Thursday, January 12, 2012

Sahih, KPF Bakal Hilang Kuasa Pengawalan ke atas Asetnya Akibat Penyenaraian FGVHB


Akhbar media baru, http://www.malaysiakini.com (Isnin, 13 Feberuari 2012) melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan telah mengumumkan penubuhan sebuah syarikat pengurusan harta, Felda Asset Holding Company (FAHC) yang bakal memiliki 37% kepentingan dalam FGVHB bagi pihak Koperasi Pelaburan Felda (KPF). Kalaulah ini benar, maka KPF akan kehilangan kuasa pengurusan dan pengawalan ke atas hartanya sendiri. Bagaimana?

Ahli lembaga pengarah FAHC – tidak dinyatakan bilangannya – bakal terdiri daripada wakil Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, FELDA, FGVHB dan KPF. Jelas, ini bertujuan menurunkan wakil KPF di dalam lembaga pengarah FAHC kepada suara miniroti, sekaligus melemahkan kuasa KPF di dalam proses pembuatan keputusan dan penguasaan di dalam FAHC.  Juga, dilaporkan lembaga pengarah FAHC akan bertanggungjawab terus kepada Perdana Menteri. Ini satu lagi tindakan yang menjurus kepada melemahkan kuasa KPF di dalam FAHC. Bukankah kesan dari mekanisma ini menyebabkan KPF kehilangan kuasa pembuatan keputusan dan pengawalan ke atas hartanya sendiri?

Penubuhan FAHC didakwa akan menjamin 37% saham FGVHB yang dimiliki KPF itu “tidak dijual sewenang-wenangnya.” Ini memberi gambaran bahawa jika saham itu dipegang terus oleh KPF, maka dikhuawatiri ahli lembaga pengarah KPF akan menjual saham-saham itu sesuka hati. Walau bagaimana pun, penulis berfirasat bahawa penubuhan FAHC berniat serong bertujuan mengenepikan kuasa pengawalan dan penguasaan oleh KPF ke atas FGVHB sekaligus memberi jaminan kepada pelabur-pelabur di bursa saham Malaysia khasnya pelabur-pelabur asing bahawa syarikat tersenarai FGVHB bukan dikuasai dan dikawal oleh sebuah koperasi. Harus diingat bahawa FAHC adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah akta syarikat yang bakal memiliki pengurusan sendiri yang bebas daripada kawalan lembaga pengarah KPF. Akhirnya, KPF yang dimiliki oleh 207,913 ahlinya terdiri daripada peneroka, ahli keluarga peneroka  dan kakitangan Felda akan dinafikan kuasa untuk mengurus dan mengawal harta mereka sendiri.

Antara lain, perwakilan ahli KPF yang akan menghadiri mesyuarat agong khas pada 22 Februari 2012 ini akan diminta meluluskan usul yang membenarkan FAHC memegang 37% saham dalam FGVHB bagi pihak KPF dan menyerahkan secara mutlak pengurusan dan pengawalan harta ini kepada FAHC. Penyahan kuasa KPF ke atas pengurusan dan pengawalan FGVHB selepas penyenaraian ini bertujuan memenuhi syarat yang dikehendaki oleh pelabur-pelabur asing khasnya rakan pelabur strategik asing yang akan diberikan milikan 20% saham di dalam FGVHB. Dikatakan badan koperasi tertakluk kepada dan dikekang oleh undang-undang koperasi, termasuk undang-undang kecilnya sendiri, yang ketat yang bakal menyukarkan proses pembuatan keputusan di dalam FGVHB khasnya dalam hal urusan penstrukturan dana. Rakan strategik pelabur asing itu tidak mahu FGVHB yang disenaraikan didominasi oleh KPF. Penubuhan FAHC yang memiliki 37% saham dalam FGVHB bagi pihak KPF adalah “pemanis” yang ditawarkan Felda kepada pelabur-pelabur asing.  

Di samping menyuntikkan tanah perladangan seluas 360,067 hetkar di bawah Felda Plantation Sdn. Bhd. Ke dalam FGVHB, proses penyenaraian FGVHB di bursa Malaysia seterusnya melibatkan FGVHB mengambilalih 51% saham milik KPF di dalam Felda Holding Berhad beserta 10 buah anak syarikat FHB. Sumber yang dipercaya memberitahu bahawa anak-anak syarikat yang terlibat ialah Felda Palm Industries Sdn. Bhd. (FPI), Felda Agriculture Services Sdn. Bhd. (FAS), Felda Vegetable Oil Sdn. Bhd. (FVOP), Felda Marketing Sdn. Bhd. (Felma), Felda Rubber Industries Sdn. Bhd., Felda Transport Services Sdn. Bhd., Felda Kernel Production Sdn. Bhd., Felda Prodata Sdn. Bhd., Felda Engineering Sdn bhd. dan Felda Security Services Sdn. Bhd.  Kebanyakan anak-anak syarikat ini adalah syarikat teras yang menjana keuntungan bagi Felda. Dengan suntikan ini, FGVHB akan menjadi “gemok dan bernilai tinggi” bila disenaraikan.

Sebagai balasan, FGVHB akan menerbitkan saham baru sebanyak 2.421 bilion unit pada harga tara (par value) RM1.00 se unit (bermakna nilainya RM2.421 bilion) dan diberikan kepada KPF. Ini bermakna, KPF akan dibayar dalam bentuk saham, bukan dalam bentuk tunai. Kalau hendakkan tunai, KPF juallah saham itu.

Pada masa ini (merujuk kepada kedudukan kewangan tahun 2010), saham FGVHB berjumlah 1.768 bilion pada harga tara RM1.00.  Dengan terbitan baru, jumlah saham FGVHB menjadi 4.189 bilion unit  bernilai RM4.189 bilion (pada harga tara RM1.00). Ini bermakna, dengan menyerahkan miliki  51% dalam FHB dan 10 buah anak syarikat di bawah FHB, KPF akan mendapat 2.421 bilion unit saham di dalam FGVHB bernilai RM2.421 bilion pada harga tara RM1.00 se saham atau 57.8% saham dalam FGVHB.
Sebelum suntikan-suntikan aset dilaksanakan FGVHB mempunyai nilai NTA sebesar RM2.283 bilion (berasaskan kedudukan kewangan tahun 2010). Selepas penyuntikan, nilai NTAnya naik kepada RM5.414 bilion.
Pada asas aset tangibel bersih (NTA), keseluruhan saham yang bakal dimiliki KPF bernilai RM3.13 bilion (NTA tahun 2010). Dengan kata mudah, andainya KPF mahu menjual kesemua 57.8% saham ini sekarang, ia akan mendapat wang tunai sebanyak RM3.13 bilion (jualan pada nilai NTA).   Saham selebihnya di dalam FGVHB, iaitu, 42.2% dimiliki oleh Felda bernilai (NTA) RM2.28 bilion.
Juga didedahkan di dalam laporan Malaysiakini.com pada 13 Februari 2012 itu ialah bila FGVHB disenaraikan nanti, nisbah milikan saham oleh KPF di dalam FGVHB akan berkurangan kepada 37% dengan nilai “market capitalisation” mencecah RM21 bilion, iaitu, 6.7 kali ganda nilai NTA sebelum penyenaraian. Seandainya pada ketika itu KPF menjual kesemua sahamnya dalam FGVHB, ia akan memperolehi wang tunai sebanyak RM21 bilion, melonjakkan ia kepada sebuah koperasi yang paling kaya tunai di Malaysia.  Bila wang ini diagihkan kepada 207,913 ahlinya, maka setiap ahli akan mendapat, secara puratanya, RM101,004 seorang.  Hakikatnya, semakin tinggi saham yang dimiliki di dalam KPF, semakin tinggilah bahagian yang diperolehi. Inilah dia durian runtuh yang dijanjikan, agaknya.

Persoalannya: Apakah ahli-ahli koperasi yang 87.81% terdiri dari peneroka dan ahli keluarga, redha dan rela untuk hilang kuasa pengurusan dan pengawalan ke atas harta mereka sendiri? Apakah mereka bersedia untuk meletakkan tanah hak mereka di dalam rancangan Felda kepada risiko dipindah milik kepada pelabur-pelabur yang bukan peneroka yang tidak pernah mencurahkan keringat walau setitik pun dalam membangunkan hutan belantara menjadi tanah perladangan yang luas terbentang itu?  Arwah Tun Abd. Razak memberi tanah kepada orang kampong tiada bertanah untuk mengeluarkan mereka dari cengkaman kemiskinan. Seandainya beliau hanya mengambil pertimbangan untuk memajukan ekonomi Malaysia dengan cepat, maka lebih baik beliau menjual tanah-tanah di negara ini kepada kapitalis-kapitalis yang sedia ada di dalam negara dan dari luar negara untuk dibangunkan. Beliau tidak perlu memeningkan kepala. Itu bukan hasrat beliau.

Rembau, NS
14 Februari 2012
Sahih