula dipenjarakan. Kes Mustakizah tidak selesai sampai kini. Begitu juga kes pembunuhan menantu Tan Sri Low Boon Siew di Pulau Pinang. Kenapakah ini berlaku? Ini semua diebabkan rasuah dan hakim dan polis “orang dia”

Kes pembunuhan Altantunya dengan orang yang tertuduh begitu rapat hubungannya dengan seorang pemimpin besar menimbulkan tanda tanya besar di hati rakyat. Sudahlah dibunuh, mayat mangsa dihancurkan pula dengan bom C14 milik kerajaan. Sudah hilang perikemanusiaan si pembunuh. Melihat persekitran kes, rakyat Malaysia tidak dapat membuat kesimpulan melainkan skandal ini melibatkan pemimpin penting negara sehingga bukti mahu dipadamkan sehabis-habisnya. Abdullah Badawi langsung tidak menunjukkan keprihatinan ke atas kes ini. Tiada kepala yang dipenggal. Tidak tahulah nasib kes ini kerana hakim dan polis “orang dia.”

Jurang Kata dan Kota

Jurang prestasi bermasalah besar. Bila dilihat jurang di antara “kata dan kota,” permasalahan prestasi Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri menimbulkan persoalan. Di antara kata-kata beliau yang terkenal, dilafazkan se awal menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2004 ialah: “Janganlah bekerja untuk saya tetapi marilah bekerja bersama saya.” Yang terjadi ialah beliau bekerja untuk keluarga dan kroni-kroni beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang lain semakin ghairah dalam amalan korupsi, kronisma dan nepotisma (KKN).

Syarikat Scomi dalam mana anak beliau memiliki saham mendapat favor. Begitu juga syarikat adik beradik beliau yang lain. Projek-projek di bawah RM9 pula banyak yang diberi kepada kroni. Sistem tender terbuka tidak berjalan. Beliau selaku pemimpin Islam Hadhari yang selalu menggambarkan imej “Saya tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah SWT sahaja” sepatutnya mempromosikan slogan “Jangan bekerja untuk saya tetapi bekerjalah sema-mata untukNya.”

Rasuah Merebak

Amalan rasuah di kalangan pemimpin BN memang membiak. Bagimanakah boleh terjadi stesyen minyak boleh dibina di atas tanah rizab lebuh raya? Bagimanakah anak seorang orang menteri yang berusia dalam linkongan 20an tahun boleh menjadi seorang billionaire? Bagaimanakah seorang menteri besar boleh menyeludupkan wang ke Australia untuk dilaburkan dalam sektor hartanah di sana? Bagaimanakah menteri dan menteri besar boleh menjadi begitu kaya raya?

Ada maklumat yang menunjukkan bahawa setiap menteri dan menteri besar (juga lain-lain pemimpin BN) memiliki mekanisma dan modus operandi mereka sendiri untuk memakan rasuah dengan cara yang sukar dikesan dan dibuktikan. Badan-badan yang ditubuhkan untuk membantu menaikkan taraf ekonomi Bumiputera seperti PKEN di negeri-negeri dijadikan alat oleh pemimpin untuk memakan rasuah. Dengan dibantu oleh BPR yang tidak bertaring (“orang dia”), amalan rasuah terus merebak di bawah rejim Abdullah Badawi. Di saat beliau mula-mula memegang jawatan, beliau berjanji untuk memerangi rasuah habis-habisan tetapi ini tidak terjadi.

Pemimpin UMNOPutera

Beliau mengaku pemimpin seluruh rakyat Malaysia tetapi dalam realitinya beliau hanyalah pemimpin kepada sebahagian rakyat Malaysia, iaitu, golongan yang menyokong idiologi BN sahaja. Rakyat yang menjadi golongan pembangkang kepada idiologi ini diketepikan. Bagi umat Melayu pula beliau tidak lebih dari pemimpin kepada golongan Melayu “UMNOputera.” Cara beliau melayani golongan Melayu yang lain, khasnya, “PASputera” memberi gambaran seolah-olah golongan Melayu PASputera ini bukan sebahagian dari orang Melayu, malah mereka dianggap sebagai bukan warga negara. Semua projek dianugerahkan kepada usahawan UMNOputera yang lebih cenderung beralibaba. Usahawan PASputera tidak mendapat apa-apa projek pun dan terpaksa memilih untuk membina keusahawan dengan usaha sendiri.

Kakitangan kerjaaan dipaksa membuat aku janji dan sesiapa yang disyaki bukan “orang dia” didiskriminasi dalam kenaikan pangkat. Malah asnaf kepada wang zakat yang disyaki menyokong idiologi pembangkang termasuk pelajar agama di Mesir dinafikan hak mereka. Di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, ada penyokong idiologi PAS tidak diperbaharui permit teksi mereka dan peniaga-peniaga disingkir dari gerai MARA.

Institusi Kehakiman Rosak

Hakim-hakim mesti “orang dia” kerana beliau takut kepada hakim yang berjiwa keadilan dan memihak kepada rakyat. Hakim-hakim yang adil tidak mungkin survive di bawah rejim Abdullah sebagaimana mereka tidak boleh survive di bawah rejim Mahathir dahulu. Memang menjadi sifat pemimpin yang rasuah dan zalim dari zaman berzaman akan memperkosa sistem kehakiman. Hakim-hakim yang menjalankan tugas atas dasar “without fear and favour” tidak membolehkan pemimpin seperti ini berasa selamat.

Pegawai-pegawai tinggi polis sudah tentu “orang dia” untuk diperalatkan dalam kerja-kerja untuk menzalimi rakyat seperti menyumbatkan aktivis dan pemimpin parti pembangkang dan musuh politik pemimpin BN ke dalam penjara tanpa perlu dibicarakan. Beliau tidak pernah mengambil pusing tentang kebajikan kaum keluarga dan anak-anak orang tahanan ISA ini. Tidak tahukah beliau, khasnya dalam kontek beliau sebagai pengasas dan pemimpin Islam hadhari, di dalam Islam tiada undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri seperti itu? Undang-undang seperti ini baru sahaja wujud di Amerika dan Eropah selepas peristiwa 11 September 2001 (Rais Yatim berkata mereka belajar daripada Malaysia dan beliau menjadi tenaga pengajar utamanya) tetapi hanya dituju dan diaplikasikan ke atas orang Islam dan rakyat mereka yang beragama Islam sahaja dalam perang melawan keganasan di seluruh dunia (ertinya Perang Dunia Ketiga sudahpun bermula). Parlimen Kesatuan Eropah telah menolak undang-undang itu.

“Orang dia” di dalam institusi polis ini juga mudah diperalatkan untuk menghalang perhimpunan rakyat dan untuk menyembur air asid dan menembakkan peluru hidup ke arah orang ramai yang berhimpun dan berarak memprotes kezalaiman dan ketidakadilan kerajaan. Sudah tentu polis cawangan khas bekerja semata-mata untuk kepentingan BN. Maklumat ini disalurkan kepada “kerajaan” dan parti BN dan dengar khabarnya sampai juga kepada Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan kumpulan think-tank beliau yang bersarang di tingkat 4 di sebuah bangunan terpenting di Putera Jaya. Dekat-dekat area itulah juga terletak pejabat bapa mertua beliau, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Badawi.

Kumpulan pemikir berkenaan bukan sahaja memikirkan hal politik tetapi memngambil pendekatan multi-disciplinary approach sebagai pendekatan kajian – politik, ekonomi, perniagaan, hubungan antarabangsa, sosial, agama dan termasuk strategi pilihan raya. Misalnya, kalau laporan SB mengatakan kemungkinan BN akan kalah dalam pilihan raya, maka kumpulan ini akan memikirkan strategi untuk membuatkan - by hook or by crook, tidak kira cara halal atau haram - BN menang. Tidak kiralah, membuat kad pengenalan palsukah, menambahkan pengundi hantukah, melibatkan pendatang asing sebagai pengundikah, mengubah peta DUN dan kawasan parlimenkah, buat bajet untuk membeli undikah dan pelbagai lagilah cara bersih dan kotor untuk menjamin kemenangan BN. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak syak lagi memang dikawal pemimpin UMNO, diperalatkan dan tidak bebas langsung. SPR adalah cawangan UMNO.

Tentulah ada maklumat besar dari SB yang tidak memihak kepada BN yang telah menyebabkan SPR dengan tiba-tiba dan tanpa berunding dengan parti-parti pembangkang membatalkan penggunaan dawat tiga empat hari lagi hendak mengundi. Perbuatan curang ini membuka mata dan hati rakyat. Memang benarlah kerajaan BN ini tergamak menipu, membatalkan dan mengubah peraturan itu dan ini dengan sesuka hati sahaja. Maka benarlah dakwaan parti pembangkang selama ini bahawa kerajaan BN suka mungkir janji, menyalahgunakan kuasa, tidak mengikut peraturan dan undang, menyeleweng dan cukup gemar membuat perkara mungkar. Boleh berkata pula belanja RM4-5 juta membeli dakwat tiada apa-apa, sikit sahaja. Mereka tidak sedar hatta satu sen wang rakyat diselewengkan, pemimpin mesti dipertanggungjawabkan.

Adalah diyakini pembatalan penggunaan dakwat ini berperanan besar sebagai beban terakhir yang mematahkan tulang belakang unta dan pukulan paku terakhir yang menutup keranda. Parti MIC, Gerakan dan MCA maut dan pakatan BN separuh maut.

Kuasai media

Penguasaan BN ke atas media boleh dikatakan mutlak. Sepanjang masa, khasnya apabila pilihan raya semakin dekat, masa siaran (air time) di TV dan Radio, barang sesaat pun, tidak diberikan kepada pemimpin pembangkang untuk menyampaikan maklumat alternatif apatah lagi untuk mematahkan serangan bertubi-tubi dari pemimpinan BN. Tiada barang seinci pun ruang surat khabar aliran perdana yang memuatkan pandangan alternatif. Kalau ada pun, ianya lebih merupakan perkara bersifat fitnah dan negatif terhadap parti-parti pembangkang dan pemimpin mereka. Parti pembangkang tidak dibenarkan memilik akbar harian, stesyen radio dan TV sendiri. Penggunaan media elektronik seperti bloggers dan email pun disekat.

Penguasaan BN ke atas media ini akhirnya sampai ke pringkat yang memualkan. Dalam dua minggu (masa berkempen) sebelum PRU12 ramai rakyat menutup TV kerana benci dan ramai pula yang marah-marah mahu menendang TV. Pada malam terakhir sebelum pengundian, Abdullah menggunakan kesempatan dalam ucapan live beliau ke seluruh negara membelasah pihak pembangkang habis-habisan tanpa ada ruang untuk pihak lawan mempertahankan diri barang sesaat pun. Seorang pemimpin yang ada sedikit rasa keadilan di dalam sanubari tidak akan tergamak untuk melakukan yang demikian. Rakyat semakin marah. Luapan kemarahan rakyat ini diluahkan ke dalam PRU12 yang akhirnya membawa padah kepada BN.

Enggan Temui Rakyat

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang mahu bertemu dengan Perdana Menteri tidak dihiraukan. Presiden PAS YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sudah menunggu bertahun-tahun, sampai hari ini, temu janji belum diperkenankan. Begitulah sukarnya hendak bertemu manusia yang bernama “Hamba Allah” ini. Hendak berbahas dengan beliau memang “jauh panggang dari api.” Tun Mahathir pernah berbahas dengan pemimpin PAS mengenai isu Palestin tetapi Abdullah Badawi tidak mahu langsung berbahas dengan pemimpin pembangkang walhal di sana terdapat banyak isu yang perlu ditangani bersama untuk kepentingan rakyat dan negara. Bila berdepan dengan pembangkang rasa “inferiority complex” Abdullah nampaknya sangat tinggi, mungkin disebabkan beliau tidak begitu pandai hendak berhujah, berbahas mematahkan hujah dan kurang maklumat kerana kurang membaca. .

Bukan saja dengan pemimpin pembangkang, dengan rakyat pun beliau begitu. Aduan rakyat yang disampaikan kepada beliau melalui surat dan email memang tidak dilayan. Kita meragui samada beliau membuka internet atau tidak. Belum pernah terjadi di dalam sejarah RTM dan stesyen TV yang lain di mana diadakan interactive program yang memberi ruang kepada rakyat menanyakan soalan dan membangkitkan isu kepada Perdana Menteri secara langsung, spontan dan terbuka dan Perdana Menteri pula menjawabnya dengan cara yang sama. Tidak pernah ada program dialog rakyat yang melibatkan Perdana Menteri atau pemimpin tinggi pemerintah. Bila Perdana Menteri melawat negeri-negeri, beliau berjumpa hanya dengan pemimpin dan kakitangan kerajaan yang dipaksa hadir dan anak sekolah dipaksa beratur di tengah panas, tidak dengan rakyat. Amatlah membingungkan kenapa seorang Perdana Menteri sangat takut untuk berjumpa dan bersemuka dengan rakyat. Beliau hanya berani menggunakan media kawalan BN untuk mempromosi imej dengan memaparkan perkara yang baik-baik sahaja tentang diri beliau.

Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan pernah menghantar memorandum kepada beliau di Putra Jaya menyampaikan rintihan penduduk FELDA Sendayan, dekat Seremban apabila tanah mereka “dirampas” oleh kerajaan Negeri Sembilan (yang kini didapati telah dijual kepada pemaju-pemaju dengan kerajaan Negeri Sembilan mengaut keuntungan di atas angin) tidak dibalas. Dalam memorandum itu, BPPNS meminta jawapan daripada beliau. Sampai hari ini tiada apa-apa respons dari beliau. Dipercayai memorandum itu tidak disampaikan kepada beliau oleh pegawai-pegawai beliau atau kalau sampai pun, beliau tidak menghiraukannyya. Bagi rakyat pembangkang kepada idiologi BN di Negeri Sembilan, Abdullah adalah pemimpin yang tidak langsung perihatin kepada rintihan rakyat. Banyak lagi rintihan rakyat yang disampaikan oleh pelbagai pertubuhan Melayu dan bukan Melayu yang tidak beliau jawap sampai hari ini. Itu belum kira lagi panggilan talipon dan SMS dan email yang dihantar. Sikap “couldn’t careless” beliau membawa padah.

Dengan berbekalkan “imej bersih” (Mr. Clean), beliau bertanding dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima di atas flatform mahu memerangi rasuah. Dalam masa empat tahun, rasuah bukan berkurangan tetapi semakin merebak. Tun Mahathir terkenal sebagai bapa pembiak amalan rasuah di Malaysia. Abdullah Badawi pun begitu juga. Tidak berkurangan rasuah barang seinci pun selama Abdullah memerintah. Malah, amalan rasuah terus membiak. Tidak ada pemimpin BN yang ada tuduhan dan bukti rasuah ke atas mereka diambil tindakkan. Abdullah Badawai terus, bukan sahaja melindungi, memberi tempat yang selesa kepada mereka di dalam kabinet dan lain-lain fungsi kerajaan. Mereka juga diberi ruang untuk bertanding lagi dalam PRU12. Betul-betul beliau hendak menempah maut. Mungkin pemimpin UMNO yang terlibat dalam rasuah itu menjadi sumber utama kewangan UMNO. Ini sahaja alasan kenapa mereka dilindungi. Mungkin Abdullah Badawi sendiri terlibat dalam amalan rasuah, maka bagaimana beliau hendak bertindak ke atas perasuah-perasuah yang lain. Akhirnya, Malaysia kekal pada tangga ke 43 dalam Indek Persepsi Rasuah antarabangsa dan merupakan di antara negara yang paling korup di rantau ini

DEB Gagal

DEB gagal bukan kerana dasar itu tidak baik tetapi ia digunakan untuk memperkayakan pemimpin-peimpin UMNO dan kroni-kroni mereka lalu menghasilkan pelebaran jurang kaya-miskin di kalangan orang Melayu. Orang Melayu masih lagi merupakan etnik termiskin di Malaysia. Yang paling ramai miskin ialah orang Melayu. Orang Cina dan India juga masih ramai yang miskin. Jurang kaya-miskin dalam bangsa Cina dan India juga melebar. Negeri yang mempunyai kadar insiden kemiskinan tertinggi – 17% - ialah negeri Sabah yang diperintah BN. Negeri Semenanjung yang paling ramai rakyatnya miskin ialah Terenggunu. Ini secara lojiknya tidak wajar kerana Terengganu adalah “Kuwait Malaysia.” Kenapakah negeri “Kuwait Malaysia” yang diperintah BN tidak mampu membasmi kemiskinan sedang tiada rakyat miskin di Negara Kuwait di Timur Tengah? Sebab itu banyak pihak menuduh kerajaan pusat telah merompak sumber kekayaan rakyat Terengganu. Orang Cina dan India telah memberi sokongan kepada DEB kerana mereka faham pada saat kemerdekaan orang Melayulah yang paling mundur dalam segala bidang. Tetapi siapa tidak sakit hati apabila setelah 30 tahun ia dilaksankan dan ratusan bilion ringgit dibelanjakan, hasilnya tidak ke mana. Kini, DEB dilaksanakan tanpa had masa. DEB yang sekarang diteruskan tanpa had masa yang hanya akan memberi manfaat kepada segelintir orang Melayu adalah tidak adil dan di atas dasar inilah orang bukan Melayu mendapati ianya tidak berguna kalau diteruskan dan penentangan mereka ke atas DEB inilah yang membawa padah kepada Abdullah.

Rakan-rakan Abdullah dalam MCA dan Gerakan (parti kaum Cina) dan MIC (parti kaum India) pun terok perangai dan prestasi mereka. Kaum Cina marah bila pemimpin mereka hanya sekadar menjadi pak turut kepada UMNO. Suara rakyat Cina tidak sampai ke mana. Walau pun dari segi ekonomi, orang Cina paling senang dan hidup selesa dan sebagai satu kumpulan etnik minoriti di Malaysia menguasai bahagian yang besar dari kek ekonomi Negara, tetapi harta kekayaan bukan segala-galanya. Mereka juga melihat dan menilai ketidakadilan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pembaziran dan rasuah yang berlaku. Mereka juga sensitive bila ada pemimpin mereka yang terlibat dengan pelbagi skandal, mengamalkan KKN dan jarang bersuara dalam parlimen. Semuanya “yes man” belaka. Orang Cina berniaga. Bila hendak mendapatkan lesen kena bayar tol, tentulah mereka tidak berpuas hati. Siapa yang makan rasuh? Tentulah orang Melayu. Bukankah yang mengusai semua jabatan-jabatan kerajaan itu orang Melayu? Tetapi, tentulah tidak semua. Tidak hairanlah kenapa pengundi Cina berubah dalam skala yang besar dalam PRU12 ini.

Pemimpin MIC, Sami Vellu adalah “singa tua” yang sudah kehilangan pengaruh dan populariti kerana telah terlalu lama bergayut pada pucuk pimpinan. Beliau mengisytiharkan hendak menjadi pemimpin sampai mati.

Bermula dari seorang yang baik dan disukai orang India, pengaruh dan populariti beliau pada saat PRU12 sudah mencapai taraf sifar atau hampit sifar. Tetapi nafsu besar dan ganas untuk terus berkuasa sampai mati menyebabkan beliau terus bergayut pada tampuk kuasa. Kepada orang India keangkuhan (arrogance) Sami Vellu ini sudah sampai ke tahap “tidak boleh tahan” lagi.

Beliau dengar khabarnya suka mengherdik dan memaki hamun orang India. Beliau dituduh menghina orang India. Mana-mana orang India termsuklah dari kalangan pemimpin parti beliau sendiri dari peringkat nasional, negeri, kawasan mahupun cawangan yang disyaki menentang pimpinan beliau pasti menerima padah – disngkir. Lihat apa yang telah terjadi kepada mendiang Datuk K. Patmanaban dari Teluk Kemang. Ada pula yang mati kena bunuh secara mistri. Penyiasatan polis ke atas pemimpin MIC dan orang India yang mati secara mistri ini tidak pernah selesai. Maklumlah, polis dan hakim “orang dia.” Kadang-kadang ramai orang keliru, MIC ini pertubuhan ganster dan hooligan atau parti politik?

Banyak hak orang India yang disalurkan melalui koperasi Maika Holdings hilang entah ke mana. Wang yang terkumpul dalam tabung-tabung yang diwujudkan oleh penjajah British untuk kepentingan orang India khabarnya disalahgunakan. Salah satu sebab orang India ketinggalan dalam bidang ekonomi ialah harta dan hak mereka dirompak oleh pemimpin mereka sendiri. Sami Vellu cukup kaya. Buat kenduri kawin anak beliau melibatkan belanja berjuta ringgit. Salah sangka besar bagi beliau sekiranya orang India tidak mengambil kisah akan “pemaparan kekayaan” dan gaya hidup “the rich and famous” oleh pemimpin-pemimpin mereka ini. Gaji dan alaun menteri, walupun jadi menteri berpuluh tahun, longgok semua makan sikit sahaja pun tidak boleh menjadi harta bertimbun macam itu. Sudahlah itu, sistem kasta mula merebak dalam masyarkat India. Menteri Sami Vellu menempa maut beliau sendiri. Kesannya, MIC sudah hilang dari peta politik Malaysia.

Apakah BN akan Insaf?

Apakah BN akan insaf dan bertaubat? BN kini ibarat se ekor harimau yang cedera dan kebiasaannya, harimau yang cedera akan lebih ganas. Oleh itu pakatan BA harus bersedia untuk menghadapi tindakan-tindakan yang lebih ganas daripada rejim BN. Instrumen kuasa yang ada seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, media aliran perdana, institusi kehakiman, institusi polis, badan-badan seperti SPR dan BPR akan terus disalahguna dan diperalatkan untuk merampas kembali kuasa dari pakatan BA. Sukar untuk meyakini bahawa rejim BN akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada rakyat dan akan memberi ruang yang lebih di dalam media kepada BA. Kerajaan negeri-negeri yang diperintah BA harus bersediaan menghadapi pembatalan projek dan penubuhan lebih banyak lagi badan-badan persekutuan bagi mengawal peruntukan pusat supaya tidak terlepas ke tangan negeri-negeri seperti yang mereka lakukan ke atas kerajaan PAS Kelantan. Pembayaran gran kepada negeri dikuasai BA akan sengaja dilambat-lambatkan.

Walaupun di sana sudah ada banyak suara meminta Abdullah Badawi memikul tanggungjawab di atas kekalahan teruk BN dengan meletakkan jawatan, tidak mungkin ianya dihiraukan kerana masyarakat Malaysia bukan seperti masyarakat Jepun yang rela menebus keaiban dengan harikiri. Abdullah Badawi terus mendakwa dia masih menikmati sokongan yang kuat wlhal ternyata beliau telah kehilangan sokongan dari rakyat negeri beliau sendiri. Penentangan dari dalaman UMNO sendiri semakin meluas. Dalam keadaan ini, tidak mungkin Abdullah akan survive lama, mungkin paling lama setengah penggal. Semakin banyak pihak – pelbagai pertubuhan mahupun rakyat biasa - yang menyertai korus yang dimulakan dari dalaman UMNO sendiri, menggesa Abdullah - bukan melakukan hara-kiri tetapi meletakkan jawatan. Rakyat mahu beliau mengakui anak yang lahir (“own the baby, please”). Kekalahan teruk BN memang “fairly and squarely” jatuh pada pundak Abdullah.

Resepi Baik

Siapakah yang akan menggantikan Abdullah? Kemungkinan besar Najib Tun Abdul Razak. Mungkin, berita gembira bagi BA ialah, siapa sahaja yang berkuasa, Abdullah atau Najib, ia tetap merupakan resepi terbaik untuk BA menjana kemenangan yang lebih besar di dalam PRU13 nanti. Pertama, kedua-duanya merupakan pemimpin yang bermasalah dengan pelbagai skandal. Kedua, BN sudah berada ditahap “total disarray” yang memerlukan jangka masa yang panjang dan tenaga dan sumber yang besar untuk dirawat. Ketiga, pemimpin pelapis BN kurang berwibawa kerana pemimpin “tua” yang rasuah hanya mendidik pelapis yang juga rasuah bagi menyokong amalan rasuah mereka sekali gus menyebabkan BN ketandusan pemimpin yang amanah, jujur dan bebas rasuah, Keempat, retak dalam dalam parti UMNO, MIC, MCA dan Gerakan adalah besar sehingga ada ahli yang sudah berpatah arang dengan parti-parti itu. Ahli UMNO yang bertaraf “bekas” cukup ramai di dalam PKR dan PAS.

Sesungguhnya, pengundi Malaysia pelbagai bangsa telah manghayati slogan “Masa Untuk Berubah.” PRU12 menyaksikan tembok perkauman yang dibina BN runtuh, tanda mula berakhirnya ketaksuban kaum.

Dhaka, Bangladesh
15 Mac 2008