Tuesday, October 25, 2011

Siaran Akhbar Pengerusi, Lajnah Ekonomi BPPNS berkaitan Belanjawan BN 2012

Soalan 1
Banyak pihak berpandangan Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama pada Jumaat, 9 Oktober lalu adalah belanjawan pilihanraya. Betulkah?

Jawapan 1
Jelas, Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama pada 7 Oktober 2011 berpremiskan dua isu utama, iaitu, menghadapi Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU13) dan menangani kesan jangkaan kemelut ekonomi dunia ke atas ekonomi Malaysia.

Pertama, Belanjawan 2012, tanpa ragu, berwajah belanjawan plilihanraya kerana ia mengandungi pelbagai tawaran manis untuk membeli hati pengundi dan mengagihkan “minyak pelincir” kepada jentera pilihanraya UMNO-BN dalam bentuk pemberian kontrak-kontrak kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera – digelar sebagai “projek mi segera” sebab projek-projek ini dilulus dan dilaksanakan segera dan diagihkan kepada kontraktor kelas F dan mereka akan mendapat bayaran segera, biasanya dalam masa beberapa hari sahaja selepas projek siap, supaya wang itu sempat dibelanjakan semasa kempen pilihanraya. Maka, bolehlah ditelah PRU13 akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini.

Kedua, Negara-negara Eropah dan Amerika - rakan dagang utama Malaysia – dijangka dilanda kemelut ekonomi yang berpontensi membawa impak negatif yang bukan kecil kepada ekonomi Malaysia. Oleh itu, Belanjawan 2012 mengandungi langkah-langkah fiskal mengembang (expansionary fiscal policy), iaitu, meningkatkan perbelanjaan bagi melawan arus kemelesetan (counter-cyclical). Kerajaan akan berbelanja RM232.8 bilion dalam tahun 2012, 5.8% lebih tinggi dari belanjawan tahun 2011. Perbelanjaan ini lebih rendah dari hasil yang dianggarkan RM186.9 bilion. Ini memburukkan lagi defisit yang telah dialami selama 13 tahun. Justeru, hutang negara akan terus bertimbun.

Program merangsangkan pertumbuhan ekonomi ini termasuklah meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK10 dengan peruntukan tahun 2012 sebanyak RM49.2 bilion dan melaksanakan projek-projek awam seperti menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah, menaikkan taraf hospital, menaikkan taraf jalan luar bandar, membina rumah awam kos rendah dan sebagainya dengan peruntukan RM6 bilion. Dasar mengembang belanjawan keseluruhan dijangaka menjana pertumbuhan ekonomi 5-6% dalam tahun 2012 (berbanding 5-5.5% dalam tahun 2011). Oleh itu, belanjawan 2012 bolehlah dikatakan sebagai “killing two birds with one stone.”

Soalan 2
Kalau begitu PRU13 tentu sudah dekat. Bilakah PRU13 akan diadakan?

Jawapan 2
PRU13 harus diadakan sebelum bulan Mac 2013. Kalau dikira, memang sempat untuk pembentangan Belanjawan 2013 (Oktober 2012). Namun, tidak mungkin kerajaan bersedia mengadakan pilihan raya pada satu tarikh yang terlalu dekat dengan tarikh luput parlimen sekarang. Pilihan strategik ialah mengadakan PRU13 sebaik-baik saja selepas pembentangan belanjawan, iaitu, se awal bulan November 2011 – ada ramalan pada 11 November 2011 - atau bulan Februari - Mac 2012. Telahan PRU13 akan di adakan dalam bulan Februari-Mac 2012 lebih meyakinkan kerana Perdana Menteri memerlukan ruang selesa untuk membaiki populariti beliau yang baru-baru ini dilaporkan merudum dan dalam tempoh itu pelbagai tawaran manis Belanjawan 2012 sudah melihatkan kesan. Kalau PRU13 diadakan terlalu lambat, kemelesetan ekonomi akan tiba dan mengadakan PRU13 dalam keadaan ekonomi meleset dibimbangi akan menghakis sokongan rakyat kepada UMNO-BN.

Soalan 3
Belanjawan 2012 memberi peruntukan besar kepada pembangunan kemudahan asas di luar bandar? Ada pandangan bahawa inilah cara kerajaan UMNO-BN menyalurkan dana kepada jentera pilihan raya parti kerajaan. Betulkah?

Jawapan 3
Betul. Untuk menghadapi PRU13, dana mesti dimasukkan ke dalam saku ketua-ketua cawangan dan bahagian parti pemerintah. Kalau tidak mereka tidak akan mampu menggerakkan jentera pilihanraya. Pemacak bendera, pemasang poster dan semua pekerja pilihanraya kena dibayar. Pengundi luar yang hendak balik kampung perlu diberi elaun. Kalau dana tidak ada dalam saku, tidak bergerak jentera. Ketua cawangan dan bahagian tidak mampu membelanjakan wang sendiri. Menteri-menteri pun tidak pernah mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai pilihanraya, maka tidak mungkin ketua cawangan dan bahagian hendak berbuat begitu. Peruntukan ini diberi nama baru, iaitu, “peruntukan untuk program transformasi luar bandar” tetapi hakikatnya ia adalah projek-projek “ mi segera” yang timbul semasa piliharaya raya sahaja bertujuan memancing undi dan menyalurkan dana kepada jentera pilihan raya parti.
Belanjawan 2012 memperuntukan RM1 bilion untuk projek “mi super segera” melibatkan projek seperti menaikkan taraf dewan serbaguna, membaiki surau, membina dan membaiki jambatan kampong, membersihkan parit dan lain-lain. Projek gula-gula bertujuan menawan hati penduduk luar bandar yang lain termasuklah membina jalan luar bandar dengan peruntukan RM1.8 bilion, projek bekalan air paip (RM2.1 bilion), projek bekalan api letrik (RM1.1 bilion) dan program membaiki pulih dan menyelenggara jalan luar bandar (RM500 juta) yang akan menmanfaatkan 29,000 kontraktor keas F. Sebanyak RM400 juta lagi diperuntukkan kepada projek membaikpulih sistem bekalan air di kawasan FELDA dan RM50 juta untuk projek bekalan air bersih ke estet-estet.

Ada lagi projek mi segera di bawah Kementerian Pendidikan dengan peruntukan dana khas bernilai RM1 bilion untuk membina bangunan tambahan, memperbaiki dan menyelenggara sekolah-sekolah. Sejumlah RM500 juta disalurkan kepada sekolah kebangsaan dan RM100 juta tiap-tiap satu ke sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan maktab rendah sains MARA.

Kesemuanya, projek “mi super-segera” dan “mi segera” ini melibatkan belanja sekitar RM8 bilion.

Soalan 4
Di dalam Belanjawan 2012 terdapat banyak tawaran-tawaran yang berbentuk bayaran “one-off.” Apakah bayaran “one-off” ini dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barang khasnya barang-barang keperluan harian?

Jawapan 4
Jumlah “bayaran sekali sahaja” ini dianggarkan melebihi RM3 bilion. Bayaran sekali sahaja ini memang bertujuan memancing undi. Di antara bayaran sekali sahaja ini termasuklah RM3,000 seorang kepada kakitangan JASA dan KEMAS yang tamat kontrak yang tidak dinyatakan peruntukannya, RM3,000 seorang kepada 62,000 bekas anggota SC, AC, homeguard dan jungle scout atau balu-balu mereka, dengan pruntukan dianggarkan RM186 juta, RM100 seorang kepada 5.3 juta orang pelajar tingkatan 1-5 tanpa mengira kaya atau miskin (peruntukan RM530 juta) dan voucer buku bernilai RM200 seorang kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk pelajar matrikulasi dan tingkatan 6 (peruntukan RM260 juta) dan RM500 kepada setiap isirumah berpendapatan RM3,000 sebulan dengan peruntukan RM1.8 bilion. Bayaran sekali sahaja kepada pelajar-pelajar tingkatan 1-5, pelajar institusi pengajian tinggi dan voucer buku septatutnya dihadkan kepada pelajar miskin sahaja. Apa perlunya memberi bayaran sekali kepada pelajar-pelajar kaya?

Bantuan sekali sahaja ini meringan kos hidup hanya sementara walhal kos sara hidup terus naik dari hari ke hari dan tahun ke tahun. Langkah menaikkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah – seperti mewujudkan gaji minimum, mewujudkan lebih banyak peluang kerja dan menyediakan peluang perniagan kecil - perlu dilaksanakan.

Soalan 5
Kerajaan akan menyenaraikan FELDA Global Ventures di bursa saham. Wajarkah?

Jawapan 5
Saya teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perlandangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh cadangan kerajaan ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka tetapi mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Tidak wajar syarikat ini disenaraikan. Biarlah 100% keuntungan syarikat dinikmati peneroka dan generasi peneroka yang akan datang.

Soalan 6
Apakah perbezaan di antara Belanjawan Pakatan Rakyat dengan Belanjawan Kerajaan?

Jawapan 6
Pakatan Rakyat menbentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 pada 4 Oktober 2011. Banyak perbezaannya dengan Belanjawan kerajaan UMNO-BN, di antaranya, pertama, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 (BPR2012) mengutamakan butiran-butiran perbelanjaan yang membawa manfaat maksimum kepada rakyat terbanyak, bukan kroni dan golongan kecil yang rapat dengan pemerintah. Kedua, BPR2012 mengishtiharkan perang besar ke atas gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sumber, ketidaktelusan, ketidakbertanggungjawaban dan gejala pembaziran yang dilakukan secara berleluasa oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN.
Ketiga, BPR2012 mengandungi langkah-langkah menggiat dan meningkatkan persaingan di dalam ekonomi seperti memecahkan cengkaman monopoli bertujuan mengurangkan kos perniagaan dan kos sara hidup rakyat. Keempat, BPR2012 lebih berhemat dengan peruntukan belanjawan yang lebih kecil – RM220 bilion berbanding peruntukan belanjawan kerajaan sebanyak RM232.8 bilion - dengan sasaran mengurangkan defisit dalam tahun 2012 kepada 4.4% daripada KDNK dan tahun-tahun akan datang. Kerajaan UMNO-BN meneruskan amalan berbelanja boros tanpa rancangan mengurangkan defisit.

Kelima, BPR2012 mengajak rakyat Malaysia membuat perubahan menyeluruh dalam wajah politik, sosial dan ekonomi Malaysia demi kebaikan generasi kini dan masa depan Malaysia. Keenam, BPR2012 mengajak rakyat menolak pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang korup hingga ke hempulur dan memilih sebagai ganti pemimpin-pemimpin yang bersih, beramanah, tidak boros, rendah diri dan “down-to-earth” untuk menerajui perubahan di Malaysia.
Ketujuh, BPR2012 berazam melaksanakan dasar gaji minimum RM1,100 untuk kaum pekerja di negara ini.

Soalan 7
Belanjawan 2012 dikira amat pemurah. Mampukah ia memgembalikan kuasa 2/3 majoriti kepada kerajaan UMNO-BN?

Jawapan 7
Kemurahan kerajaan ini adalah hasil asakan-asakan bertubi-tubi rakyat . Oleh itu,tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Namun, rakyat perlu diingatkan janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Kesan 54 tahun pemerintahan UMNO-BN ialah wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melainkan bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, pemborosan dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain.

Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.”

Kecurangan pilihan raya seperti wujudnya undi pos, daftar pengundi yang ternoda dengan pemberian kewarganegaraan segera kepada warga asing, daftar pengundi yang tidak bersih dan penutupan ruang media kepada Pakatan Rakyat boleh memenangkan UMNO dalam PRU13 tetapi belanjawan 2012 tidak boleh.

Soalan 8
Adakah PRNS bercadang membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 bagi Negeri Sembilan?

Jawapan 8
PAS Negeri Sembilan memang berminat untuk mengambil insiatif mengemukakan belanjawan bayangan 2012 bagi Negerii Sembilan. Kita akan bermuafakat dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat Negeri - PKR dan DAP - supaya kita mencapai persetujuan untuk membentangkan belanjawan ini pada tarikh yang sesuai.


Lajanah Ekonomi BPPNS
Seremban, NS
Isnin, 17 Oktober 2011
Siaran Akhbar

No comments: