Sunday, November 11, 2012

Wajarkah FELDA Global Ventures disenaraikan di Bursa Saham?



Dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober 2011 lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVHSB), syarikat milik penoh Federal Land Development Authority (FELDA)  akan disenaraikan di Bursa Malaysia pada pertengahan tahun 2012. Nampaknya, cadangan ini dibuat menggantikan cadangan Tun Mahathir untuk menyenaraian Felda Holdings Berhad lapan tahun lalu (2004) yang tidak jadi dibuat kerana dibantah peneroka FELDA.

Kalau dahulu Felda Holdings Berhad (FHB) dicadang disenaraikan tetapi kali ini syarikat yang memiliki 49% saham dalam FHB, iaitu, FGVHSB dicadang disenaraikan. FGVHSB dikatakan sebuah syarikat bertaraf global kerana memiliki operasi perniagaan di merata dunia. Namun, hasil utamanya berpunca dari sektor perladangan di Malaysia.

Tujuan Penyenaraian

Tujuan penyenaraian ialah untuk menjana modal dari sumber pasaran modal bagi mengembangkan perniagaan Felda seperti membeli dan membangunkan tanah ladang di luar negeri, membangunkan industri hiliran kelapa sawit dan getah, mengembangkan perniagaan Felda ke sektor bukan komoditi dan mengantarabangsakan operasi perniagaan. Matlamatnya ialah untuk menjana sekuarang-kurangnya 30% hasil dari industri hiliran.   Anggaran awal menunjukkan penyenaraian mampu menjana dana sebesar USD2 bilion (RM6 bilion).

Penyenaraian juga bertujuan menarik pelabur asing untuk melabur dalam Bursa Malaysia sekali gus merancakkan aktiviti dagangan. Pada masa ini pelabur luar dikatakan tidak memasuki Bursa Malaysia secara aktif kerana kekurangan penyenaraian syarikat bertaraf mega.  Felda telah pun mengenalpasti bakal calon pelabur yang dikategorikan sebagai “strategic partners” seperti rakan kongsi niaga yang memilki “strong global presence” dari luar negeri dan institusi  kumpulan dana seperti KWSP, KWAP, PNB dan kerajaan-kerajaan negeri di mana kawasan FELDA terletak yang bakal melanggan saham FGVHSB. 

Walaubagaimana pun, Koperasi Permodalan Felda (KPF) dikatakan akan menjadi pemegang saham terbesar FGVHSB selepas penyenaraian itu tetapi nisbah pemilikan tidak diberitahu.

Dengan penyenaraian, FGVHSB kelak akan menjadi saham sektor perladangan nombor satu di Bursa Malaysia, malah di dunia dengan ladang seluas 880,000 hektar dan pengeluaran CPO sebanyak 3 juta metrik ton setahun.  “Market capitalization” dianggar akan mencecah RM70 bilion. Sime Darby yang kini menduduk tempat pertama akan jatuh ke tempat kedua dan Golden Hope ketiga. Saham FGVHSB bakal menjadi saham “blue chip.”

Penyenaraian juga bertujuan membolehkan peneroka dan kakitangan FELDA yang memilki 51% saham dalam FHB melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) mencairkan harta mereka yang nilainya telah naik berganda-ganda. 

Dengan penyenaraian, KPF boleh mencairkan sebahagian daripada saham yang dimilikinya dan keuntungan modal (capital gain) yang dijana bolehlah diagihkan kepada peneroka dan kakitangan Felda yang menjadi ahli koperasi. KPF yang bermodal berbayar melebihi RM1 bilion dikatakan amat kaya tunai dan membayar dividen yang relatif tinggi (dalam belasan peratus) kepada ahlinya setiap tahun.  PM menjanjikan “durian runtuh” kepada mereka. Tetapi, durian runtuh ini hanya akan diperolehi sekiranya KFP menjual saham yang dimiliki.
  
Penyenaraian FGVHSB dianggarkan menjana USD2 bilion (RM6 bilion). Andainya kesemua jumlah ini dibahagi-bahagikan kepada 112,635 peneroka FELDA, setiap orang peneroka akan mendapat sekitar RM53,000.  Kalau ia dibahagi-bahagikan kepada 1.8 juta warga FELDA (termasuk ahli keluarga peneroka), setiap orang akan mendapat sekitar RM3,000.

Dilaporkan bahawa FHB telah melantik CIMB Investment Bank Berhad, Maybank Investment Bank dan Morgan Stanley sebagai penasihat bersama bagi menguruskan penyenaraian FGVHSB di Bursa Malaysia. Penasihat-penasihat ini akan menikmati fi yang lumayan.

Kedudukan FGVHSB dalam Kumpulan FELDA

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang http://www.feldaholdings.com, Koperasi Permodalan Felda dan Felda Global Ventures holdings Sdn. Bhd. adalah pemilik Felda Holdings Berhad (FHB) pada nisbah 51:49.  Minister of Finance Incorporated memiliki se unit “saham emas” di dalam FHB.

Koperasi Permodalan Felda (KPF) adalah sebuah koperasi yang ahlinya (pemegang saham) terdiri dari peneroka FELDA dan kakiitangan FELDA, bermakna, ia adalah “investment arm” bagi peneroka dan kakitangan Felda. Oleh itu, pemiliki majoriti FHB ialah peneroka FELDA sendiri dan kakitangan FELDA walaupun tidak “direct” (iaitu, melalui pegangan saham dalam KPF). Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVHSB) pula dimiliki sepenohnya oleh Federal Land Development Authority (FELDA), sebuah agensi kerajaan Malaysia.  FGVHSB adalah “commercial entity” kepada FELDA.

Peneroka FELDA tidak mempunya apa-apa saham dalam FGVHSB. Oleh itu, syarikat-syarikat yang dimiliki oleh FGVHSB secara terus (bukan di bawah FHB) tidak ada kena mengena dengan peneroka FELDA.

Seterusnya, laman sesawang berkenaan mempaparkan bahawa FHB memiliki 56 buah syarikat (47 daripadanya aktif) yang dikategorikan sebagai berikut: Anak syarikat milik terus (direct subsidiaries) sebanyak 15 buah, anak syarikat milik secara tidak terus (indirect subsidiaries) sebanyak 18 buah, syarikat bersekutu (Associated companies) sebanyak 16 buah, syarikat usaha sama (joint ventures) sebanyak  2 buah dan syarikat pelaburan (investment companies) sebanyak  5 buah.

Oleh kerana KPF memilki 51% saham dalam FHB, maka KPF ada hak ke atas setiap syarikat yang dimiliki FHB. Dalam struktur organisasi FHB, di dapati kesemua syarikat-syarikat diletakkan di bawah FHB bermakna KPF ada hakmilik ke atas anak-anak syarikat berkenaan.

Laman online “Business Times” melaporkan bahawa selain daripada memilki FHB, FGVHSB adalah juga pemegang saham terbesar dalam MSM Malaysia Holdings Berhad, pengilang gula yang terbesar di Asia Tenggara.   MSM Malaysia Holding Berhad baru sahaja disenaraikan pada 28 Jun 2011. Didakwa, kejayaan penyenaraian MSM mendorong penyenaraian FGVHSB. Harga IPO MSM ialah RM3.38 dan pada hari pertama penyenaraian harga naik ke RM4.45 (+RM1.07) dan kini telah menjadi lebih dua kali ganda.

Harus dingat bahawa KPF tidak ada hak ke atas anak-anak syarikat milik terus FGVHSB kerana KPF tidak memiliki sebarang saham dalam FGVHSB. Oleh itu, KPF tiada hak ke atas syarikat tersenarai MSM. Kalau KPF hendak memiliki saham dalam MSM kenalah ia beli sendiri.
 
Penyenaraian MSM tidak boleh disamakan dengan penyenaraian FGVHSB sebab MSM bukan milik KPF (“investment arm” bagi peneroka Felda) sedangkan kesemua syarikat yang dimiliki FHB adalah juga milik KPF.
 
Sementara itu, maklumat yang dipaparkan di laman online Bloomberg-Businessweek nampaknya bercanggah dengan maklumat yang dipaparkan dalam dalam http://www.feldaholdings.com, iaitu, ia menunjukkan Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (FGVHSB), yang ditubuhkan dalam tahun 2007 sebagai sebuah syarikat pegangan pelaburan (investment holding company), adalah sebuah anak syarikat kepada Felda Holdings Berhad (FHB) sedangkan maklumat dalam laman sesawang FELDA menyatakan sebaliknya, iaitu, FHB dimiliki oleh FGVHSB (49%). Laman online B-BW juga melaporkan bahawa sebanyak 49% saham dalam FHB dimiliki pula oleh Felda Global Group (FGG) dan FGG juga memiliki FGVHSB tetapi nisbahnya tidak dinyatakan. Kalau kita merujuk kepada laman http://www.feldaholdings.com,  kita dapati FGG ini tidak wujud di dalam struktur organisasi FHB.

Dirasakan maklumat dalam http://www.feldaholdings.com adalah sahih. Analisis yang dibuat di dalam  makalah ini berasaskan bahawa FGVHSB memiliki sebanyak 49% saham  di dalam FHB. Oleh yang demikian. menyenaraikan FGVHSB dibursa saham bererti, secara tidak langsung menyenaraikan FHB, pemilik kepada ladang (kelapa sawit dan getah) yang terbesar di Malaysia yang keluasannya melebihi 880,000 hektar yang mana seluas kira-kira 500,000 hektar adalah milik terus peneroka dan 380,000 hektar milik Felda Plantation Sdn. Bhd. Sebenarnya, tanah seluas 380,000 ini juga adalah milik peneroka kerana penerokalah, de facto, yang memiliki Felda Plantation Sdn. Berhad.

Penyenaraian Pintu Belakang

Penyenaraian FGVHSB bererti menyeraikan FHB secara “pintu belakang.” Apabila percobaan Tun Mahathir untuk menyenaraikan FHB dalam tahun 2004 ditolak oleh peneroka FELDA kerana ia bererti menjual tanah milik peneroka kepada pelabur bukan peneroka termasuk pelabur luar negera, kini kerajaan UMNO-BN cuba sekali lagi untuk menjual tanah peneroka FELDA.

Penyenaraian FGCHSV, jika berjaya dilaksanakan kali ini, bererti mededahkan harta strategik – khasnya tanah - milik peneroka FELDA kepada pelabur-pelabur bukan peneroka termasuk pelabur asing. Ini bermakna menjual “angsa yang mengeluarkan telur emas” yang selama ini menjadi sumber rezeki kepada peneroka FELDA kepada golongan kapitalis yang tamak dan rakus yang memikirkan semata-mata hal keuntungan.   Taukeh judi yang kaya tunai misalnya, bila-bila masa sahaja boleh “mengepong” pasaran dan membeli sebahagian besar saham FGVHSB menyebabkan kawalan ke atas tanah Felda terlepas kepada pelabur yang kaya.

Tidak dinafikan penyenaraian syarikat dibursa saham membawa pelbagai faedah kepada pemilik asal sesuatu entiti perniagaan. Di antara manfaat penyenaraian termasuklah, pertama, mendapat akses kepada sumber baru modal bagi membangun dan mengembangkan perniagaan dan kedua, membolehkan pemilik asal perniagaan mencairkan pelaburan dengan mendapat keuntungan dan wang ini boleh dilaburkan dalam perniagaan yang lain. Peneroka FELDA yang telah menunggu sekian lama tentulah akan menjual saham mereka apabila harga saham naik berganda tanpa memikirkan bahawa menjual saham bererti  menjual tanah yang telah mereka miliki sekian lama.

Keburukan dari penyenaraian termasuklah, pertama, oleh kerana saham sekarang dimiliki oleh ramai pemegang saham, pemilik asal akan kehilangan kawalan ke atas perniagaan dengan kemungkinan pemilik asal akan kehilangan semua hak milik di dalam perniagaan itu. Kedua, pemegang saham yang bukan peneroka FELDA dan pelabur asing boleh menjadi pemegang saham majoriti dalam FGVHSB lalu mengenepikan kepentingan peneroka FELDA. Bila saham dijual, pemegang asalnya akan menikmati “capital gain” tetapi selepas itu tiada lagi pendapatan dalam bentuk dividen.

Untuk menjamin kesinambungan milik peneroka ke atas tanah yang telah mereka usahakan sejak berpuluh-puluh tahun, maka tidak wajar FGVHSB yang memiliki FHB disenaraikan. 

Kalau FELDA ingin meneruskan penyenaraian berkenaan, maka hendaklah dikeluarkan tanah seluas 880,000 hektar itu (termasuk Felda Plantation Sdn. Bhd.)  dari FHB dan diletakkan di bawah satu entiti lain, misalnya diletakkan terus di bawah KPF yang 100% dimiliki peneroka dan kakitangan FELDA. Ini menjamin harta strategik ini akan terus berada di tangan peneroka. Anak-anak syarikat berdaya maju yang lain boleh disenaraikan dan ini sudah cukup untuk menjana keuntungan modal yang lumayan kepada FELDA dan warga FELDA keseluruhannya. Kalau setiap tahun sebuah syarikat yang aktif itu disenaraikan, ia akan mengambil masa selamat 47 tahun untuk menyenaraiakna semua anak syarikat itu.

Kenapa tanah yang seluas 880,000 hektar itu mahu dijual?


Subang Jaya
Jumaat, 11 November 2011
Felda 


No comments: