Pakatan Barisan Alternatif (BA) – DAP, PKR dan PAS – kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum Kesebelas (PRU11) 2004. PAS kehilangan negeri Terengganu dan menang tipis di Kelantan. Kekalahan diterima dengan penuh kesabaran walau pun ianya berlaku dalam suasana pilihan raya “yang paling kotor” dalam sejarah negara. Pengundi hantu berkeliaran dan ruang bagi BA untuk mendapatkan pendedahan di dalam media perdana milik kerajaan mahu pun milik swasta hampir sifar. Imej Abdullah Badawi yang kononnya “bersih” telah memukau pengundi lalu mereka terus memenangkan BN.
Rancangan perhimpunan seratus ribu rakyat anjuran PAS untuk memprotes penipuan dibatalkan kerana ada ugutan bahawa pemimpin-pemimpin PAS akan disumbat ke dalam kem tahanan Kemunting jika perhimpunan diteruskan. Ketika himpunan dibatalkan, sudah berpuluh-puluh ribu penyokong PAS dan PKR tiba di Kuala Lumpur. Mereka pulang ke kampong masing-masing dengan rasa kecewa. Ada tuduhan bahwa pemimpin PAS penyecut, diugut dengan ISA sudah menggigil. Mengimbas kembali, ternyata pembatalan itu ada barakahnya laksana perjanjian Hudaibiyyah.
Masa yang berlalu menyedarkan rakyat bahawa mereka tidak mahu terus ditipu dan dizalimi. Mereka tidak rela dipatuk di lobang yang sama dua kali. Sudah sampai masa untuk berubah.
Bangun Dari Debu Kekalahan
Bangun dari debu kekalahan, BA membina kekuatan se awal selepas PRU11 berakhir. Mereka mengambil sikap tiada gunanya untuk cry wolf di atas kekalahan. Secara positif mereka memandang ke hadapan menangani persoalan: Bagaimanakah “kekebalan” UMNO-BN boleh ditembusi dan kekalahan boleh ditukar menjadi kemenangan dalam PRU12 yang mendatang?
Organisasi diperkemas dan diperkasa dan program turun padang menemui rakyat dipertingkat. Pemimpin-pemimpin BA menjelajah keseluruh pelusuk negara. Beberapa program besar turun ke jalan raya seperti himpunan seratus ribu rakyat 10 November 2007 dan himpunan HINDRAF telah berjaya diadakan walau pun terpaksa berdepan dengan keganasan polis dan paksaan berihat di Kemunting.
Dinafikan ruang dalam media aliran perdana, pihak BA mengeksploit sepenuhnya saluran media alternatif untuk menyampaikan maklumat tepat dan benar kepada rakyat. Peningkatan mendadak celik-komputer di kalangan rakyat khasnya golongan muda meluaskan pengkalan sokongan bagi BA. BA melancarkan perang siber. Cubaan BN untuk mencekik media alterntif ternyata tidak berkesan.
Pelbagai Program
Di samping memperhebatkan program ceramah yang merupakan program tradisi, PAS menambahkan pelbagai program dalam kerangka untuk mempromosi parti itu dan memenangi hati dan minda rakyat termasuklah program-program khidmat masyarakat, penggunaan media elektronik seperti web TV dan akhbar internet sebagai saluran alternatif untuk menyampaikan maklumat, mengadakan majlis-majlis dialog, majlis makan malam dan minum teh petang, persidangan-persidangan, seminar dan pelbagai lagi. Program berjalan tanpa henti, dalam cuaca panas mahu pun hujan.
Walaupun diakui program-program yang disebut bukan cara terbaik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat kerana jangkauannya yang terhad, itu sahaja yang terbuka kepada PAS apabila semua saluran media perdana dimonopoli kerajaan BN.
Lebai Profesional
Untuk meluaskan tapak sokongan orang bukan Melayu, PAS menubuhkan kelab-kelab penyokong PAS di seluruh negara. Semakain ramai orang bukan Islam memahami perjuangan PAS.
Pemimpin-pemimpin dari peringkat bawah sampailah ke peringkat tinggi dengan tidak jemu-jemu merancang dan melaksanakan program parti yang sukar dikira banyaknya. Beratus-ratus program berjalan serentak di seluruh negara setiap hari khasnya dihujung minngu. Semua ini dengan biaya yang datang dari poket ahli sendiri. Pengorbanan ahli tidak mengenal batas dan tidak pula pernah mengharapkan balasan kecuali redha Allah SWT.
Sejak dari tahun 1998, parti PAS telah menjadi tadahan kepada kemasukan ahli profesional ke dalam parti itu, kebanyakan meninggalkan UMNO kerana bersimpati dengan Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) yang dipecat dari UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri secara aniaya dan zalim, angkara Mahathir Muhamad yang abusive. Kini PAS merupakan sebuah parti yang pimpinan dan ahlinya merupakan sebuah gabungan golangan Melayu berpendidikan agama yang dididik disekolah agama, madrasah dan universiti-universiti Timur Tengah dan golongan teknokrat Melayu yang dididik di sekolah-sekolah biasa dan universti-universti tempatan dan Barat.
Kini, tiada siapa lagi yang berani menjenamakan parti itu sebagai “parti tok lebai.” Ahli PAS yang yang cepat merentasi bilangan sejuta merangkumi seluruh lapisan masyarakat yang tiada beza antara satu sama lain umpama jemaah haji berpakaian ihram di Padang Arafah. Ukuran taraf mereka hanyalah taqwa kepada Allah SWT. Wajah baru PAS ini menyebabkan ianya lebih menarik kepada rakyat pelbagai kaum sehingga tapak sokongannya terus membesar.
Darah dan Air Mata
Kemaraan PAS dalam pesada politik negara bukan dicipta dalam satu hari satu malam. Kerja-kerja yang telah dijalankan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu dengan segala kepayahan, onak dan duri dan tribulasi yang mereka lalui memperkasakan PAS. Pimpinan silih berganti tetapi perjuangan PAS tidak pernah berganjak dari Islam yang menjadi tonggak. Pengorbanan, perjuangan dan kerja-kerja pemimpin sepertu Al Marhum Ustaz Fadhil Nor, Al Marhum Yusof Rawa dan ramai lagi kini mula berbuah lebat dan hasilnya dituai oleh pewaris perjuangan. Barisan pemimpin dan para pejuang dan aktivis yang telah shahid tetap dalam ingatan. Mereka telah memperkasakan PAS dengan air mata, darah dan jiwa dan raga.
Itulah adat perjuangan, ibarat menanam pokok. Para pejuang awalan menanam benih, menyiram air, membaja, melindungi pokok dari unsur perosak, membuat pagar dan membersihkan semak samun supaya pokok tumbuh tanpa terencat. Pokok hanya akan berbuah apabila sampai umur ianya ditakdirkan berbuah. Acapkali, si penanam tidak berpeluang menikmati buah dari pokok yang ditanam. Pokok durian hanya akan berbuah bila cukup umurnya. Buahnya pula akan gugur apabila ia sudah masak dengan sempurna. Buah yang dijolok tidak akan masak dengan sempurna dan kalau ia masak pun rasanya tidak se sedap buah yang masak secara tabii di atas pokok dan gugur dengan sendiri.
Demikianlah perjuangan PAS. Ianya untuk generasi dan pewaris yang mendatang menyambung perjuangan. Perjuangan PAS adalah satu mata rantai dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam yang diwarisi dari Nabi Muhamad SAW dan para Nabi terdahulu hinggalah ke akhir zaman.
Jangan lupa, kejayaan yang dikecepi adah berkat doa orang yang tidak jemu-jemu berdoa kepada Allah SWT.
Faktor DSAI
Kembalinya DSAI ke pesada politik tanah air (setelah dibuang kes) menyemarakkan lagi suasana politik negara. Atas sifat sebagai seorang pemimpin yang berkarisma, beliau telah berjaya membawa rakyat pelbagai kaum berjemaah di bawah parti majmuk PKR yang mana beliau menjadi penasihatnya dan isteri beliau menjadi Ketua. Beliau menjelajah ke seluruh pelusuk negara tanpa henti.
Perlu disebut bahawa DSAI adalah pemimpin perkasa hasil didikan masa dan peristiwa. Guru beliau adalah gerakan pelajar, gerakan belia Islam, air mata rakyat miskin Baling dan Pantai Dalam, hujan peluru gas pemedih mata dan air asid, penjara Kemunting, gelanggang UMNO-BN, jemaah menteri, fitnah kubra oleh Tun Mahathir Muhamad, pembelasahan sampai hampir maut oleh Ketua Polis Negara dan pakatan BA. Umum mengetahui bahawa tiada pemimpin yang telah menempuh begitu banyak onak dan duri, pahit dan maung dan tribulasi seperti DSAI.
Keunggulan dan kewibawaan beliau sebagi pemimpin cukup teruji. Di atas pimpinan beliau, PKR muncul sebagai sebuah parti yang perkasa dengan barisan pimpinan yang terdiri daripada golongan profesional dan berilmu tinggi dengan ahlinya pula merentasi pelbagai kaum dan strata masyarakat – yang kaya, pertengahan dan yang miskin. DSAI juga telah berjaya memperkasakan pakatan BA. PRU12 menyaksikan peningkatan persefahaman dan kerjasama di antara parti PAS, PKR dan DAP.
Khidmat Guaman
Parti DAP yang paling banyak memenangi kerusi parlimen dalam PRU11 terus meluaskan pengaruhnya di kalangan kaum Cina dan India dan lain-lain bangsa melalui pendekatan lawatan rumah ke rumah, program khdimat masyarakat dan melancarkan perang siber. DAP amat terkenal di kalangan masyarakat berbilang kaum kerana memberi khidmat guaman kepada golongan yang tertindas tnapa mengira kaum.
Peguam-peguam dari parti DAPlah yang memberi pembelaan kepada orang-orang Cina, India dan Melayu yang berdepan dengan permasalahan undang-undang di mahkamah. Peguam-peguam dari parti UMNO-BN tidak akan membela sesiapa pun dalam kes-kes yang tidak memihak kepada pemimpin-pemimpin dan kepentingan BN kerana takut peluang cari makan mereka tergugat.
Fitnah Belaka
Tidak boleh dinafikan bahawa wujudya pakatan PAS-PKR-DAP walaupun longgar khasnya di antara PAS dan DAP, merupakan satu faktor penting yang telah menjana kemenangan. Jika ada pengajaran dari keputusan FRU12 ini, maka pengajaran penting bagi DAP ialah tidak rugi untuk menserasikan diri dengan perjuangan PAS kerana perjuangan Islam adalah untuk menegakkan keadilan untuk seluruh manusia. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang berjuang di atas landasan bangsa, warna kulit, darah dan keturunan. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang tidak melindungi hak rakyat – Islam dan bukan Islam - apatalah lagi menafi dan merampas hak mereka. Berdosa besar bagi mana-mana pemimpin Islam yang menzalimi dan yang tidak adil kepada rakyat yang berbilang kaum.
Allah memerintahkan pemimpin Islam menegakkan keadilan untuk seluruh umat manusia. Tidak ada paksaan dalam Islam. Inilah garis besar yang menjadi landasan kepada hubungan umat Islam dan bukan Islam. Fitnah yang ditabur MCA di kalangan kaum Cina yang kononnya Islam yang dibawa PAS bersamaan dengan keganasan, bahawa jika PAS berkuasa ia akan memaksa orang bukan Islam tunduk ke bawah hukum Islam dan PAS akan merampas hak orang bukan Islam sudah tidak lagi melekat di hati dan minda kaum Cina. Akhirnya, masyarakat Cina sedar bahawa semua itu fitnah belaka. Mereka menghukum parti MCA sehingga hampir maut.
Menonjolkan Kesederhanaan
Penonjolan sifat kesederhanaan oleh pemimpin-pemimpin BA apabila pergi bertemu rakyat cukup menambat hati. Pemimpin wanita PKR, DAP dan muslimat PAS yang berpakaian sopan dan berperhiasan ala kadar dan mesra rakyat seperti Datin Sri Wan Azizah, Dr. Maria, Dr. Lo Lo Ghazali, YB. Theresa Kuok dan ramai lagi, amat serasi dengan cita rasa rakyat terbanyak. Rakyat menjadi saying kepada mereka.
Pemimpin-pemimpin UMNO-BN pula datang bertemu rakyat dengan gaya mewah “the rich and famous” mahu memaparkan kekayaan. Wanita UMNO ramai yang memaparkan gaya “ala mami jarum.” Datang pula dengan menaiki kereta mahal. Pakaian dan aksesori juga mahal-mahal belaka, jenama pereka. Yang pemimpin Islamnya, jarang pula yang betul-betul tutup aurat.
“Unsung Heroes”
Peranan pelbagai NGO yang memihak kepada BA tidak boleh diperkecilkan dalam usaha menentang kezaliman dan ketidakadilan. Walau pun bilangannya masih kecil, sudah ada NGO yang berjuang bersama-sama parti pembangkang. Ini satu faktor plus kepada BA.
Pada kemuncaknya, pengorbanan rakyat terbanyaklah yang membawa kemenangan. Rakyat berkorban tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran melainkan untuk melihat keadilan tertegak dan kezaliman berakhir. Siapakah yang turun ke Ibu Kota untuk berdemontrasi kalau bukan para aktivis dan rakyat biasa? Mereka datang dari seluruh pelusuk negara menaiki bas, keretapi, berkongsi kereta dan motor sikal dengan belanja sendiri untuk berdepan dengan polis yang ganas, pukulan baton, hujan peluru pemedih mata dan air asid malahan peluru hidup. Mereka tidak pernah takut kepada bahaya dan risiko akan maut di tangan pasukan polis. Inilah unsung heroes yang tidak pernah meminta nama mereka diagongkan. Kepada mereka cukuplah Allah yang menentukan ganjaran.
Sebenarnya, BA tidak kuat tetapi BN juga lemah. Resepi utama kemenangan ialah BA tidak jemu-jemu berusaha. Bagi PAS, pengorbanan yang panjang merentasi pelbagai generasi dan darah para syuhadah yang tersimbah di bumi dan doa yang tidak putus-putus akhirnya mula menghasilkan buah.
Setelah dikurniakan kemenangan, tugas yang lebih besar dihadapan kita untuk mengisi dan mengekalkan kemenangan. Ini adalah tugas yang jauh lebih sukar, tugas mendaki gunung (uphill task). Untuk menjana kemenagan yang lebih besar dalm PRU12, ia menuntut tidak kurang dan tidak lebih dari pengorbanan yang ikhlas, darah, air mata, jiwa dan raga dan di atas segala-segalanya doa kepada Allah SWT. Bukankah doa itu senjata ampoh kaum Muslimin? Bersyukurkan kepada Allah SWT di atas kemenangan yang dicapai dengan segala keinsafan kerana hanya Dia yang mampu dan berhak mengurniakan kemenangan kepada sesiapa yang Dia sukai.
Dhaka, Bangladesh
15 Mac 2008
No comments:
Post a Comment