Wednesday, February 15, 2012

Penyenaraian FGVHB – Berapakah Jumlah Durian Runtuhnya?



Peneroka di 317 rancangan Felda di seluruh negara – 112,635 orang kesemuanya – dan ahli keluarga mereka – 1.6 juta orang kesemuanya - bakal dibayar durian runtuh – bukan kecil tetapi besar jumlahnya dan bukan sekali tetapi dua kali – berikutan penyenaraian FGVHB pada Mei ini. Kerana jumlah durian runtuh itu kononnya amat besar, ianya menjadi hak istimewa Perdana Menteri untuk mengumumkannya, mungkin dalam bulan Februari 2012 ini juga.

Belum diumumkan jumlah unit saham FGVHB yang akan diapongkan dan nilai tawaran awam permulaan (IPO price) tetapi 37% daripada jumlah saham FGVHB bakal dipegang oleh KPF. Di samping KPF, peneroka, pelabur institusi seperti PNB, KWSP, KWAP dan Tabung Haji bakal memiliki saham FGVHB. Juga, bakal diberi hak istimewa untuk memegang kepentingan dalam FGVHB termasuklah kakitangan Felda, kerajaan negeri, rakyat Malaysia terpilih dan pelabur asing.  Lumrahnya, pelabur yang telah dinamakan ini akan menerima peruntukan saham masing-masing melalui borang merah jambu. Mereka tidak perlu berebut-rebut untuk membeli melalui borang putih – yang belum pasti dapat kerana melalui pengundian - bersama-sama orang awam.
Peneroka bolehlah sediakan wang dari sekarang bagi membeli saham melalui borang merah jambu itu kerana ia pasti dapat. Ada dakwaan bahawa setiap peneroka akan diperuntukkan 15 lot (15,000 unit) saham setiap seorang. Kalau harga IPO RM2.00 se saham, maka peneroka kena bayar RM30,000 bagi membeli kesemua saham yang diperuntukkan. Kalau tidak ada wang, tidak boleh belilah saham ini. Meloponglah tengok orang lain beli. Kalau saham ini sudah dibeli, janganlah jual serta merta. Tunggulah nilainya naik 7 kali ganda, baru untung besar.

FGVHB dijangka disenaraikan pada 10 Mei 2012. Urusan rasmi penyenaraian telah 90% selesai. Datang hujan atau panas, ada penentangan atau tidak ada penentangan, saham FGVHB tetap akan diapongkan. Tan Seri Isa Samad, Pengerusi Felda (dan Pengerusi “tidak sah” KPF) dan pasukan beliau sedang bekerja keras siang dan malam bagi menjamin cadangan penyenarai direstui peneroka. Pada 13 Februari 2012, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memberi taklimat mengenai penyenaraian FGVHB kepada 3,000 orang ketua peneroka dari 317 rancangan Felda dan 1,300 orang kakitangan Felda. Mereka dikehendaki mengundi “ya” kepada pemindahan 51% saham KPF dalam FHB kepada FGVHB pada mesyuarat khas KPF dijadualkan pada 22 Februari 2012. Pastinya, ANAK akan memfailkan injunksi lagi. Tetapi kalau hakim tidak membenarkan injunksi dan perwakilan mengundi “ya,” maka jalan ke penyenaraian bertambah lapang. 

Pengapongan FGVHB adalah yang terbesar di Malaysia dengan market capitalisation dijangka mencecah RM21 bilion, 7 kali ganda nilai bersih aset tangibel (NTA) syarikat itu sekarang.  FGVHB bakal menjadi syarikat perladangan tersenarai yang terbesar di Malaysia dan di dunia. Penyenaraian ini bakal menjemput pelabur-pelabur asing dan juga tempatan kembali masuk beraksi di bursa Malaysia, merancakkan pasaran dan memacu harga naik. Pelabur dikatakan amat dahagakan terbitan baru bertaraf “blue chip.”
Soalan: “Rakyat Malaysia terpilih” yang bakal mendapat peruntukan saham melalui borang merah jambu itu siapa? Mungkin sahaja – ini spekulasi penganalisis - mereka ini penama-penama yang mewakili sebuah parti politik. Pastinya, pada peringkat pra-penyenaraian (primary issues), mereka ini diperuntukkan beratus-ratus juta saham. Mereka ini tidak berniat untuk pegang lama. Saham-saham yang mereka perolehi secara istimewa ini akan segera dijual secara borong pada harga yang tinggi kepada badan-badan kumpulan dana kaya tunai yang telah dikenal pasti, mungkin juga pelabur asing yang bakal menjadi “strategic partner” kepada FGVHB. Dilaporkan Felda sedang berunding dengan dua rakan kongsi antarabangsa berpotensi yang bakal diberi, menurut sumber terpercaya, 20% milikan dalam FGVHB.

