Sunday, April 27, 2008

Tun Mahathir yang Rosakkan UMNO

Tidak adil untuk menyalahkan Abdullah Badawi seorang saja di atas kekalahan teruk UMNO-BN dalam PRU12 semata-mata kerana beliau adalah Perdana Menteri semasa.

Dalam nada yang sama, tidak adil juga untuk membebaskan Tun Mahathir dari sebarang pertangungjawaban di atas bencana yang menimpa semata-mata kerana beliau bukan lagi Perdana Menteri semasa.

Dengan slogan “dahulu, kini dan selama-lamanya,” UMNO menjadi angkut dan dan terlebih yakin bahawa dengan rekod pembangunan yang “cemerlang,” tidak mungkin kuasa akan hilang dari tangan.

UMNO bersama-sama rakannya dalam BN telah memerintah selama setengah abad. Pemerintahan bermula dengan baik tetapi kerana merasakan kuasa yang ada di tangan tidak mungkin tergugat, sedikit demi sedikit ketidakbaikan dilakukan .sehingga akhirnya rakyat merasa bahawa ketidakadilan dan kezaliman diperlakukan ke atas mereka sudah sampai ke tahap tidak boleh diterima lagi.

Pemerintah diperingatkan berulang kali supaya berhenti dari melakukan mungkar dan kembalikan keadilan, namun segala peringatan tidak dihiraukan. Di zaman Tun Mahathir perlakuan mungkar sampai ke kemuncaknya. Amalan korupsi, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan sumber, pembaziran, penipuan, penganiayaan dan perbuatan fitnah-memfinah merebak. Gejala jenayah dan keruntuhan akhlak mewabak. Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia untuk membeli pembangunan.

Bila tiba zaman Abdullah, UMNO dan kerajaan sudah berada di dalam keadaan “retak menunggu belah.” Abdullah Badawi menakhodai kapal yang sedang karam. Lebih malang, beliau bukan seorang nakhoda yang pintar.

UMNO yang diwarisi Abdullah nampak cantik diluar, di dalamnya berualat. Tun Mahathirlah yang meletakkan batu asas kerosakan UMNO dan parti-aprti lain dalam BN.

Beliau adalah seorang yang cukup pintar bermain “buang batu suruk tangan.” Selama lebih dua dekad Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, terlalu banyak kerja mungkar yang dilakukan. Beliau enggan mengambil tanggungjawab di atas kemungkaran yang telah berlaku sebaliknya, meletakkannya ke atas kepala orang lain. Kata-kata seperti “saya tak suruh…, itu bukan keputusan saya…, itu mereka yang putuskan…, saya tidak ada di Malaysia ketika itu…, itu salah mereka bukan salah saya…” dan seumpamanya terlalu banyak dilafazkan untuk menggambarkan kepada umum bahawa seolah-olahnya, beliau seorang yang bersih dan yang melakukan mungkar itu semuanya orang lain.

Kemungkaran yang berlaku dalam tempoh dua dekad pemerintahan beliau terlalu panjang untuk di senaraikan. Cukuplah didedahkan beberapa contoh khasnya yang berkaitan dengan UMNO, “just to bring the point home.”

Pertama, tentang “buaya dan jerung” di dalam UMNO yang dibangkitkan oleh YM Tengku Razaliegh Hamzah, Ahli Parlimen Gua Musang baru-baru ini, wajar ditanya Tun Mahathir: Siapakah yang membiakkannya kalau bukan beliau? Oleh kerana beliau adalah Presiden UMNO, maka beliau adalah ketua kepada buaya dan jerung yang berkeliaran di dalam UMNO. Sekarang, Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badawilah yang menjadi ketua buaya dan jerung ini.

YM Tengku Razaliegh menggelarkam mereka buaya dan jerung mungkin kerana pertama, mereka ganas, kedua, tidak kira bangkai atau bukan-bangkai, semua mereka sapu, ketiga, mereka tidak kira halal atau haram, semuanya meraka telan dan yang keempat, mereka ini makan besar.

Kedua, pada tahun 1987, Tun Mahathir memperkenalkan “undi hantu” dalam pemilihan UMNO. Ada tuduhan bahawa beliau menang menjadi Presiden UMNO mengalahkan YM Tengku Razaliegh Hamzah kerana undi hantu. UMNO diharamkan oleh mahkamah kerana kehadiran perwakilan yang tidak sah di dalam perhimpunan agung UMNO. Sesetengah dari orang yang bersekongkol dengan Tun Mahathir dalam membuat kerja mungkar ini masih menjadi orang setia beliau hingga kini. Sesetengahanynya pula telah meninggalkan beliau. Ada yang bertukar menjadi seteru beliau.

Ketiga, kerana gara-gara penipuan dalam UMNO, beliau juga merosakkan sistem kehakiman negara. Berikutan dengan keputusan mahkamah mengharamkan UMNO, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan dua orang hakim mahkamah tinggi dipecat dan tiga lagi digantung. Sistem kehakiman diperkosa. Sejak dari peristiwa inilah sistem kehakiman negara menjadi rosak dan tempoh dua dekad berikutnya menyaksikan sistem kehakiman terus diperkosa dan rosaknya semakin parah.

Tun Mahathir berkata bukan beliau yang memecatkan mereka. Kenyataan seperti ini memperbodohkan rakyat. Salah sangka besar kalau Tun Mahathir beranggapan bahawa beliau boleh terus memperbodohkan rakyat. Sebab itulah dalam PRU12 ramai rakyat mengucapkan selamat tinggal kepada UMNO-BN.

Kerajaan telah mengaku bersalah pada 17 April 2008 dalam hal pemecatan dan penggantungan hakim-hakim berkenaan, namum Tun Mahathir tetap keras hati tidak mahu memohon maaf kepada hakim-hakim yang telah beliau aniaya. Kalau dicadangkan agar hakim-hakim terbabit bertindak menyaman kerajaan dan Tun Mahathir bagi menebus malu, dirasakan majoriti rakyat akan menyokong.

Keempat, siapakah yang memperkenalkan politk wang dalam UMNO kalau bukan Tun Mahathir? Jawatan di dalam UMNO boleh dijual beli dan pembida tertinggi menang. Sesiapa yang berminat untuk berada di pucuk pimpinan, mereka harus mempunyai banyak wang. Mana hendak ambil wang? Maka bermulalah era amalan rasuah di kalangan pemimpin. UMNO.

Pemimpin UMNO pergi jumpa taukeh sana dan taukeh sini untuk mendapatkan wang dengan janji akan mengurniakan projek kepada taukeh-taukeh yang sanggup memberi “wang pendahulaun” kepada pemimpin UMNO yang mahu bertanding untuk merebut jawatan dalam parti. Memanglah mereka mendapat wang berjuta-juta malah beratus juta tetapi projek-projek yang bernilai ratusan juta malahan bilion ringgit jatuh ke tangan segelintir taukeh-taukeh. Siapa yang mengkayakan sekelompok taukeh-taukeh – tidak kiralah Cina, Melayu India atau orang asing – kalau tidak pemimpin UMNO?

Badan-badan yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dan perdagangan sebahagian besarnya menjadi tonggangan pemimpin UMNO untuk menjana wang yang kemudiannya digunakan untuk membeli jawatan dalam UMNO dan dalam kerajaan. Tanah kerajaan dijual kepada syarikat Bumiputera tetapi tanah yang sama akhirnya dijual kepada mana-mana taukeh yang sanggup memberi rasuah pada harga yang lebih tinggi dan habuan digunakan oleh pemimpin UMNO untuk membeli jawatan.

Tidak ada syarikat “milik Bumiputera” yang ditubuhkan kecuali syarikat itu mesti menyalurkan wang kepada UMNO dan pemimpin UMNO. Akibat dari krisis kewangan 1997-98 dahulu, banyak syarikat ini yang telah lingkup. Banyak pula yang dipulihkan dengan menggunakan wang rakyat dan syarikat-syarikat ini sekarang digelar “Government-linked companies.” GLCs ini terus menjadi tonggangan UMNO. Sebab itulah Dasar Ekonomi Baru gagal.

Cukuplah sekadar ini. Kalau hendak didedahkan semua kemungkaran, ia akan menjadi buku yang cukup tebal. Tindakan yang terbaik yang wajar diambil oleh Abdullah Badawi ialah “tutup mulut “ Tun Mahathir kalau pendarahan UMNO mahu dihentikan. Sejak kebelakangan ini tindak-tanduk beliau banyak memalu malah merugikan UMNO. Beliau mungkin sudah jatuh ke dalam golongan yang menderhaka kepada UMNO dan kalau memang benarlah perkara ini, maka, mengikut piawaian Almarhum Tunku Abdul Rahman, wajar bagi UMNO memecat beliau.

Dhaka, Bangladesh
19 April 2008

Wednesday, April 16, 2008

Berniaga di Negara Bangladesh

Di sini saya, di Bangladesh dari banyak-banyak negara di dunia. Ramai sahabat bertanya: ”Kamu mahu berniaga di Bangladesh, negara termiskin di dunia itu?” Jawapan saya mudah: ”Rezeki ada di mana-mana. Kalau rezeki saya di Bangladesh, insya Allah, Allah akan sampaikan saya di sana.” Dan di sini saya di bumi 95% rakyatnya umat Islam setelah tiga setengah jam penerbangan dari KLIA, Sepang.

Saya tiba di Bangladesh pada awal pagi 12 September dan terus ke sebuah tempat penginapan persendirian, Ambrosia di daerah Dhanmondi, satu kawasan perniagaan dan kediamanan yang amat sebok di Dhaka. Tentunya, seluruh Kota Dhaka sibuk, padat dan bersesak-sesak kerana penduduknya melebihi 10 juta umat.

Pada malam berikutnya saya dan rakan-rakan menghadiri jamuan makan malam meraikan kejayaan sebuah bank perniagaan milik pelabur Abu Dhabi memulakan perniagaannya di Bangladesh, iaitu, Al Falah Bank Limited. Majlis itu adalah perhimpauan ahli perbankan di Dhaka dan saya amat gembira kerana dapat bertemu dan berinteraksi dengan mereka hanya dalam tempoh satu hari saya berada di Dhaka. Di pertemuan ini saya mendapat maklum bahawa pelabur Timur Tengah sudah lebih awal datang berniaga di Bangladesh termasuk di dalam sektor kewangan khususnya perbankan.

Di malam kedua saya dan rakan-rakan dijemput ke majlis makan malam di rumah seorang shahabat dari Malaysia yang menjadi bos syarikat Aktel, sebuah syarikat talipon bimbit. Saya terperanjat lagi kerana hadir di majlis itu hampir seratus orang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka. Mereka berkerja dengan syarikat dan bekerja sendiri sebagai pedagang dan kontraktor. Di zaman saya belajar di Amerika dahulu, kalau ada pertemuan dengan rakyat Malaysia, majoriti yang hadir orang kedutaan dan pelajar. Di Bangladesh berlainan – orang berniaga yang majoriti.

Bagi saya ”Bangladesh is an up and coming economy” walaupun ia miskin. Penduduknya melibihi 150 juta dan industri galian sudah bermula. Rakyatnya cukup cintakan ilmu dan cinta agama. Apa yang diperlukan ialah kemasukan pelaburan yang membawa kepada peningkatan peluang kerja dan pendapatan yang akan memutarkan roda eknomi dengan lebih laju dan dengannya kemakmuran akan meningkat. Masalah utama ekonomi Bangladesh ialah ketidakadilan agihan sosial dan ekonomi – jurang kaya-miskin yang terlalu lebar.

Dalam laporan bertajuk “Doing Business 2007: How to Reform” yang dikeluarkan secara bersama oleh International Finance Corporation dan Bank Dunia pada 6 September 2006 yang mendedahkan hasil kajian mengenai kos menjalankan perniagaan di 175 buah Negara di dunia, di dapati Bangladesh berada di tangga ke 88 dari segi kos menjalankan perniagaan. Ini bukanlah satu berita yang mengembirakan kerana secara perbandingan ini bermakna kos menjalankan perniagaan di Bangladesh bukanlah yang termurah di dunia. Di dalam cluster Asia Selatan, kos menjalankan perniagaan lebih rendah di Bangladesh berbanding Sri Lank ( tangga ke 89), Nepal (100), India (134), Bhutan (138) dan Afghanistan (136) tetapi lebih tinggi berbandin Maldives (53) dan Pakistan (74).

Kos menjanlakan perniagaan adalah paling rendah di Singapura (tangga pertama) diikuti New Zealand (2), Amerika Syarikat (3) dan Kanada (4). Di kalangan negara Asia – selepas Singapura - kos menjalanan perniagaan paling rendah di Hong Kong (tangga ke 5 di dunia) diikuti Jepun (11), Thailand (18), Korea Selatan (23) dan Malaysia (25).

Penarafan mengenai kos menjalankan perniagaan diasaskan kepada tujuh ciri, iaitu, memulakan perniagaan, berurusan mendapatkan lesen, kemudahan mendapatkan pinjaman, membayar cukai, perniagaan merentas sempadan, perlindungan kepada pelabur-pelabur dan menutup perniagaan. Dalam aspek melindungi pelaburan, Bangladesh berada pada tangga ke 15 di dunia dan paling atas di kalangan lapan negara Asia Selatan – Pakistan (18), India (33), Maldives (33), Nepal (60), Bhutan (79) dan Afghanistan ( corot, 173).

Kajian terkini yang dibuat oleh Dhaka Chamber of Commerce and Industry (DCCI) mendapati bahawa rasuah, kekurangan kemudahan infrastruktur dan karenah birokrasi meningkatkan kos menjalankan perniagaan. Selain dari kos yang meningkat, ahli-ahli DCCI, yang mana 70% terdiri dari industri kecil dan sederhana berdepan dengan masalah kesukaran mendapat akses kepada sumber kewangan pada kos yang munasabah.

Sekarang sudah ada kesedaran yang tinggi di Bangladesh untuk membaiki iklim pelaburan dan usaha ini dibantu oleh Bank Dunia. Bangladesh telah melaksanakan beberapa langkah ke arah ini seperti memperkenalkan akta baru pendaftaran tanah bagi melindungi pemilik tanah dan mengurangkan amalan rasuah dalam urusniaga tanah. Langkah lain termasuk membanteras rasuah secara keseluruhannya, membaiki kemudahan infrasturktur, mengatasi masalah kekurangan tenaga letrik, membaiki suasana politik dan mengatasi masalah indicisiveness di pihak kerajaan dan pelbagai pihak berkuasa kerajaan. Susana pasaran buruh juga sedah diperbaiki bagi mengurangkan insiden labour unrest yang boleh menghambat pelaburan.

Dengan pelebaran ruang demokrasi di Bangladesh, timbul keyakinan baru bahawa pelaburan di negara ini boleh menghasilkan pulangan yang lumayan. Saya perhatikan ramai pelabur-pelabur dari negeri Cina, Jepun dan India berniaga di Bangladesh. Begitu juga pelabur-pelabur dari Timur Tengah. Pelabur dari Malaysia yang menduga nasib di Bangladesh juga semakin ramai. Mungkin mereka yakin bahawa di tengah-tengah permasalahan itu ada peluang. Saya rasa inilah yang membawa ramai pelabur ke Bangladesh sekarang. Bagi saya, keramaian penduduk Bangladesh menjadi pertimbangan utama untuk memulakan pernigaan di sini. Apabila pendapatan rakyat Bangladesh dapat di tingkatkan melalui penwujudan peluang kerja dan peningkatan produktiviti, roda ekonomi akan berputar semakin pesat, aktiviti perniagaan akan meluas dan kemakmuran akan terhasil.

Dhaka
18 September 2006