Wednesday, August 17, 2011

Beraya di Kaherah

Oleh

Dr. Rosli Bin Yaakop

drrjacob@yahoo.com

Saya dan isteri memutuskan kali ini kami akan merayakan Aidil Fitri di Kaherah, Mesir bersama anak-anak kami Dr. Fatimah Zaharah dan suami, Salman Al Farisi Al-Hafiz dan cucu lelaki kami yang baru berusia empat bulan, ‘Ezzat, anak bongsu kami Aishah Kamiliah Hani yang sudah memasuki tahun ketiga belajar di Kaherah dan anak ketiga kami Ain Zubaida yang datang bercuti dari London. Isteri saya mengambil penerbangan lebih awal ke Kaherah pada pagi Isnin, 6 September 2010 dan saya pada pagi Rabu, 8 September. Kami sepatutnya ke Kaherah dari Dhaka bersama-sama tetapi kerana ada tugas penting yang perlu saya bereskan sebelum bercuti, kami mengambil penerbangan berasingan.

IMG_0859.JPGOleh kerana hari raya jatuh pada hari Jumaat, 10 September maka sempatlah saya berpuasa selama dua hari di bumi Mesir. Cuaca yang nyaman dengan suhu yang sederhana menyebabkan puasa dua hari terakhir itu tidak membebankan. Berbuka puasa dengan anak-anak dan seorang tetamu bukan Islam – pelajar berbangsa Poland – amat mengembirakan. Hidangan berbuka puasa yang sederhana – buah tamar Mesir, susu dan hidangan makan malam yang terdiri dari kari dalca daging yang disediakan oleh isteri saya dan daging goring beryoghurt yang saya sendiri sediakan dan nasi beras Kalijira yang saya bawa dari Bangladesh – amat menyelerakan. Tetamu bukan Islam kami amat meminati hidangan nasi dengan kari dalca dan saya perhatikan beliau makan dengan berselera sekali.

Selepas berbuka puasa, kami bersembahyang Maghrib berjemaah diimami anak menantu saya, seorang Hafiz Al Quran yang baru sahaja menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Syariah di Universiti Al Azhar. Selepas berihat sebentar, kami ke Masjid An Nur yang terletak kira-kira lima puluh meter dari rumah kami untuk bersembahyang Isya dan Terawih. Oleh kerana waktu Maghrib di Kaherah awal – pada pukul 6.20 malam – sembahyang Terawih pun selesai awal, kira-kira pada pukul sembilan malam. Lagi pun, pada dua malam terakhir, Imam hanya membaca surah-surah pendek kerana bacaan Al Quran sudah pun dikhatamkan dua malam lebih awal.

Pengalaman bersembahyang Terawih di Kaherah memang memberangsangkan kerana jemaah yang menyertainya cukup ramai sehingga melimpah ke luar mesjid. Menurut anak saya yag telah tinggal di Kaherah selama tujuh tahun, ini adalah perkara biasa di semua masjid di Kota Kaherah di setiap bulan Ramadan. Sembahyang Terawih di semua masjid di Kaherah hanya lapan rakaat diakhiri dengan tiga rakaat witir tetapi di bahagian akhir malam diadakan Qiamullail khasnya di lima belas malam terakhir bulan Ramadan. Sesiapa yang mahu bersembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat berjemaah bolehlah ke Masjid Fatimah Zaharah di Abbas Al Akkad. Inilah satu-satunya masjid di Kota Kaherah yang diketahui mengerjakan sembahyang sunat Tarawih dua puluh rakaat.

Setiap masjid juga melimpah ruah dengan ahli jemaah yang berqiamullail khasnya di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Ini, pada hemat saya, adalah gambaran kebesaran bumi ambiya di mana sensitiviti kepada ibadat sentiasa tinggi. Satu laporan di You Tube memberitahu bahawa bilangan jemaah yang berqiamullail di Masjid Jame Ibrahim di Iskandariah khasnya di malam 27 dan 29 Ramadan mencecah 2 juta sehingga setiap ruang di jalan raya dan lorong-lorong bahkan sehingga ke tepi pantai dipenuhi manusia bersembahyang.

Kalau di Dhaka jarang sekali ditemui kaum muslimat menyertai sembahyang Terawih dan qiamullail berjemaah di masjid tetapi di Kahirah ini terlalu ramai kaum muslimat yang turut bertarawih dan berqiamullail di masjid. Malah, di banyak masjid memang disediakan ruang untuk kaum muslimat beriktikaf.

Di siang hari, diperhatikan orang-orang Mesir sentiasa menyebokkan diri dengan bacaan Al Quran. Mereka membaca Al Quran di mana-mana sahaja – di dalam kenderaan, sambil menunggu bas dan teksi ditepi jalan atau bila berihat di taman-taman – memanfaatkan setiap detik masa yang terluang. Memang orang Mesir mahir membaca Al Quran. Tidaklah saya temui satu teksi pun yang saya naiki yang pemandunya tidak memainkan keset bacaan Al Quran.

Pada malam terakhir bulan Ramadan isteri saya telah membuat satu temu janji dengan Dr. Badruddin Mustafa, seorang pakar telinga, hidung dan kerongkong (ENT) untuk pemeriksaan awal sakit telinga yang telah beliau hidapi sekian lama. Sudah puas beliau berubat di Malaysia tetapi belum ditemui jalan sembuh sepenuhnya. Beliau memutuskan mahu berubat di Mesir pula.

Kami bertolak ke klinik pada jam 9.15 malam. Memang menjadi kebiasaan di sini doktor membuka klinik mereka di sebelah malam, biasanya lepas waktu Isya hinggalah ke lewat tengah malam. Selepas pemeriksaan doktor, kami merancang akan terus ke Lapangan Terbang Kaherah menghantar tetamu kami yang mahu pulang ke Poland. Namun, kerana kesesakan jalan raya amat luar biasa pada malam itu, perjalanan 15 minit pada hari-hari biasa telah memakan masa lebih dari satu jam. Kami turun dari kereta untuk ke klinik Dr. Badruddin sementara Salman (yang memandu kereta) bersama tetamu lantas meneruskan perjalanan ke lapangan terbang. Perancangan awalnya ialah kami semua mahu menghantar tetamu ke lapangan terbang setelah pemeriksaan doktor selesai tetapi kesesakan lalu lintas menghalang kami meneruskan hajat itu.

Pemeriksaan doktor ke atas isteri saya selesai pada kira-kira pukul sebelas malam tetapi Salman masih belum sampai di lapangan terbang. Jangkaan kami memang tidak meleset. Jalan ke lapangan terbang sesak. Kami pulang ke rumah dengan menaiki teksi dan tiba di rumah pada lewat tengah malam. Salman tiba di rumah dua jam kemudian. Tetamu kami selamat berlepas ke Poland pada kira-kira jam dua pagi.

IMG_0829.JPGKeputusan pemeriksaan doktor isteri saya tidaklah mengembirakan. Besar kemungkinan pembedahan diperlukan. Doktor memberi diskripsi ubat untuk dimakan selama sepuluh hari. Selepas itu pemeriksaan akan diulang bagi menentukan sama ada pembedahan perlu diteruskan atau tidak. Kami serahkan segala-galanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa.

Tiga tahun yang lalu anak bongsu kami Aishah telah menjalani pembedahan hidung kerana ada ketumbuhan di dalam saluran hidung beliau yang sudah sampai ke peringkat mengganggu pernafasan. Memang semasa di Malaysia kami telah membawa beliau berubat dengan seorang doktor pakar tetapi anak kami masih menghadapi masalah sesak nafas. Apabila tiba di Kaherah untuk melanjutkan pelajaran pada 20 November 2007, masalah sesak nafas beliau semakin parah. Anak saya Fatimah yang ketika itu di tahun keempat di Fakulti Perubatan, Universiti Ain Sham, menasihatkan agar adik beliau dibawa berjumpa doktor pakar ENT, Profesor Dr. Redha Kamal yang mengajar di Universiti Kahirah. Kelinik beliau hanya beroperasi di waktu malam.