Penama-penama mengaut untung segera dalam jumlah yang pastinya mencecah ratusan juta, mungkin juga bilion. Wang ini akhirnya akan masuk ke “warchest” parti berkenaan bagi dibelanjakan dalam PRU 13 yang diramal akan diadakan dalam bulan Jun 2012 ini. Inilah sebabnya Felda beria-ia sangat hendak menyenaraikan FGVHB dan dengan cepat, sebelum Jun 2012.

Tentunya peneroka berdebar-debar menunggu tawaran durian runtuh yang bakal diperolehi. Durian runtuh ini tentulah diberi percuma. Takkan kena bayar pula. Berapa besar jumlahnya? Bila hendak dibayar? Dibayar semuanya dalam bentuk tunai atau semuanya dalam bentuk saham atau sebahagian dalam bentuk saham dan sebahagian lagi tunai?   Dengan andaian ia akan dibayar tunai, penganalisis cuba meneka jumlahnya. 

Khabarnya, durian runtuh akan dibayar dua kali. Sekali sebelum penyenaraian dan sekali lagi selepas penyenaraian. Wang untuk pembayaran sebelum penyenaraian tentunya dari sumber dalaman, wang Felda atau wang KPF. Kalau dari sumber KPF, maka itu wang peneroka yang menjadi ahli keporasi. Jadi, peneroka mendapat duit mereka sendiri.  Bayaran kedua mungkin datang dari wang yang dijana dari penjualan saham FGVHB kepada orang ramai, dianggarkan berjumlah sekitar RM6 bilion. Tetapi wang ini telah ditanda untuk membiayai pengembangan perniagaan FGVHB ke peringkat antarabangsa. 

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri lagi, quantum durian runtuh ini memang besar, jauh lebih besar dari bonus hari raya dan bonus khas tahunan.

Bonus raya tahun lalu (2011) ialah RM400 seorang (bagi peneroka yang bersama Felda) dan RM200 seorang (bagi peneroka yang tidak bersama Felda). Jumlah bonus raya yang dibayar kepada peneroka berjumlah RM42.6 juta. Bonus insentif yang dibayar dalam tahun 2011 ialah antara RM400-1200 tetapi peneroka yang usahakan ladang sendiri tidak lansung dibayar bonus insentif. Jumlahnya ialah RM102.584 juta.

Jadi, jumlah duit raya dan bonus insentif yang diagihkan dalam tahun 2011 berjumlah RM145.184 juta. Katalah jumlah yang akan dibayar kepada peneroka juga 7 kali ganda (sama dengan kenaikan nilai saham FGVHB selepas penyenaraian), maka durian runtuk bakal berjumlah RM1,016,288,000 juta, bermakna, setiap peneroka bakal menerima sekitar RM9,000 se orang.

Ada ramalan bahawa setiap peneroka (tidak termasuk ahli keluarga) akan di bayar RM20,000 tunai setiap seorang. Ini nampaknya satu jumlah yang munasabah kerana sebarang jumlah yang lebih kecil tidak layak dipanggil durian runtuh. Dengan andai semua peneroka akan dapat, maka jumlah durian runtuh yang bakal dibayar kepada 112,635 orang peneroka mencapai RM2,252,700,000. Ini satu jumlah yang besar, kira-kira 38% dari dana RM6 bilion yang bakal dijana dari pengapongan. Felda memang mampu membayarnya tetapi rizab tunainya akan merosot banyak. Atas alasan ini penganalisis tidak yakin durian runtuh akan mencecah RM20,000. Ini akan mengeringkan rizab tunai Felda. Apatah lagi kalau 1.6 juta hali keluarga peneroka juga dibayar RM20,000 seorang. Jumlahnya diluar jangkauan.  Kalau Felda ada sumber dana lain, penganalisis tidaklah tahu.

Timbalan Menteri memberitahu, bukan sahaja 112,635 orang peneroka yang akan menerima durian runtuh tetapi juga 1.6 juta ahli keluarga mereka (lihat tajuk kecil di dalam akhbar New Straits Times, Selasa, 14 Februari 2011 yang berbunyi “Big Gains: Settlers and family members to receive windfall before and after listing”).  Berapa pula yang akan dibayar kepada setiap ahli keluarga peneroka? Tidak mungkin satu jumlah yang lumayan kerana bilangan mereka besar. Kalau mereka juga dibayar sekitar RM9,000 sepertimana peneroka, maka jumlahnya mencapai RM14.4 bilion. Angka RM500 seorang lebih munasabah. Itupun akan melibatkan jumlah yang besar sekitar RM800 juta.

Oleh itu, penganalis menjangkakan bahawa jumlah durian runtuh untuk peneroka adalah sekitar RM10,000 se orang dan ahli keluarga peneroka RM500 se orang. Kurang mungkin tetapi lebih tidak berani nak ramal.
Angka makronya memang besar, berbilion-bilion ringgit. Tetapi bila diagihkan kepada peneroka, jumlah yang peneroka dapat amat kecil, tidak berbaloi langsung dengan risiko bahawa pemilikan tanah seluas 360,067 hektar dan pelbagai anak syarikat yang lain akan berpindah kepada pelabur bukan peneroka yang memang sudah sedia kaya raya.  Pastinya “Rakyat Malaysia terpilih” akan mengaut untuk segera beratus-ratus juta ringgit dari eksersais pengapongan ini.

(Penulis adalah bekas Pemangku Timbalan Pengurus di Bank Negara Malaysia dan Ahli Ekonomi kepada ANAK).

Rembau, NS
15 Februari 2012
Durian runtuh 

Tuesday, February 14, 2012



Sahih, KPF Bakal Hilang Kuasa Pengawalan ke atas Asetnya Akibat Penyenaraian FGVHB
Oleh
Dr. Rosli bin Yaakop
Akhbar media baru, http://www.malaysiakini.com (Isnin, 13 Feberuari 2012) melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan telah mengumumkan penubuhan sebuah syarikat pengurusan harta, Felda Asset Holding Company (FAHC) yang bakal memiliki 37% kepentingan dalam FGVHB bagi pihak Koperasi Pelaburan Felda (KPF). Kalaulah ini benar, maka KPF akan kehilangan kuasa pengurusan dan pengawalan ke atas hartanya sendiri. Bagaimana?

Ahli lembaga pengarah FAHC – tidak dinyatakan bilangannya – bakal terdiri daripada wakil Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, FELDA, FGVHB dan KPF. Jelas, ini bertujuan menurunkan wakil KPF di dalam lembaga pengarah FAHC kepada suara miniroti, sekaligus melemahkan kuasa KPF di dalam proses pembuatan keputusan dan penguasaan di dalam FAHC.  Juga, dilaporkan lembaga pengarah FAHC akan bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri. Ini satu lagi tindakan yang menjurus kepada melemahkan kuasa KPF di dalam FAHC. Bukankah kesan dari mekanisma ini menyebabkan KPF kehilangan kuasa pembuatan keputusan dan pengawalan ke atas hartanya sendiri?

Penubuhan FAHC didakwa akan menjamin 37% saham FGVHB yang dimiliki KPF itu “tidak dijual sewenang-wenangnya.” Ini memberi gambaran bahawa jika saham itu dipegang terus oleh KPF, maka dikhuawatiri ahli lembaga pengarah KPF akan menjual saham-saham itu sesuka hati. Walau bagaimana pun, penulis berfirasat bahawa penubuhan FAHC berniat serong bertujuan mengenepikan kuasa pengawalan dan penguasaan oleh KPF ke atas FGVHB sekaligus memberi jaminan kepada pelabur-pelabur di bursa saham Malaysia khasnya pelabur-pelabur asing bahawa syarikat tersenarai FGVHB bukan dikuasai dan dikawal oleh sebuah koperasi. Harus diingat bahawa FAHC adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah akta syarikat yang bakal memiliki pengurusan sendiri yang bebas daripada kawalan lembaga pengarah KPF. Akhirnya, KPF yang dimiliki oleh 207,913 ahlinya terdiri daripada peneroka, ahli keluarga peneroka  dan kakitangan Felda akan dinafikan kuasa untuk mengurus dan mengawal harta mereka sendiri.

Antara lain, perwakilan ahli KPF yang akan menghadiri mesyuarat agong khas pada 22 Februari 2012 ini akan diminta meluluskan usul yang membenarkan FAHC memegang 37% saham dalam FGVHB bagi pihak KPF dan menyerahkan secara mutlak pengurusan dan pengawalan harta ini kepada FAHC. Penyahan kuasa KPF ke atas pengurusan dan pengawalan FGVHB selepas penyenaraian ini bertujuan memenuhi syarat yang dikehendaki oleh pelabur-pelabur asing khasnya rakan pelabur strategik asing yang akan diberikan milikan 20% saham di dalam FGVHB. Dikatakan badan koperasi tertakluk kepada dan dikekang oleh undang-undang koperasi, termasuk undang-undang kecilnya sendiri, yang ketat yang bakal menyukarkan proses pembuatan keputusan di dalam FGVHB khasnya dalam hal urusan penstrukturan dana. Rakan strategik pelabur asing itu tidak mahu FGVHB yang disenaraikan didominasi oleh KPF. Penubuhan FAHC yang memiliki 37% saham dalam FGVHB bagi pihak KPF adalah “pemanis” yang ditawarkan Felda kepada pelabur-pelabur asing.  

Di samping menyuntikkan tanah perladangan seluas 360,067 hetkar di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. Ke dalam FGVHB, proses penyenaraian FGVHB di bursa Malaysia seterusnya melibatkan FGVHB mengambilalih 51% saham milik KPF di dalam Felda Holding Berhad beserta 10 buah anak syarikat FHB. Sumber yang dipercaya memberitahu bahawa anak-anak syarikat yang terlibat ialah Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (FPI), Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FAS), Felda Vegetable Oil Sdn. Bhd. (FVOP), Felda Marketing Sdn. Bhd. (Felma), Felda Rubber Industries Sdn. Bhd., Felda Transport Services Sdn. Bhd., Felda Kernel Production Sdn. Bhd., Felda Prodata Sdn. Bhd., Felda Engineering Sdn bhd. dan Felda Security Services Sdn. Bhd.  Kebanyakan anak-anak syarikat ini adalah syarikat teras yang menjana keuntungan bagi Felda. Dengan suntikan ini, FGVHB akan menjadi “gemok dan bernilai tinggi” bila disenaraikan.

Sebagai balasan, FGVHB akan menerbitkan saham baru sebanyak 2.421 bilion unit pada harga tara (par value) RM1.00 se unit (bermakna nilainya RM2.421 bilion) dan diberikan kepada KPF. Ini bermakna, KPF akan dibayar dalam bentuk saham, bukan dalam bentuk tunai. Kalau hendakkan tunai, KPF juallah saham itu.

Pada masa ini (merujuk kepada kedudukan kewangan tahun 2010), saham FGVHB berjumlah 1.768 bilion pada harga tara RM1.00.  Dengan terbitan baru, jumlah saham FGVHB menjadi 4.189 bilion unit  bernilai RM4.189 bilion (pada harga tara RM1.00). Ini bermakna, dengan menyerahkan miliki  51% dalam FHB dan 10 buah anak syarikat di bawah FHB, KPF akan mendapat 2.421 bilion unit saham di dalam FGVHB bernilai RM2.421 bilion pada harga tara RM1.00 se saham atau 57.8% saham dalam FGVHB.
Sebelum suntikan-suntikan aset dilaksanakan FGVHB mempunyai nilai NTA sebesar RM2.283 bilion (berasaskan kedudukan kewangan tahun 2010). Selepas penyuntikan, nilai NTAnya naik kepada RM5.414 bilion.
Pada asas aset tangibel bersih (NTA), keseluruhan saham yang bakal dimiliki KPF bernilai RM3.13 bilion (NTA tahun 2010). Dengan kata mudah, andainya KPF mahu menjual kesemua 57.8% saham ini sekarang, ia akan mendapat wang tunai sebanyak RM3.13 bilion (jualan pada nilai NTA).   Saham selebihnya di dalam FGVHB, iaitu, 42.2% dimiliki oleh Felda bernilai (NTA) RM2.28 bilion.
Juga didedahkan di dalam laporan Malaysiakini.com pada 13 Februari 2012 itu ialah bila FGVHB disenaraikan nanti, nisbah milikan saham oleh KPF di dalam FGVHB akan berkurangan kepada 37% dengan nilai “market capitalisation” mencecah RM21 bilion, iaitu, 6.7 kali ganda nilai NTA sebelum penyenaraian. Seandainya pada ketika itu KPF menjual kesemua sahamnya dalam FGVHB, ia akan memperolehi wang tunai sebanyak RM21 bilion, melonjakkan ia kepada sebuah koperasi yang paling kaya tunai di Malaysia.  Bila wang ini diagihkan kepada 207,913 ahlinya, maka setiap ahli akan mendapat, secara puratanya, RM101,004 seorang.  Hakikatnya, semakin tinggi saham yang dimiliki di dalam KPF, semakin tinggilah bahagian yang diperolehi. Inilah dia durian runtuh yang dijanjikan, agaknya.

Persoalannya: Apakah ahli-ahli koperasi yang 87.81% terdiri dari peneroka dan ahli keluarga, redha dan rela untuk hilang kuasa pengurusan dan pengawalan ke atas harta mereka sendiri? Apakah mereka bersedia untuk meletakkan tanah hak mereka di dalam rancangan Felda kepada risiko dipindah milik kepada pelabur-pelabur yang bukan peneroka yang tidak pernah mencurahkan keringat walau setitik pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah perladangan yang luas terbentang itu?  Arwah Tun Abd. Razak memberi tanah kepada orang kampong tiada bertanah untuk mengeluarkan mereka dari cengkaman kemiskinan. Seandainya beliau hanya mengambil pertimbangan untuk memajukan ekonomi Malaysia dengan cepat, maka lebih baik beliau menjual tanah-tanah di negara ini kepada kapitalis-kapitalis yang sedia ada di dalam negara dan dari luar negara untuk dibangunkan. Beliau tidak perlu memeningkan kepala. Itu bukan hasrat beliau.

Rembau, NS
14 Februari 2012
Sahih