Thursday, October 25, 2012

Dedahkan Pemegang AP Eksport Minyak Sawit




Permit diluluskan (approved permit - AP) untuk mengeksport minyak sawit mentah (crude palm oil – CPO) mula diperkenalkan dalam tahun 2000. Ianya diberikan kepada syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai kilang penapisan minyak sawit (refineries) di luar negara (termasuk syarikat usahasama) bagi membolehkan mereka mengeksport CPO ke kilang berkenaan tanpa perlu membayar 23% duti eksport ke atas CPO. Dalam kata lain, CPO yang mereka eksport ke kilang milik mereka di luar negara adalah bebas cukai (duty-free CPO eksport).

Mula-mulanya, kerajaan menetapkan bahawa sebanyak 5 juta tan minyak sawit mentah boleh dieksport di bawah sistem AP berkenaan. Sekarang, kuota ini telah dinaikkan kepada 5.6 juta tan bersamaan kira-kira 30% daripada jumlah keluaran CPO negara. Baru-baru ini dilaporkan kuota ini dinaikkan lagi sebanyak 2 juta tan kepada 7.6 juta tan atas alasan untuk menggalakkan pengksportan longgokan CPO yang tidak terjual (CPO stockfile) yang cukup tinggi sekarang dan terus bertambah.  Peningkatan CPO tidak terjual khasnya sejak kebelakangan ini disebabkan CPO Malaysia kurang laris di pasaran antarabangsa berbanding CPO Indonesia berikutan tindakan Indonesia memotong duti eksport CPO dari negara itu sejak tahun 2011 yang menjadikan harga CPO Indonesia lebih murah daripada CPO Malaysia.

Sumber terpecaya memberitahu sejumlah 50 AP telah dikeluarkan tetapi senarai pemegang tidak didedahkan sebab, menurut sumber berkenaan, ianya telah dikasifikasikan sebagai “rahsia besar kerajaan” dan diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1980 (OSA 1980).   Sumber terpecaya itu berspekulasi bahawa ada benda yang hendak disembunyikan dari pengetahuan umum, iaitu, sesetengah pemegang AP itu sebenarnya tidak layak. Peraturan ialah pemegang AP hendaklah terdiri daripada “plantation-based refiners, plantation companies in East Malaysia and/or companies having joint ventures overseas.” Pemegang yang tidak layak itu – dan mereka ini adalah kroni kepada pemimpin politik - menggunakan AP untuk berdagang CPO di pasaran CPO antarabangsa, bukannya untuk mengekport CPO ke kilang penapisan CPO milik syarikat Malaysia di luar Negara atau ke syarikat penapisan CPO usahasama syarikat Malaysia dan syarikat asing di negara pengimport. Mereka ini mengaut untung besar “atas angin” sedangkan negara rugi berbilion-bilion ringgit akibat kehilangan pungutan duti eksport.

Mengandaikah bahawa eksport CPO di bawah skim bebas duti berjumlah 5.6 juta tan dalam tahun 2012 dan harga purata CPO dalam tahun yang sama RM3,150, maka pada kadar duti 23%, kerugian cukai yang ditanggung kerajaan boleh mencecah RM4 bilion. Tentunya, kerugian cukai ini memberi kuntungan lumayan kepada pemegang  AP – yang sebenarnya merupakan spekulator pasaran -  yang tidak ada kena mengena langsung dengan industri sawit di Malaysia. Lebih menyedihkan ialah apabila tindakan kerajaan memberi AP itu gagal pula menaikkan harga CPO pada kadar yang signifikan seperti yang dimatlamatkan yang bermakna langkah berkenaan tidak membawa apa-apa kebaikan kepada pekebun-pekebun sawit khasnya pekebun kecil.

Dilaporkan bahawa di bawah kuota eksport CPO bebas duti ini, sebanyak 3.47 juta tan CPO telah dieksport ke 27 buah negara dalam tahun 2011. Negara-negara berkenaan termasuklah Maghribi dan Vietnam yang diketahui tiada syarikat-syarikat Malaysia yang memilki kilang penapis CPO di sana. Dalam hal ini, Ketua Pegawai Eksekutif PORAM (Palm Oil Refiners Association of Malaysia), Mohamad Jaafar Ahmad, dilaporkan berkata: “Kalaulah CPO yang dieksport adalah untuk syarikat usahasama Malaysia di luar negara, kenapakah negara-negara seperti Kongo, Republik Dominaca dan Maghribi di mana tidak wujud syarikat usahasama Malaysia di sana, boleh mengimport CPO di bawah kuota bebas duti ini daripada Malaysia?” (Lihat The Star Online 14 September 2012). Syarikat berasaskan sawit Malaysia juga tidak memiliki syarikat penapisan CPO usaha sama di Itali, Sepanyol dan Finland tetapi CPO bebas duti di ekport ke negara-negara ini. Semua ini membuktikan bahawa ada di kalangan pemegang AP itu bukan pihak yang ada kaitan dengan industri sawit, bahkan mereka itu sekadar spekulator pasaran. PORAM telah menerima rungutan dari ahli-ahlinya bahawa AP mengeksport CPO bebas duti telah diberikan kepada syarikat-syarikat yang tiada pengalaman di dalam industri peladangan sawit mahu pun penapisan minyak sawit.  Mereka adalah semata-mata “trading companies.”

Sepatutnya, semua CPO bebas duti berkenaan di eksport ke negara Belanda di mana syarikat-syarikat Malaysia seperti Sime Darby, IOI dan Wilmar memiliki kilangan penapisan CPO.

Dilaporkan, pemilik-pemilik kilang penapisan CPO dalam negera merungut kerana mereka tidak mendapat bekalan CPO yang mencukupi dan berterusan kerana bekalan dikuasai oleh pemegang AP yang mengeksport CPO bebas duti ke luar negara.  Mereka mempersoalkan kenapa AP berkenaan diberikan kepada pihak yang tidak layak dan seterusnya menuntut agar nama-nama pemegang AP didedahkan. Mereka ini memiliki maklumat bahawa dari sejumlah 50 AP yang telah dikeluarkan setakat ini, 50% daripada diberikan kepada syarikat yang tidak ada kena mengena langsung dengan industri pelangan sawit, penapisan CPO atau syarikat usaha sama penapisan CPO di negara pengimport. Juga, agihan kuota dikatakan berat sebelah sehingga ada di kalangan pemegang AP yang diberi kuota sehingga 500,000 tan setahun dan boleh pula memohon tambahan.         
   
Pengenalan AP untuk mengeksport CPO bebas duti bertujuan untuk melariskan jualan CPO supaya longgokan CPO yang tidak terjual dapat dikurangkan dengan harapan harga CPO akan naik ke paras yang menjamin “remunerative price” kepada peladang- peladang sawit. Namun, ada pedagang-pedagang CPO melihat bahawa “playing with stock” untuk meningkat dan mengekalkan harga CPO pada paras tentu adalah satu kepalsuan (a fallacy). Tambahan pula, pasaran minyak makanan dan lemak adalah terlalu besar yang menyebabkan tidak mungkin mana-mana “player” bertindak secara sendirian, boleh menetapkan harga mengikut kehendak sendiri.  

Adalah wajar cadangan Pegawai Eksekutif PORAM supaya pengeksportan CPO bebas duti di bawah sistem AP yang diamalkan sekarang digantung dipertimbangkan  memandangkan, pertama, duti eksport CPO telah pun dikurang daripada kadar serata 23%  kepada satu sistem duti berstruktur berasaskan harga CPO, iaitu daripada 4.5% bila harga dalam jeda RM2,250-2,400 se tan  hingalah ke paras teringgi 8.5% bila harga CPO dalam jeda RM3,450–3,600 se tan. Kedua, sistem AP bagi mengeksport CPO bebas duti dikatakan bertentangan dengan Akta Persaingan  Malaysia 2010. Ketiga, kerana sistem AP ini telah disalahgunakan oleh pihak berkuasa untuk menguntungkan pihak yang tiada sangkutan langsung dengan industri sawit. Keempat, sistem berkenaan terbukti tidak mampu meningkat dan  mengekalkan harga CPO kerana pasaran minyak makanan dan lemak dunia adalah terlalu besar untuk dipengaruhi oleh mana-mana “single player.”

Mekasnisma penstabilan harga yang lebih berkesan yang menjamin “remunerative price” kepada peladang sawit khasnya pekebun kecil sekaligus menjamin pendapatan mereka tidak terjejas teruk bila harga jatuh menjunam harus dicari.


Rembau NS
25 Oktober 2012
AP CPO