Saturday, March 15, 2008

PRU12: BN Kalah Kerana Abdullah Ahmad Badawi

“Katakanlah (Muhammad). “Wahai Tuhan pemilik kekuasaan, Engkau berikan kekuasaan kepada siapa pun yang Engkau kehendaki dan engkau cabut kekuasaan dari siapa pun yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa pun yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan siapa pun yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha kuasa atas segala sesuatu.” (Ayat 26. Surah 3, Ali Imran)

Keputusan PRU12 menunjukkan pola pengundian semua kaum berubah, pertama, ia memihak kepada BA dan kedua, pengundi tidak lagi mengundi mengikut jalur kaum. Hasilnya, BN hilang kuasa di 5 negeri dan Wilayah Persekutuan dan hilang suara majoriti dua pertiga di parlimen. Ada parti komponen BN yang hilang dari peta. Kenapakah rakyat menolak BN?

Faktornya pelbagai tetapi secara am ianya boleh digolongkan ke dalam dua kumpulan. Pertama, faktor Abdullah Badawi dan kezaliman pemerintahan BN dan kedua, peningkatan ketara pengaruh dan kekuatan parti-parti pembangkang – PAS, PKR dan DAP.

Tetapi, faktor kedua tidak dominan. Harus diakui BA memang tidak kuat. Wang dan tenaga kurang. Betul, ia sudah bangun dari debu kekalahan terok dalam PRU11 tetapi “by any calculation” ia belum mampu lagi untuk menang besar. Unjuran awal ialah kalau PAS mampu mempertahankan Kelantan, itu sudah dikira satu kemenangan besar. Oleh itu, faktor tolak – rakyat menolak BN – adalah faktor utama yang membawa BN rebah. Dan semua ini kerana gara-gara Abdullah Badawi.

Pribadi dan Prestasi

Keperibadian Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Badawi itu sendiri menjadi pendorong terbesar kepada perubahan yang berlaku diburukkan lagi oleh gelagat menantu beliau, Khairy Jamaluddin yang gelojoh untuk membina tapak kuasa pada “fast track” untuk mencapai sasaran peribadi menjadi Perdana Menteri Malaysia termuda dalam sejarah pada umur 40 tahun. Itu kira-kira pada PRU14.

Tuduhan bahawa Khairy mencatur dan mempengaruhi pemerintahan beliau dan bahawa menantu beliau adalah agen kerajaan asing dan talibarut Yahudi dinafikan tanpa disiasat. Tuduhan itu bukan datang dari ketua cawangan UMNO tetapi dari bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad. Tentu ada kesahihannya. Membiarkan menantu campur tangan dalam kerajaan dengan mengenepikan pandangan pihak berwibawa yang lain membawa padah kepada Abdullah. Tuduhan bahawa Khairy terlibat dengan skandal kewangan juga tidak disiasat.

Ini bukan serangan peribadi. Masyarakat barat amat prihatin akan keperibadian pemimpin. Mereka menolak pemimpin yang buruk peribadi yang terlibat dengan pelbagai skandal, misalnya skandal seks. Rakyat Malaysia harus lebih prihatin tentang perkara ini dan belajar dari masyarakat barat.

Sesungguhnya, keperibadian yang buruk menjejaskan kepimpinan. Apatah lagi kalau dinilai dari sudut Islam hatta mana-mana agama sekali pun. Gabungan keperibadian yang unggul dan teserlah, ilmu dan profesionalisma yang tinggi, kehebatan hemah dan hikmah, kuat memegang prinsip dan mesra rakyat adalah di antara beberapa sifat pemimpin yang unggul.

Abdullah Kurang Cerdik
Apabila secara rambang ditanya anak-anak sekolah, remaja belasan tahun, anak-anak muda di kampus dan kaum dewasa yang bekerja malahan kaum tua sekalipun akan soalan: “Di antara kelima-lima Perdana Menteri Malaysia, Perdana Menteri yang keberapakah yang paling tidak cerdik? Majoriti menjawab: “Abdullah.” Tun Mahathir sendiri berkata bahawa Abdullah adalah Perdana Menteri sepenggal. Itu pun beliau mengatakan beliau tersilap lantik. Maksudnya, Abdullah tidak berapa cerdiklah. Malah, ramai orang UMNO sendiri mengakui pemimpin mereka tidak begitu cerdik.