Kami bersyukur kepada Allah kerana isteri saya turut ke Kaherah menghantar anak kami yang baru berusia dua belas tahun lebih ketika itu untuk melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah agama swasta di sana. Setelah berulang alik ke hosptal selama dua minggu dan diperiksa rapi, memang doktor mendapati keadaan penyakit anak saya itu sudah parah dan memerlukan pembedahan segera. Doktor meletakkan kes beliau pada kategori emergency. Seperti mana kata doktor: “Not even a pinhole left in her nose tract for her to breath comfortably.” Pembedahan segera dilakukan selepas beliau menjalankan pemeriksaan imbasan CT Scan, iaitu, dua minggu selepas ketibaan beliau di Kaherah.

Isteri saya menangguhkan kepulangan ke Malaysia kerana anak saya memerlukan perhatian rapi selepas pembedahan. Bagi saya dan isteri, keputusan yang dibuat untuk menghantar anak bongsu kami itu melanjutkan pelajaran di Mesir mempunyai hikmah yang besar kerana telah ditakdirkan bahawa di bumi ambiya inilah penyakit yang telah beliau hidapi sekian lama menemui jalan sembuh. Alhamdulillah, beliau memang sihat sekarang dan dapat meneruskan pelajaran beliau tanpa gangguan. Insha Allah, dalam dua atau tiga tahu lagi beliau akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Al Azhar.

Di satu sisi, isteri saya amat gembira kerana anak bongsu kami selamat menjalani pembedahan hidung dan apabila beliau meninggalkan Kota Kaherah pada 25 Decmber 2007, anak kami itu memang sudah hampir sembuh sepenuhnya. Namun, di sisi yang lain, beliau ditimpa kesedihan kerana semasa berada di Mesir, ayahanda mertua saya meninggal dunia secara mengejut diserang penyakit jantung. Beliau meninggal pada awal pagi 20 Desimber 2007 bersamaan hari pertama Raya Aidil Azha. Secara kebetulan, ketika itu saya dalam penerbangan pulang ke Malaysia dari Dhaka untu merayakan Hari Raya Aidil Azha bersama ibu di kampong. Setiba saya di lapangan terbang KLIA pada jam 5.10 pagi, anak sulong saya Sarah menalipon memberitahu bahawa datuk telah pulang ke Rahmatullah pada pukul 4.30 pagi. Saya terus menalipon isteri di Mesir tetapi memang tidak mungkin beliau dapat pulang segera ke Malaysia. Beliau meminta saya menguruskan pengkebumian. Setiba di rumah di Subang Jaya, saya dan anak-anak terus bergegas ke Pulau Pinang dan tiba di rumah kami di Pulau Pinang pada kira-kira jam 11 pagi. Sembahyang jenazah dan pengkebumian bagi arwah ayahanda mertua saya dilaksanakan selepas selesai sembahyang zohor. Alhamdulillah, memang ramai orang yang menyembahyangkan jenazah beliau.

Apabila isteri saya kembali ke Malaysia pada 26 Desimber 2007, kami terus ke Pulau Pinang menziarahi makam ayahanda mertua saya. Kalaulah bukan kerana pembedahan anak kami, isteri saya memang sudah berada di Malysia pada 16 Desimber dan berkesempatan menatap wajah ayahanda beliau buat kali terakhirnya. Namun, Allah telah mentakdirkan sebaliknya. Hanya Allah yang tahu betapa lukanya hati isteri saya kerana tidak dapat bersama ayahanda di akhir hayat beliau. Itulah yang telah ditentukan Allah dan haruslah kita redha.

Kecuali selama berada enam tahun di Amerika kerana melanjutkan pelajaran, tidaklah saya pernah tidak berhari raya di kampung bersama ibu dan ayah. Tetapi kali ini awal-awal lagi saya telah memberitahu ibu saya (ayah telah meninggal dunia) di kampung bahawa saya tidak akan beraya bersama beliau tetapi akan beraya di Kaherah bersama cucu pertama saya (lihat gambar pengarang dengan cucu). Kemudian di pertengahan Ramdan saya minta restu beliau sekali lagi untuk beraya di Kaherah. Setiba di Kaherah, saya terus menalipon ibu saya sekali lagi. Beliau amat gembira kerana saya telah selamat tiba di Mesir.

Sembahyang hari raya di Kaherah diadakan awal pagi, setengah jam selepas waktu syuruk. Di Masjid An Nur berhampiran tempat kediaman kami, sembahayang raya bermula tepat pada pukul 7 pagi. Di masjid inilah kami sekeluarga bersembahyang raya. Pada pukul 6.30 pagi takbir raya dimulakan. Dalam setengah jam sahaja sudah ramai jemaah berkumpul. Muslimat bersembahyang di dalam masjid dan muslimin di luar kawasan masjid dan di atas jalan raya. Kutbah hari raya agak panjang, berlangsung lebih dari sejam. Selepas kutbah selesai jemaah bersurai dan pulang ke rumah masing-masing.

Sambutan hari raya di Kaherah tidak semeriah di Malaysia. Setiap keluarga berkumpul di rumah masing-masing. Tidaklah ketara amalan ziarah menziarahi dan jamuan rumah terbuka seperti yang kita amalkan di Malaysia.

IMG_0748.JPGAnak saya Fatimah Zaharah dan Salman mengadakan rumah terbuka pada hari pertama. Lebih dari seratus orang pelajar Malaysia hadir di rumah terbuka itu. Program rumah terbuka itu dibuat dalam dua sesi. Sesi pertama yang bermula selepas solat zuhor untuk pelajar muslimat dan sesi kedua untuk pelajar muslimin bermula selepas solat Asar. Oleh kerana Apartmen tempat kediaman anak saya agak kecil, tetamu yang hadir terpaksalah duduk bersesak-sesak. Kerana ada dua sesi yang berasingan, tiadalah percampuran antara muslimin dan muslimat. Saya melihat acara rumah terbuka itu berjalan dengan penuh tertib dan dalam suasana yang cukup Islamik. Semua tetamu berpakaian menutup aurat yang sopan.

Dalam perbualan dengan pelajar yang hadir saya mendapati ramai pelajar perubatan di samping pelajar bidang agama. Pelajar dari negeri Kelantanlah yang paling ramai di Mesir diikuti pelajar dari negeri Kedah, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan. Ada juga pelajar daripada Singapura.

IMG_0766.JPGDari segi pakaian, saya perhatikan muslimat Mesir yang berpurdah jarang kelihatan, tetapi ramai yang berjubah, berkelana panjang, berbaju panjang dan bertudung walaupun ada yang tidak berapa sempurna dari segi menutup aurat. Pengaruh Barat dalam berpakaian agak menular di kalangan muslimat Mesir masa kini.

Muslimin Mesir pula ramai yang bercelana panjang dan berbaju kemeja seperti orang Barat. Ramai yang berjubah khasnya bila bersembahyang tetapi kebanyakan mereka tidak berketayap. Yang berjubah dan beserban memang jarang ditemui. Rasa saya, muslimim yang berjubah dan berserban atau yang berjubah dan berketayap lebih mudah ditemui di Malaysia berbanding di Mesir.

Di hari kedua Aidil Fitri saya mula berpuasa enam. Hari Raya Puasa yang sebenarnya bagi saya ialah pada 8 Syawal nanti. Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin diucapkan kepada semua.

No comments: