Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK9, 2006-2010) telah pun dibentangkan oleh Perdana Menteri Abdullah Badawi di parlimen pada 31 Mac 2006 ini. Ia melibatkan perbelanjaan RM220 bilion, yang terbesar dalam sejarah pembangunan negara.
Peruntukan ini adalah RM50 bilion atau 29.4% lebih tinggi daripada perbelanjaan di bawah RMK8 (RM170 bilion). Kalau sejarah menjadi panduan, maka peruntukan ini masih anjal. Peruntukan RMK8 asalnya RM110 bilion tetapi menjadi RM170 bilion, tambahan sebanyak RM60 bilion atau 55%. Peruntukan RMK7 asalnya RM67.5 bilion tetapi akhirnya menjadi RM103.6 bilion, tambahan sebanyak RM36.1 bilion atau 53.5%. Maka tidak memeranjatkan kalau perbelanjaan sebenar di bawah RMK9 nanti mencecah RM330 bilion.
Bagaimanakah untuk membiayainya? Dari segi tradisinya, kerajaan akan berhutang. Jadi, boleh dijangka hutang negara – tanggungan jenarasi akan datang – turut meningkat bersama-sama pembangunan.
Dengan perbelanjaan yang begitu besar tentu banyak projek yang akan diagihkan kepada golongan kontraktor. Kalau agihan dilaksanakan secara menyeluruh dan adil, maka akan semakin ramailah rakyat Malaysia bergelar jutawan.
Namun, amalan yang telah berakar umbi hatta sudah menjadi budaya dalam tempoh 22 tahun yang lalu ialah mengagihkan projek kepada segolongan kecil rakyat yang bergelar kroni. Khabarnya, agihan projek kepada kontraktor sudah selesai.
Akhirnya, hanya sekolompok kecil rakyat menjadi kaya raya menyebabkan kekayaan negara hanya beredar di dalam kelompok kecil rakyat. Kesan mutakhirnya, pembangunan gagal membawa keadilan sosial dan agihan. Walaupun pendapatan negara dan kekayaan telah meningkat berlipat kali ganda sejak kemerdekaan, namun di sana masih ramai rakyat yang miskin. Jurang agihan di antara yang miskin dan yang kaya semakin melebar, bukan sahaja antara kaum tetapi intra-kaum. Hari ini Malaysia bukan berdepan dengan masalah pembangunan tetapi masalah besar ialah: bagaimanakah hendak membawa keadilan sosial dan agihan kepada masyarakat majmuk?
Perdana Menteri mendakwa RMK9 akan memartabatkan semula sektor pertanian di mana sebahagian besar orang Melayu menggantungkan kehidupan. Sasarannya ialah untuk menjadikan sektor ini enjin pertumbuhan ketiga selepas perkilangan dan perkhidmatan.
Pada tahun 1957, sektor pertanian menyumbang 40% kepada pendapatan negara. Lima puluh tahun kemudian sumbangannya menurun kepada sekitar 8%. Negara Thailand pun sudah maju tetapi sektor pertanian tetap dominan. Negara-negara maju seperti Belanda, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis misalnya tetap mengekalkan sektor pertanian sebagai sektor penting dan strategik tetapi nampaknya Malaysia memilih untuk membiarkan sektor ini tercicir dalam kegahirahan mengejar pembangunan perindustrian. Oleh itu, cita-cita untuk memartabatkan sektor pertanian merupakan sesuatu yang boleh dikira sebagai satu reformasi ekonomi.
Namun, kalau diteliti lebih mendalam, dakwaan ini sukar dipertahankan. Pertama, memang benar ada pertambahan peruntukan untuk pembangunan pertanian daripada RM7.7 bilion di bawah RMK8 kepada RM11.8 bilion di bawah RMK9, namum bahagiannya dari seluruh perbelanjaan pembangunan tidak banyak berubah (4.6% naik ke 5.4%). Di bawah RMK7, peruntukan untuk pembangunan pertanian jauh lebih besar, iaitu, 8.2%. Kedua, kalau dibandingkan dengan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM29.7 bilion atau 13.5% dari seluruh peruntukan di bawah RMK9, maka peruntukan untuk pembangunan pertanian memang kecil, tidak sampai 40% dari peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri. Ertinya, RMK9 adalah “rancangan pembangunan berjiwa perdana menteri” bukan berjiwa rakyat. Apakah alasan untuk memberikan peruntukan yang begitu besar kepada Jabatan Perdana Menteri? Ketiga, negeri-negeri yang akan dijadikan tumpuan di dalam pembangunan pertanian tidak dikenalpasti. Secara logiknya, negeri-negeri itu sepatutnya negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu memandangkan sektor pertanian masih dominan di negeri-negeri ini. Namun, peruntukan pembangunan di bawah RMK9 bagi kumpulan empat negeri ini berjumlah RM26.3 bilion (12%) berbanding dengan RM32 bilion bagi Sabah dan Sarawak (14.5%) dan RM33.1 bilion bagi Wilayah Persekutuan (15%). Oleh itu dakwaan untuk memajukan sektor pertanian hanyalah slogan, tidak disertai dengan komitmen kewangan yang setimpal.
Memandang kehadapan, dengan dua lagi rancangan pembangunan lima tahunan (RMK10, 2011-2015 dan RMK11, 2016-2020), maka sampailah Malaysia ke taraf negara maju. Anggaran peruntukan perbelanjaan di bawah RMK10 boleh mencecah RM500 bilion dan RMK11 pula RM750 bilion. Bayangkan bagaimana besarnya perbelanjaan pembangunan negara dalam tempoh 15 tahun akan datang ini – ianya melebihi RM1,000 bilion atau RM1 trilion. Itulah kekayaan negara kita. Dengan pembangunan yang menelan belanja yang besar ini, maka beberapa persoalan asasi datang ke fikiran kita: Bagaimanakah agaknya wajah negara maju yang akan terjelma? Apakah negara kita akan berwajah seperti negara Singapura, Amerika, England, Perancis, Jerman, Swizterland atau Hong Kong? Sektor manakah yang dominan di dalam ekonomi pada ketika itu nanti – perkilangan, pembinaan, perlombongan, pertanian atau perkhidmatan? Bagimana dengan kedudukan ekonomi kaum-kaum pada masa itu? Apakah apabila disebut negara maju, semua negeri-negeri dalam Malaysia mencapai taraf kemajuan yang sama atau masih ada negeri yang tarafnya negara sedang membangun? Tidak mudah untuk menjawab persoalan ini. Namun, wajah negara yang kita lihat hari ini dan corak pembangunan yang dilalui, memberi sedikit gambaran tentang wajah sebuah negara maju yang akan lahir dalam tahun 2020.
Setelah lapan rancangan pembangunan lima-tahunan dilaksanakan, masih banyak objektif utama pembangunan belum dicapai sepenuhnya. Matlamat penstrukturan semula masyarakat yang ideanya datang dari Allahyarham Tun Abdul Razak masih belum tercapai. Beliau mahukan pengenalan kaum-kaum mengikut sektor ekonomi, jenis pekerjaaan dan geografi – orang Melayu di dalam pertanian tradisional dan orang bukan Melayu menguasai sektor moden, orang Melayu menguasai pekerjaan yang rendah produktiviti dan rendah pendapatan sementara orang bukan Melayu menguasai pekerjaan berpendapatan tinggi dan orang Melayu tinggal di kawasan luar bandar sementara penduduk bandar majoritinya orang bukan Melayu - dihapuskan tetapi ini belum lagi tercapai sepenuhnya. Walaupun telah berlaku penhijrahan luar bandar ke bandar, penhijrahan itu bukanlah sesuatu yang dirancang. Akhinya, orang Melayu yang berpindah ke bandar terjebak di dalam gejala kemiskinan bandar. Mereka menguasai kawasan setinggan, tinggal di kawasan perumahan yang penuh sesak dan berkualiti rendah, terjebak dalam pelbagai kemelut sosial dan keruntuhan akhlak dan golongan Melayu “peneroka bandar” lahir sebagai golongan “urban poor” yang terbesar di negara ini.
Tidak dinafikan bahawa ada orang Melayu peneroka bandar yang datang ke kota untuk mencari penghidupan baru ini telah berjaya mengubah nasib membawa keluarga keluar dari kancah kemiskinan, tetapi rata-rata orang Melayu peneroka bandar secara majoriti masih tergolong dalam golongan warga kota berpendapatan rendah dan miskin. Orang Melayu yang terbabit di dalam bidang pekerjaan bertaraf profesional dan berpendapatan tinggi masih minoriti. Orang Melayu yang bergelar usahawan memang ada tetapi mereka adalah golongan minoriti. Di dalam bidangan industri pengilangan, orang Melayu terlalu jauh ketinggalan di belakang kaum bukan Melayu. Pergilah ke mana sahaja di Malaysia ini khususnya kawasan perindustrian, dari berpuluh-puluh ribu kilang yang ada, hendak mencari satu kilang yang dimiliki oleh orang Melayu, amatlah sukar. Dari segi pekerjaaan pula, orang Melayu majoritinya menjadi pekerja berpendaptan rendah di sektor perkilangan.
Pekerjaaan seperti operator pengeluaran memang majoritinya Melayu tetapi bidang pekerjaan berpendapatan tinggi seperti pengurusan, perakaunan, pemasaran, kejuruteraan dan sebagainya, semuanya dikuasai oleh orang bukan Melayu. Pembangunan perindustrian memang telah berjaya meningkatkan pendapatan negara berlipat kali ganda dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan tetapi ia belum mampu membawa orang Melayu ke dalam arus perdana perindustrian.
Orang Melayu bukan sekadar tercicir di dalam sektor perindustrian, bahkan di dalam pelbagai sektor lain pun penguasaan orang Melayu masih lemah. Bidang pekerjaan sektor awam seperti kakitangan kerajaan (civil servant) dari peringkat tertinggi hinggalah ke bawah memang dikuasai oleh orang Melayu. Begitu juga kakitangan sektor keselamatan seperti polis, tentera, bomba dan juga kakitangan keselamatan swasta (jaga, misalnya) memang dikuasai oleh orang Melayu. Ini bidang tradisional orang Melayu yang diwarisi sejak zaman penjajah dan penguasaan orang Melayu di bidang ini tidak banyak berubah sehingga sekarang. Bahkan menjadi kakitangan kerajaan menjadi kebanggaan orang Melayu. Orang bukan Melayu khasnya orang Cina nampaknya tidak berminat untuk menjadi pekerja bergaji tetap.
Selain daripada sektor awam, penyertaan orang Melayu belum sampai ke peringkat dominan. Pergilah ke mana jua di seleruh negara, pasti dapat diperhatikan bahawa pusat membeli belah tiada satu pun yang dimiliki oleh kaum Bumpiputera. Ruang niaga runcit mahupun borong, semuanya dimiliki oleh orang bukan Melayu. Ada, bukan tidak ada orang Melayu yang berniaga tetapi tempat mereka berniaga tidak strategik, pasarannya hanya untuk orang Melayu, tempat berniaga hanya di kawasan Melayu. Ramai pula yang berniaga di pinggir-pinggir jalan dan di premis perniagaan haram menunjukkan bahawa orang Melayu tidak mampu untuk membeli rumah kedai. Ruang pejabat yang moden di bangunan-bangunan pencakar langit memang tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Hotel-hotel kebanyakan milik orang bukan Melayu.
Dua sektor utama di dalam ekonomi – perkilangan yang menyumbang sekitar 31% (2005) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perkhidmatan yang menyumbang kira-kira 58% (2005) kepada KDNK – adalah dikuasai oleh orang bukan Melayu. Diunjurkan sektor perkilangan dan perkhidmatan akan kekal sebagai sektor utama ekonomi menjelang 2020. Implikasinya ialah kecuali kaum Melayu dapat membuat “significant inroad” ke dalam kedua sektor moden ini dalam 15 tahun akan datang, kedua-dua sektor terkaya dalam ekonomi ini akan terus dikuasai secara dominan oleh kaum bukan Melayu.Ini bermakna sekarang ini wujud jurang yang cukup lebar dalam agihan pendapatan dan kekayaan antara kaum. Sukar diagggarkan berapa lama lagi jurang ini akan dapat dirapatkan. Usaha kerajaan hendak merapatkan jurang ini selama 40 tahun yang lepas hanya mencapai kejayaan terhad. Kalau 8 rancangan Malaysia tidak menghasilkan pencapaian yang diharapkan, apakah kita yakin bahawa di sana ada sesuatu yang “magical” di dalam RMK9, RMK10 dan RMK11 yang mampu melonjakkan pencapaian orang Melayu di dalam bidang ekonomi khasnya dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan, sehingga boleh “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan lain-lain kaum di negara ini?
Bagaimanakah wajah Malaysia dalam tahun 2020? Kalaulah hasil lapan rancangan pembangunan dan hasil Dasar Ekonomi Baru dan pola RMK9 yang nampaknya sama sahaja dengan RMK yang telah dilaksanakan, boleh dijadikan ukuran, maka lanskap ekonomi Malaysia pada tahun 2020 tidak akan bebas daripada elemen-elemen berikut:
Tidak diragui bahawa kekayaan negara akan bertambah dan pendapatan negara lebih tinggi tetapi jurang penguasaan ekonomi antara kaum akan melebar dengan bahagian orang Melayu tetapi kecil. Jurang antara orang berada dan tidak berada juga akan melebar. Begitu juga jurang agihan pendapatan antara kaum dan intra kaum. Intisarinya, isu “social and distributive justice” akan menjadi isu dominan di dalam ekonomi Malaysia menjalang tahun 2020.
Di samping pencapaian orang Melayu di dalam bidang pendidikan yang rekodnya lebih baik sedikit dari sektor-sektor lain, penguasaan orang bukan Melayu dalam bidang profesional dan bidang pekerjaan berpendapatan dan berproduktiviti tinggi akan terus dominan. Ini adalah kerana penguasaan orang bukan Melayu dalam sektor moden - pemiliki-pemilik bukan Melayu tentu memberi peluang yang lebih luas kepada pekerja bukan Melayu di dalam agihan pekerjaan.
Wajah kawasan bandar di seluruh negara akan kekal dengan penduduk majoriti bukan Melayu. Cita-cita untuk mengubah struktur penduduk bandar bagi menghapuskan pengenalan kaum mengikut georafi sukar dilaksanakan. Hari ini, hampir semua bandar besar dan kecil di Malaysia (kecuali, di negeri-negeri Pantai Timur), majoriti penduduknya kaum bukan Melayu. Ini bermakna, dari segi politiknya, kawasan bandar akan akan terus dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu akan terus menjadi penghuni kawasan desa dengan serba kekurangannya. Kemudahan yang dibangunkan di kawasan desa tidak mungkin akan menyamai kemudahan yang dibangunkan di kawasan bandar. Harga rumah kediaman yang semakin mahal di luar kemampuan orang Melayu untuk memilikinya. Sebab itulah taman-taman perumahan – baru mahupun lama – penduduknya majoriti bukan Melayu. Ini akan kekal menjelang tahun 2020.
Negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung mungkin berjaya mencapai status negara maju memandangkan tumpuan pembangunan adalah di negeri-negeri ini. Negeri-negeri Pantai Barat bukan sahaja mendapat peruntukan pembangunan yang lebih besar tetapi ia juga menjadi pusat tadahan kepada kemasukan pelaburan asing. Negeri-negeri “Malay belt” akan kekal sebagai negeri-negeri yang tercicir dari segi pembangunan ekonomi mewujudkan pola “dual ecocomy.” Pola pembangunan ekonomi wilayah yang tidak seimbang seperti yang berlangsung sekarang pasti mewujudkan jurang pembangunan yang melebar di antara “Malay belt” dan negeri-negeri majoriti bukan Melayu.
Menjelang tahun 2020, kemelut sosial dan keruntuhan akhlak di Malaysia akan lebih parah jika keadaan yang ada sekarang menjadi ukuran. Jiwa agama yang semakin luntur, pengaruh budaya hedonisma yang semakin merebak dan sikap liberal pemerintah di dalam hal akhlak dan tata susila pasti membawa kepada gejala “moral decadence” yang tidak terkawal. Kadar jenayah pasti memuncak seperti yang dihadapi oleh negara-negara Barat sekarang. Ini adalah kerana pembangunan yang dilaksanakan di negara kita adalah mengikut acuan Barat.
Adalah dijangkakan bahawa pola pembangunan yang dibawa di dalam RMK9 tidak akan berbeza daripada rancangan-rancangan yang sebelumnya. Tuntutan liberalisasim, globalisasi dan meritokrasi akan menjadikan kandungan “affirmative action” di dalam rancangan pembangunan semakin cair dan akhirnya tidak relevan. Orang Melayu yang bercakap untuk kepentingan kaumnya sahaja lambat laun akan tersisih dan tiada siapa yang mahu mendengar suara mereka. Menjelang tahun 2020, orang Melayu tetap ketinggalan di belakang kaum lain dalam pelbagai aspek kehidupan.
Subang Jaya
14 Julai 2006
1 comment:
penulisan ini menyebabkan saya terjaga daripada lena. terimakasih diucapkan dengan buah fikiran yang diberikan....teruskan berusaha untuk memajukan diri sendiri dan membimbing rakan rakan sekeliling bersama sama menuju kejalan kejayaan...
Post a Comment