Di peringkat antarabangsa, OIC yang dipengerusikan beliau seolah sudah tutup kedai. Permasalahan umat Islam pelbagai dan komplek tetapi tiada apa-apa yang beliau buat untuk menanganinya. Gerakan Negara Berkecuali pula tidak memberangsangkan di bawah pimpinan Abdullah. Nama Malaysia kini amat terkenal dalam hal penganiayaan ke atas pekerja asing. Menteri memungut “tol” daripada pengimportan pekerja asing ini.

Menurut penilaian pemerhati-pemerhati berwibawa, ucapan-ucapan penting yang disampaikan beliau tidak menepati kualiti dan hambar, apabila berdepan dengan soalan dari wartawan, acapkali jawapan yang diberikan tidak memuaskan. Berita-berita beliau kerap tertidur dalam mesyuarat dan terlupa temu janji bukanlah perkara asing lagi. Pernah diceritakan beliau datang terlalu lewat dalam satu temu janji dengan Tun Mahathir sebab terlupa. Juga diberitakan bahawa beliau ialah seorang Perdana Menteri yang tidak begitu rajin membaca.sehingga pengetahuan am dan gaya bahasa penulisan dan pertuturan beliau tergolong pada tahap kurang memuaskan.

Sentuh dan Raba

Juga, beliau gagal menjaga sopan-santun pergaulan antara lelaki dan perempuan sebagai seorang Islam. Gambar beliau menyentuh, meraba, menggosok dan melengkarkan tangan dipinggang dan bahu orang perempuan yang tidak halal disentuh memang banyak tersebar khasnya di saluran akhbar alternatif. Sebagai pengasas Islam hadhari apakah layak beliau berperangai demikian?


Mungkin perkara ini kecil tetapi ada rakyat yang sensitif sebagaimana rakyat negara barat sensitif mengenai perkara seperti itu. Masyarakat barat adalah permisif terhadap seks tetapi tiada ruang untuk pemimpin yang terlibat dalam skandal seks untuk menjadi pemimpin mereka. Kes terkini ialah kes Eliot Spitzer, Gabenor New York, yang membelanjakan USD80,000 melanggani wanita lacur. Beliau mengambil pertanggungjawaban dengan meletakkan jawatan.

Kes seperti kes Eliot Spitzer ini tidak mustahil wujud di Malaysia. Prostitution ring di Malaysia jangan hendak katalah, bercambah. Bermacam ragam dan rupa perempuan ada, datang dari Russia, Cina, Indonesia, Filipina, Hong Kong, Latin Amerika, Eropah dan Afrika sehingga GRO tempatan (termasuk prempuan Melayu Islam) susah hendak mencari makan. Perempuan Melayu Islam ramai menjadi pelacur agaknya disebabkan Dr. Mashitah, bekas ahli parlimen Baling dan ustazah terkenal Islam hadhari memberi pandangan (ada orang kata fatwa) bahawa “boleh mencari makan melalui pelacuran.” Tidak tahukah pegawai-pegawai tinggi imigresyen akan hal ini. Bukankah mereka masuk melalui immigration check-point? Rasuahlah jawapnya, apa lagi. Abdullah tidak prihatin akan hal ini.

Nampaknya, Abdullah Badawi tidak mengambil pusing akan keperibadian pemimpin. Pemimpin-peminpin yang terlibat dengan pelbagai skandal terus dilindungi. Misalnya, satu berita angin mengenai skandal seks melibatkan pemimpin besar BN yang kononnya berlaku di Negeri Sembilan tidak pernah disiasat. Tuan Kadhi yang dikatakan tahu akan kes itu telah pun meninggal dunia. Kes rogol melibatkan seorang Menteri Besar juga tidak disiasat tetapi sebaliknya Lim Guan Eng (kini Ketua Menteri Pulau Pinang), orang yang membantu dan membela gadis dan keluarga mangsa pula dipenjarakan. Kes Mustakizah tidak selesai sampai kini. Begitu juga kes pembunuhan menantu Tan Sri Low Boon Siew di Pulau Pinang. Kenapakah ini berlaku? Ini semua diebabkan rasuah dan hakim dan polis “orang dia”

Kes pembunuhan Altantunya dengan orang yang tertuduh begitu rapat hubungannya dengan seorang pemimpin besar menimbulkan tanda tanya besar di hati rakyat. Sudahlah dibunuh, mayat mangsa dihancurkan pula dengan bom C14 milik kerajaan. Sudah hilang perikemanusiaan si pembunuh. Melihat persekitran kes, rakyat Malaysia tidak dapat membuat kesimpulan melainkan skandal ini melibatkan pemimpin penting negara sehingga bukti mahu dipadamkan sehabis-habisnya. Abdullah Badawi langsung tidak menunjukkan keprihatinan ke atas kes ini. Tiada kepala yang dipenggal. Tidak tahulah nasib kes ini kerana hakim dan polis “orang dia.”

Jurang Kata dan Kota

Jurang prestasi bermasalah besar. Bila dilihat jurang di antara “kata dan kota,” permasalahan prestasi Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri menimbulkan persoalan. Di antara kata-kata beliau yang terkenal, dilafazkan se awal menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2004 ialah: “Janganlah bekerja untuk saya tetapi marilah bekerja bersama saya.” Yang terjadi ialah beliau bekerja untuk keluarga dan kroni-kroni beliau dan pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang lain semakin ghairah dalam amalan korupsi, kronisma dan nepotisma (KKN).

Syarikat Scomi dalam mana anak beliau memiliki saham mendapat favor. Begitu juga syarikat adik beradik beliau yang lain. Projek-projek di bawah RM9 pula banyak yang diberi kepada kroni. Sistem tender terbuka tidak berjalan. Beliau selaku pemimpin Islam Hadhari yang selalu menggambarkan imej “Saya tidak takut kepada sesiapa kecuali Allah SWT sahaja” sepatutnya mempromosikan slogan “Jangan bekerja untuk saya tetapi bekerjalah sema-mata untukNya.”

Rasuah Merebak

Amalan rasuah di kalangan pemimpin BN memang membiak. Bagimanakah boleh terjadi stesyen minyak boleh dibina di atas tanah rizab lebuh raya? Bagimanakah anak seorang orang menteri yang berusia dalam linkongan 20an tahun boleh menjadi seorang billionaire? Bagaimanakah seorang menteri besar boleh menyeludupkan wang ke Australia untuk dilaburkan dalam sektor hartanah di sana? Bagaimanakah menteri dan menteri besar boleh menjadi begitu kaya raya?

Ada maklumat yang menunjukkan bahawa setiap menteri dan menteri besar (juga lain-lain pemimpin BN) memiliki mekanisma dan modus operandi mereka sendiri untuk memakan rasuah dengan cara yang sukar dikesan dan dibuktikan. Badan-badan yang ditubuhkan untuk membantu menaikkan taraf ekonomi Bumiputera seperti PKEN di negeri-negeri dijadikan alat oleh pemimpin untuk memakan rasuah. Dengan dibantu oleh BPR yang tidak bertaring (“orang dia”), amalan rasuah terus merebak di bawah rejim Abdullah Badawi. Di saat beliau mula-mula memegang jawatan, beliau berjanji untuk memerangi rasuah habis-habisan tetapi ini tidak terjadi.

Pemimpin UMNOPutera

Beliau mengaku pemimpin seluruh rakyat Malaysia tetapi dalam realitinya beliau hanyalah pemimpin kepada sebahagian rakyat Malaysia, iaitu, golongan yang menyokong idiologi BN sahaja. Rakyat yang menjadi golongan pembangkang kepada idiologi ini diketepikan. Bagi umat Melayu pula beliau tidak lebih dari pemimpin kepada golongan Melayu “UMNOputera.” Cara beliau melayani golongan Melayu yang lain, khasnya, “PASputera” memberi gambaran seolah-olah golongan Melayu PASputera ini bukan sebahagian dari orang Melayu, malah mereka dianggap sebagai bukan warga negara. Semua projek dianugerahkan kepada usahawan UMNOputera yang lebih cenderung beralibaba. Usahawan PASputera tidak mendapat apa-apa projek pun dan terpaksa memilih untuk membina keusahawan dengan usaha sendiri.

Kakitangan kerjaaan dipaksa membuat aku janji dan sesiapa yang disyaki bukan “orang dia” didiskriminasi dalam kenaikan pangkat. Malah asnaf kepada wang zakat yang disyaki menyokong idiologi pembangkang termasuk pelajar agama di Mesir dinafikan hak mereka. Di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, ada penyokong idiologi PAS tidak diperbaharui permit teksi mereka dan peniaga-peniaga disingkir dari gerai MARA.

Institusi Kehakiman Rosak

Hakim-hakim mesti “orang dia” kerana beliau takut kepada hakim yang berjiwa keadilan dan memihak kepada rakyat. Hakim-hakim yang adil tidak mungkin survive di bawah rejim Abdullah sebagaimana mereka tidak boleh survive di bawah rejim Mahathir dahulu. Memang menjadi sifat pemimpin yang rasuah dan zalim dari zaman berzaman akan memperkosa sistem kehakiman. Hakim-hakim yang menjalankan tugas atas dasar “without fear and favour” tidak membolehkan pemimpin seperti ini berasa selamat.

Pegawai-pegawai tinggi polis sudah tentu “orang dia” untuk diperalatkan dalam kerja-kerja untuk menzalimi rakyat seperti menyumbatkan aktivis dan pemimpin parti pembangkang dan musuh politik pemimpin BN ke dalam penjara tanpa perlu dibicarakan. Beliau tidak pernah mengambil pusing tentang kebajikan kaum keluarga dan anak-anak orang tahanan ISA ini. Tidak tahukah beliau, khasnya dalam kontek beliau sebagai pengasas dan pemimpin Islam hadhari, di dalam Islam tiada undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri seperti itu? Undang-undang seperti ini baru sahaja wujud di Amerika dan Eropah selepas peristiwa 11 September 2001 (Rais Yatim berkata mereka belajar daripada Malaysia dan beliau menjadi tenaga pengajar utamanya) tetapi hanya dituju dan diaplikasikan ke atas orang Islam dan rakyat mereka yang beragama Islam sahaja dalam perang melawan keganasan di seluruh dunia (ertinya Perang Dunia Ketiga sudahpun bermula). Parlimen Kesatuan Eropah telah menolak undang-undang itu.

“Orang dia” di dalam institusi polis ini juga mudah diperalatkan untuk menghalang perhimpunan rakyat dan untuk menyembur air asid dan menembakkan peluru hidup ke arah orang ramai yang berhimpun dan berarak memprotes kezalaiman dan ketidakadilan kerajaan. Sudah tentu polis cawangan khas bekerja semata-mata untuk kepentingan BN. Maklumat ini disalurkan kepada “kerajaan” dan parti BN dan dengar khabarnya sampai juga kepada Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan kumpulan think-tank beliau yang bersarang di tingkat 4 di sebuah bangunan terpenting di Putera Jaya. Dekat-dekat area itulah juga terletak pejabat bapa mertua beliau, Perdana Menteri Malaysia, Abdullah Badawi.

Kumpulan pemikir berkenaan bukan sahaja memikirkan hal politik tetapi memngambil pendekatan multi-disciplinary approach sebagai pendekatan kajian – politik, ekonomi, perniagaan, hubungan antarabangsa, sosial, agama dan termasuk strategi pilihan raya. Misalnya, kalau laporan SB mengatakan kemungkinan BN akan kalah dalam pilihan raya, maka kumpulan ini akan memikirkan strategi untuk membuatkan - by hook or by crook, tidak kira cara halal atau haram - BN menang. Tidak kiralah, membuat kad pengenalan palsukah, menambahkan pengundi hantukah, melibatkan pendatang asing sebagai pengundikah, mengubah peta DUN dan kawasan parlimenkah, buat bajet untuk membeli undikah dan pelbagai lagilah cara bersih dan kotor untuk menjamin kemenangan BN. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak syak lagi memang dikawal pemimpin UMNO, diperalatkan dan tidak bebas langsung. SPR adalah cawangan UMNO.

Tentulah ada maklumat besar dari SB yang tidak memihak kepada BN yang telah menyebabkan SPR dengan tiba-tiba dan tanpa berunding dengan parti-parti pembangkang membatalkan penggunaan dawat tiga empat hari lagi hendak mengundi. Perbuatan curang ini membuka mata dan hati rakyat. Memang benarlah kerajaan BN ini tergamak menipu, membatalkan dan mengubah peraturan itu dan ini dengan sesuka hati sahaja. Maka benarlah dakwaan parti pembangkang selama ini bahawa kerajaan BN suka mungkir janji, menyalahgunakan kuasa, tidak mengikut peraturan dan undang, menyeleweng dan cukup gemar membuat perkara mungkar. Boleh berkata pula belanja RM4-5 juta membeli dakwat tiada apa-apa, sikit sahaja. Mereka tidak sedar hatta satu sen wang rakyat diselewengkan, pemimpin mesti dipertanggungjawabkan.

Adalah diyakini pembatalan penggunaan dakwat ini berperanan besar sebagai beban terakhir yang mematahkan tulang belakang unta dan pukulan paku terakhir yang menutup keranda. Parti MIC, Gerakan dan MCA maut dan pakatan BN separuh maut.

Kuasai media

Penguasaan BN ke atas media boleh dikatakan mutlak. Sepanjang masa, khasnya apabila pilihan raya semakin dekat, masa siaran (air time) di TV dan Radio, barang sesaat pun, tidak diberikan kepada pemimpin pembangkang untuk menyampaikan maklumat alternatif apatah lagi untuk mematahkan serangan bertubi-tubi dari pemimpinan BN. Tiada barang seinci pun ruang surat khabar aliran perdana yang memuatkan pandangan alternatif. Kalau ada pun, ianya lebih merupakan perkara bersifat fitnah dan negatif terhadap parti-parti pembangkang dan pemimpin mereka. Parti pembangkang tidak dibenarkan memilik akbar harian, stesyen radio dan TV sendiri. Penggunaan media elektronik seperti bloggers dan email pun disekat.

Penguasaan BN ke atas media ini akhirnya sampai ke pringkat yang memualkan. Dalam dua minggu (masa berkempen) sebelum PRU12 ramai rakyat menutup TV kerana benci dan ramai pula yang marah-marah mahu menendang TV. Pada malam terakhir sebelum pengundian, Abdullah menggunakan kesempatan dalam ucapan live beliau ke seluruh negara membelasah pihak pembangkang habis-habisan tanpa ada ruang untuk pihak lawan mempertahankan diri barang sesaat pun. Seorang pemimpin yang ada sedikit rasa keadilan di dalam sanubari tidak akan tergamak untuk melakukan yang demikian. Rakyat semakin marah. Luapan kemarahan rakyat ini diluahkan ke dalam PRU12 yang akhirnya membawa padah kepada BN.

Enggan Temui Rakyat

Pemimpin-pemimpin pembangkang yang mahu bertemu dengan Perdana Menteri tidak dihiraukan. Presiden PAS YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sudah menunggu bertahun-tahun, sampai hari ini, temu janji belum diperkenankan. Begitulah sukarnya hendak bertemu manusia yang bernama “Hamba Allah” ini. Hendak berbahas dengan beliau memang “jauh panggang dari api.” Tun Mahathir pernah berbahas dengan pemimpin PAS mengenai isu Palestin tetapi Abdullah Badawi tidak mahu langsung berbahas dengan pemimpin pembangkang walhal di sana terdapat banyak isu yang perlu ditangani bersama untuk kepentingan rakyat dan negara. Bila berdepan dengan pembangkang rasa “inferiority complex” Abdullah nampaknya sangat tinggi, mungkin disebabkan beliau tidak begitu pandai hendak berhujah, berbahas mematahkan hujah dan kurang maklumat kerana kurang membaca. .

Bukan saja dengan pemimpin pembangkang, dengan rakyat pun beliau begitu. Aduan rakyat yang disampaikan kepada beliau melalui surat dan email memang tidak dilayan. Kita meragui samada beliau membuka internet atau tidak. Belum pernah terjadi di dalam sejarah RTM dan stesyen TV yang lain di mana diadakan interactive program yang memberi ruang kepada rakyat menanyakan soalan dan membangkitkan isu kepada Perdana Menteri secara langsung, spontan dan terbuka dan Perdana Menteri pula menjawabnya dengan cara yang sama. Tidak pernah ada program dialog rakyat yang melibatkan Perdana Menteri atau pemimpin tinggi pemerintah. Bila Perdana Menteri melawat negeri-negeri, beliau berjumpa hanya dengan pemimpin dan kakitangan kerajaan yang dipaksa hadir dan anak sekolah dipaksa beratur di tengah panas, tidak dengan rakyat. Amatlah membingungkan kenapa seorang Perdana Menteri sangat takut untuk berjumpa dan bersemuka dengan rakyat. Beliau hanya berani menggunakan media kawalan BN untuk mempromosi imej dengan memaparkan perkara yang baik-baik sahaja tentang diri beliau.

Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan pernah menghantar memorandum kepada beliau di Putra Jaya menyampaikan rintihan penduduk FELDA Sendayan, dekat Seremban apabila tanah mereka “dirampas” oleh kerajaan Negeri Sembilan (yang kini didapati telah dijual kepada pemaju-pemaju dengan kerajaan Negeri Sembilan mengaut keuntungan di atas angin) tidak dibalas. Dalam memorandum itu, BPPNS meminta jawapan daripada beliau. Sampai hari ini tiada apa-apa respons dari beliau. Dipercayai memorandum itu tidak disampaikan kepada beliau oleh pegawai-pegawai beliau atau kalau sampai pun, beliau tidak menghiraukannyya. Bagi rakyat pembangkang kepada idiologi BN di Negeri Sembilan, Abdullah adalah pemimpin yang tidak langsung perihatin kepada rintihan rakyat. Banyak lagi rintihan rakyat yang disampaikan oleh pelbagai pertubuhan Melayu dan bukan Melayu yang tidak beliau jawap sampai hari ini. Itu belum kira lagi panggilan talipon dan SMS dan email yang dihantar. Sikap “couldn’t careless” beliau membawa padah.

Dengan berbekalkan “imej bersih” (Mr. Clean), beliau bertanding dan menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelima di atas flatform mahu memerangi rasuah. Dalam masa empat tahun, rasuah bukan berkurangan tetapi semakin merebak. Tun Mahathir terkenal sebagai bapa pembiak amalan rasuah di Malaysia. Abdullah Badawi pun begitu juga. Tidak berkurangan rasuah barang seinci pun selama Abdullah memerintah. Malah, amalan rasuah terus membiak. Tidak ada pemimpin BN yang ada tuduhan dan bukti rasuah ke atas mereka diambil tindakkan. Abdullah Badawai terus, bukan sahaja melindungi, memberi tempat yang selesa kepada mereka di dalam kabinet dan lain-lain fungsi kerajaan. Mereka juga diberi ruang untuk bertanding lagi dalam PRU12. Betul-betul beliau hendak menempah maut. Mungkin pemimpin UMNO yang terlibat dalam rasuah itu menjadi sumber utama kewangan UMNO. Ini sahaja alasan kenapa mereka dilindungi. Mungkin Abdullah Badawi sendiri terlibat dalam amalan rasuah, maka bagaimana beliau hendak bertindak ke atas perasuah-perasuah yang lain. Akhirnya, Malaysia kekal pada tangga ke 43 dalam Indek Persepsi Rasuah antarabangsa dan merupakan di antara negara yang paling korup di rantau ini

DEB Gagal

DEB gagal bukan kerana dasar itu tidak baik tetapi ia digunakan untuk memperkayakan pemimpin-peimpin UMNO dan kroni-kroni mereka lalu menghasilkan pelebaran jurang kaya-miskin di kalangan orang Melayu. Orang Melayu masih lagi merupakan etnik termiskin di Malaysia. Yang paling ramai miskin ialah orang Melayu. Orang Cina dan India juga masih ramai yang miskin. Jurang kaya-miskin dalam bangsa Cina dan India juga melebar. Negeri yang mempunyai kadar insiden kemiskinan tertinggi – 17% - ialah negeri Sabah yang diperintah BN. Negeri Semenanjung yang paling ramai rakyatnya miskin ialah Terenggunu. Ini secara lojiknya tidak wajar kerana Terengganu adalah “Kuwait Malaysia.” Kenapakah negeri “Kuwait Malaysia” yang diperintah BN tidak mampu membasmi kemiskinan sedang tiada rakyat miskin di Negara Kuwait di Timur Tengah? Sebab itu banyak pihak menuduh kerajaan pusat telah merompak sumber kekayaan rakyat Terengganu. Orang Cina dan India telah memberi sokongan kepada DEB kerana mereka faham pada saat kemerdekaan orang Melayulah yang paling mundur dalam segala bidang. Tetapi siapa tidak sakit hati apabila setelah 30 tahun ia dilaksankan dan ratusan bilion ringgit dibelanjakan, hasilnya tidak ke mana. Kini, DEB dilaksanakan tanpa had masa. DEB yang sekarang diteruskan tanpa had masa yang hanya akan memberi manfaat kepada segelintir orang Melayu adalah tidak adil dan di atas dasar inilah orang bukan Melayu mendapati ianya tidak berguna kalau diteruskan dan penentangan mereka ke atas DEB inilah yang membawa padah kepada Abdullah.

Rakan-rakan Abdullah dalam MCA dan Gerakan (parti kaum Cina) dan MIC (parti kaum India) pun terok perangai dan prestasi mereka. Kaum Cina marah bila pemimpin mereka hanya sekadar menjadi pak turut kepada UMNO. Suara rakyat Cina tidak sampai ke mana. Walau pun dari segi ekonomi, orang Cina paling senang dan hidup selesa dan sebagai satu kumpulan etnik minoriti di Malaysia menguasai bahagian yang besar dari kek ekonomi Negara, tetapi harta kekayaan bukan segala-galanya. Mereka juga melihat dan menilai ketidakadilan, kezaliman, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, pembaziran dan rasuah yang berlaku. Mereka juga sensitive bila ada pemimpin mereka yang terlibat dengan pelbagi skandal, mengamalkan KKN dan jarang bersuara dalam parlimen. Semuanya “yes man” belaka. Orang Cina berniaga. Bila hendak mendapatkan lesen kena bayar tol, tentulah mereka tidak berpuas hati. Siapa yang makan rasuh? Tentulah orang Melayu. Bukankah yang mengusai semua jabatan-jabatan kerajaan itu orang Melayu? Tetapi, tentulah tidak semua. Tidak hairanlah kenapa pengundi Cina berubah dalam skala yang besar dalam PRU12 ini.

Pemimpin MIC, Sami Vellu adalah “singa tua” yang sudah kehilangan pengaruh dan populariti kerana telah terlalu lama bergayut pada pucuk pimpinan. Beliau mengisytiharkan hendak menjadi pemimpin sampai mati.

Bermula dari seorang yang baik dan disukai orang India, pengaruh dan populariti beliau pada saat PRU12 sudah mencapai taraf sifar atau hampit sifar. Tetapi nafsu besar dan ganas untuk terus berkuasa sampai mati menyebabkan beliau terus bergayut pada tampuk kuasa. Kepada orang India keangkuhan (arrogance) Sami Vellu ini sudah sampai ke tahap “tidak boleh tahan” lagi.

Beliau dengar khabarnya suka mengherdik dan memaki hamun orang India. Beliau dituduh menghina orang India. Mana-mana orang India termsuklah dari kalangan pemimpin parti beliau sendiri dari peringkat nasional, negeri, kawasan mahupun cawangan yang disyaki menentang pimpinan beliau pasti menerima padah – disngkir. Lihat apa yang telah terjadi kepada mendiang Datuk K. Patmanaban dari Teluk Kemang. Ada pula yang mati kena bunuh secara mistri. Penyiasatan polis ke atas pemimpin MIC dan orang India yang mati secara mistri ini tidak pernah selesai. Maklumlah, polis dan hakim “orang dia.” Kadang-kadang ramai orang keliru, MIC ini pertubuhan ganster dan hooligan atau parti politik?

Banyak hak orang India yang disalurkan melalui koperasi Maika Holdings hilang entah ke mana. Wang yang terkumpul dalam tabung-tabung yang diwujudkan oleh penjajah British untuk kepentingan orang India khabarnya disalahgunakan. Salah satu sebab orang India ketinggalan dalam bidang ekonomi ialah harta dan hak mereka dirompak oleh pemimpin mereka sendiri. Sami Vellu cukup kaya. Buat kenduri kawin anak beliau melibatkan belanja berjuta ringgit. Salah sangka besar bagi beliau sekiranya orang India tidak mengambil kisah akan “pemaparan kekayaan” dan gaya hidup “the rich and famous” oleh pemimpin-pemimpin mereka ini. Gaji dan alaun menteri, walupun jadi menteri berpuluh tahun, longgok semua makan sikit sahaja pun tidak boleh menjadi harta bertimbun macam itu. Sudahlah itu, sistem kasta mula merebak dalam masyarkat India. Menteri Sami Vellu menempa maut beliau sendiri. Kesannya, MIC sudah hilang dari peta politik Malaysia.

Apakah BN akan Insaf?

Apakah BN akan insaf dan bertaubat? BN kini ibarat se ekor harimau yang cedera dan kebiasaannya, harimau yang cedera akan lebih ganas. Oleh itu pakatan BA harus bersedia untuk menghadapi tindakan-tindakan yang lebih ganas daripada rejim BN. Instrumen kuasa yang ada seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, media aliran perdana, institusi kehakiman, institusi polis, badan-badan seperti SPR dan BPR akan terus disalahguna dan diperalatkan untuk merampas kembali kuasa dari pakatan BA. Sukar untuk meyakini bahawa rejim BN akan membuka ruang demokrasi yang lebih luas kepada rakyat dan akan memberi ruang yang lebih di dalam media kepada BA. Kerajaan negeri-negeri yang diperintah BA harus bersediaan menghadapi pembatalan projek dan penubuhan lebih banyak lagi badan-badan persekutuan bagi mengawal peruntukan pusat supaya tidak terlepas ke tangan negeri-negeri seperti yang mereka lakukan ke atas kerajaan PAS Kelantan. Pembayaran gran kepada negeri dikuasai BA akan sengaja dilambat-lambatkan.

Walaupun di sana sudah ada banyak suara meminta Abdullah Badawi memikul tanggungjawab di atas kekalahan teruk BN dengan meletakkan jawatan, tidak mungkin ianya dihiraukan kerana masyarakat Malaysia bukan seperti masyarakat Jepun yang rela menebus keaiban dengan harikiri. Abdullah Badawi terus mendakwa dia masih menikmati sokongan yang kuat wlhal ternyata beliau telah kehilangan sokongan dari rakyat negeri beliau sendiri. Penentangan dari dalaman UMNO sendiri semakin meluas. Dalam keadaan ini, tidak mungkin Abdullah akan survive lama, mungkin paling lama setengah penggal. Semakin banyak pihak – pelbagai pertubuhan mahupun rakyat biasa - yang menyertai korus yang dimulakan dari dalaman UMNO sendiri, menggesa Abdullah - bukan melakukan hara-kiri tetapi meletakkan jawatan. Rakyat mahu beliau mengakui anak yang lahir (“own the baby, please”). Kekalahan teruk BN memang “fairly and squarely” jatuh pada pundak Abdullah.

Resepi Baik

Siapakah yang akan menggantikan Abdullah? Kemungkinan besar Najib Tun Abdul Razak. Mungkin, berita gembira bagi BA ialah, siapa sahaja yang berkuasa, Abdullah atau Najib, ia tetap merupakan resepi terbaik untuk BA menjana kemenangan yang lebih besar di dalam PRU13 nanti. Pertama, kedua-duanya merupakan pemimpin yang bermasalah dengan pelbagai skandal. Kedua, BN sudah berada ditahap “total disarray” yang memerlukan jangka masa yang panjang dan tenaga dan sumber yang besar untuk dirawat. Ketiga, pemimpin pelapis BN kurang berwibawa kerana pemimpin “tua” yang rasuah hanya mendidik pelapis yang juga rasuah bagi menyokong amalan rasuah mereka sekali gus menyebabkan BN ketandusan pemimpin yang amanah, jujur dan bebas rasuah, Keempat, retak dalam dalam parti UMNO, MIC, MCA dan Gerakan adalah besar sehingga ada ahli yang sudah berpatah arang dengan parti-parti itu. Ahli UMNO yang bertaraf “bekas” cukup ramai di dalam PKR dan PAS.

Sesungguhnya, pengundi Malaysia pelbagai bangsa telah manghayati slogan “Masa Untuk Berubah.” PRU12 menyaksikan tembok perkauman yang dibina BN runtuh, tanda mula berakhirnya ketaksuban kaum.

Dhaka, Bangladesh
15 Mac 2008

No comments: