Saturday, August 26, 2006

RMK9: Iktibar dari Profil Projek Terbengkalai

Bulan lalu Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan 880 projek bernilai RM15 bilion. Ini mewakili 7% dari peruntukan berjumlah RM220 bilion di bawah RMK9. Di sana ada lagi beribu-ribu projek bernilai RM205 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 1,800 hari. Perdana Menteri berkata beliau sendiri akan memantau pelaksanaan projek bagi menentukan pelaksanaan mengikut jadual dan bertepatan dengan spesifikasi.

Namun, pengalaman memberitahu bahawa terlalu banyak projek di bawah pelbagai rancangan lima tahun yang terbengkalai, tidak disiapkan mengikut jadual dan mengikut spesifikasi. Puncanya amat jelas: pemilihan kontraktor yang tidak mengikut peraturan, kewangan kerajaan yang tidak mencukupi dan karenah birokrasi. Di sini dikesahkan dua profil projek tergendala. Kalau cara pelaksanaan projek sebegini diteruskan, sukar untuk merasa optimis bahawa pelaksanaan projek di bawah RMK9 akan berjalan lancar. Akhirnya, rancangan pembangunan lima tahun yang akan datang merupakan longgokkan projek yang tidak dapat dilaksanakan di bawah rancangan-rancangan sebelumnya.

Kes 1: Projek Pembinaan Pengkalan TLDM Tanjung Gerak, Langkawi
Projek Kemeneterian Pertahanan ini dinamakan projek pembinaan pengkalan TLDM Markas Wilayah Laut Tanjung Gerak Langkawi (“Marwilla Tanjung Gerak”) untuk dilaksanakan di bawah RMK7. Projek ini penting kerana ia akan beroperasi sebagai pusat kawalan dan pengumpulan data risikan.

Kementerian telah membeli tapak markas seluas 76 ekar dari kerajaan negeri Kedah dengan harga RM3.86 juta. Kos pembinaan projek dianggarkan RM60 juta (tahun 1998) terdiri dari kos perolehan tanah sebanyak RM10 juta dan kos bangunan dan kemudahan sebanyak RM50 juta. Bagaimana pun, bila projek dikaji semula dalam tahun 1999, kosnya melonjak ke RM200 juta atau lebih tiga kali ganda kerana dimasukkan pembinaan jeti, kelengkapan dalaman dan kos perunding.

Pada awalnya, Kementerian Pertahanan melantik Jabatan Kerja Raya sebagai agensi pelaksana projek tetapi dalam tahun 1998, Jawatankuasa Pembangunan Kementerian Pertahanan memutuskan supaya JKR diketepikan dan perunding dilantik bagi mengendalikan projek.

Projek Marwilla Tanjung Gerak dilaksanakan dalam dua fasa. Fasa 1 merangkumi kerja tanah, pembinaan pagar dan trek jip dilaksanakan di bawah RMK7. Fasa 2 merangkumi pembinaan bangunan dan kemudahan, jeti dan lain-lain dimasukkan di bawah RMK8. Anggaran projek siap dalam tempoh 5-6 tahun.

Bagi Fasa 1 perlantikan kontraktor dibuat secara tender terhad dari kalangan kontraktor yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia dalam kelas B dan BX. Pemilihan kontraktor secara tender terhad diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan. Juru audit negara dalam pengauditannya gagal mencari jawapan kenapa tiada amalan tender terbuka.

Bagi Fasa 2, perlantikan kontraktor dibuat melalui tender terbuka, iaitu, terbuka kepada kontraktor kelas A yang berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan Lembaga Pembanguan Industri Pembinaan Malaysia. Kementerian Kewangan telah melantik 3 perunding untuk projek Marwilla Tanjung Gerak.

Empat penender telah mengemukakan tender untuk Fasa 1. Pemilihan adalah berasaskan criteria harga yang ditawarkan, spesifikasi teknikal, pengalaman dan keupayaan kontraktor, kesempurnaaan dokumen tender dan kemampuan kewangan kontraktor. Akhirnya, penender yang menawarkan harga kedua terendah – RM4.24 juta telah diterima. Perjanjian kontrak ditandatangi pada Oktober 1999. Projek hendaklah disiapkan pada Mei 2000 dengan tempoh penyenggaraan selama 12 bulan selepas tarikh projek siap.

Fasa 1 disiapkan lewat. Ia siap pada Ogos 2000 (lewat 3 bulan) dan sijil perakuan siap kerja dikeluarkan pada oktober 2000.Bagi Fasa 2, seramai 45 penender mengeemukakan tawaran. Harga cut-off bagi tender Fasa 2 ini ialah RM19.16 juta. Proses penyenaraian pendek penender berlangsung seperti berikut:
1. Saringan Pertama: 9 dari 45 telah disenaraikan.
2. Saringan Kedua: 6 dari 9 disenaraikan.
3. Saringan Ketiga: 3 dari 6 disenaraikan. Nama 3 penender ini telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Perakuan, Kementerian Pertahanan.
4. Jawatankuasa Perakuan telah memperakukan 1 dari 3 penender dan nama penender ini telah dikemukakan kepada Lembaga Tender Perolehan (Pembangunan), Kementerian Pertahanan. Penender ini menawarkan harga RM18.95 juta.

Walau bagaimana pun, Lembaga Tender Perolehan (Pembangunan), Kementerian Pertahanan tidak memilih penender yang telah diperakukan oleh Jawatankuasa Perakuan. Sebuah syarikat lain yang tidak memasuki tender telah dianugerahkan dengan kontrak Fasa 2. Kenapa penender yang telah diperakui ditolak dan kontraktor yang tidak pernah masuk tender dianugerahkan projek merupakan satu mistri yang juru audit negara sendiri gagal merungkainya.

“Kontraktor lain” ini menawarkan harga RM18.98 juta, iaitu, RM0.03 juta lebih tinggi dari penender yang diperakui oleh Jawatankuas Perakuan. “Kontraktor lain” yang dipilih ini berjanji menyiapkan projek di bawah Fasa 2 dalam tempoh 75 minggu.

Penjumpaan audit mendapati bahawa “kontraktor lain” ini tidak mematuhi syarat-syarat tender anataranya ia gagal mengemukakan data teknikal dan tidak mengemukakan maklumat mengenai kakitangan.

Kontrak Fasa 2 ditandatangani pada Julai 2002 dan dijangka siap pada Jun 2003 dengan tempoh penyenggaraan selama 12 bulan dari tarikh projek siap.

Projek Fasa 2 gagal disiapkan pada waktu yang dijanjikan. Pada Jun 2003, ia hanya siap 58%. Kontraktor dibenarkan tarikh lanjutan sehingga Mac 2004. Bila tempoh lanjutan siap, projek masih tidak siap – hanya 77% siap. Tarik penyiapan dilanjutkan lagi ke Mei 2004. Tidak juga siap. Akhirnya, pada Julai 2004, Sijik Perakuan Kerja Tidak Siap dikeluarkan kepada kontraktor. Audit mendapati sebab utama kegagalan projek ialah kelemahan kontraktor – kekurangan staf teknikal, kelemahan kewangan sehinga pekerja, sub-kontraktor dan pembekal bahan binaan tidak dibayar dan pelbagai lagi kelemahan.

Pada Oktober 2004 sebuah syarikat telah dilantik sebagai kontraktor penyelamat tetapi ia menarik diri kerana dihalang untuk memasuki tapak oleh pekerja yang tidak dibayar gaji oleh kontraktor asal. Kontraktor penyelamat kedua dilantik pada November 2004. Kontraktor ini pun mungkir janji tetapi Kementerian Pertahanan tidak merampas Bon Pelaksanaan. Ini bertentangan dengan amalan biasa. Kenapa? Tidak diketahui.

Lawatan audit ke tapak projek mendapati pagar telah runtuh dan bangunan di vandalise.

Peruntukan asal projek berjumlah RM200 juta.tetapi nilai projek yang ditenderkan hanya RM2.24 juta (Fasa 1) dan RM18.98 juta (Fasa 2). Kenapa? Kerana ada bahagian-bahagian projek seperti jeti, quarters dan bangunan Area Logistic Deport (ALD) telah ditangguhkan dan dibawa ke RMK9.

Pembinaan jeti diserahkan semual kepada JKR. Ia telah diluluskan pada tahun 2003 dan Kementerian Kewangan telah memanggil tender tetapi tender dibatalkan kemudian atas alasan “…Kementerian mempunyai masaalah aliran tunai…”

Projek Fasa 1 sepatutnya merangkumi kuarters pegawai dan anggota TLDM yang mana Kementerian Pertahanan telah memohon peruntukan sebanyak RM45 juta di bawah RMK8 tetapi Kementerian Kewangan hanya meluluskan RM30 juta. Kementerian Pertahanan mendapati peruntukan ini tidak mencukupi. Akhirnya, projek ditangguhkan.

Juru audit negara merumuskan bahawa projek terbengkalai kerana ketidakcukupan peruntukan dan kelemahan kontraktor yang mana pemilihannya telah dibuat tanpa mengikut prosidur yang betul.

Kes 2: Pembinaan Kompleks Jabatan Laut Wilayah Selatan, Tanjung Pelepas, Johor

Projek bernilai RM49.9 juta ini adalah pusat kawalan dan pengawasan radar bagi mengawasi lalu lintas di Selat Melaka. Perancangan dan pelaksanaan projek diletakkan di bawah Cawangan Pengkalan Udara dan Marin, Jabatan Kerja Raya. Permohonan pengambilan tanah dibuat pada Mac 1995 tetapi Surat Hak Milik Sementara hanya dikeluarkan oleh kerajaan negeri Johor hanya pada Mac 2000, iaitu, 5 tahun kemudian. Akibatnya, projek yang dirancang untuk dilaksanakan di bawah RMK7 ditunda ke RMK8 dan peruntukan projek meningkat ke RM55 juta atau 10%.

Pemilihan kontraktor dibuat secara tender terbuka mengikut syarat-syarat dalam Surat Pekeliling Ketua Pengarah JKR Bil. 4 Tahun 1993.

1. Tender dibuka pada Disember 2000. Sejumlah 27 penender mengemukakan tawaran.
2. Saringan Pertama: 14 penender disenaraipendekkan.
3. Saringan Kedua: 5 penender disenaraipendekkan.
4. Saringan Ketiga: 3 penender disenaraipendekkan.
5. Saringan Keempat: Satu penender dipilih dan kemudiannya diperakui oleh Jawatankuasa Penilaian Tender.

Walaubagaimana pun, Lembaga Tender Kementerian Kerja Raya telah menganugerahkan projek kepada kontraktor lain yang tidak melalui proses pemilihan tender secara terbuka. Ini direstui oleh Perbendaharaan Malaysia. Kontraktor kelas A ini bermodal RM5 juta tetapi juru audit negara tidak dapat menentukan kriteria pemilihan. Audit membuat rumusan bahawa “pemilihan kontraktor … bertentangan dengan peruntukan yang ditetapkan dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya.”

Sijil siap Praktikal untuk projek telah dikeluarkan September 2004 tetapi juru audit mendapati banyak ketidakpatuhan berlaku kepada syarat-syarat kontrak dan spesifikasi kerja. Tambakan tanah projek ditetapkan pada 3.3 meter tetapi JKR bersetuju ianya dikurangkan kepada 2.9 meter. Namun, tambakan yang dibuat tidak sampai 2.9 meter. Walau bagaimana pun, JKR telah membayar harga tambakan 3.3 meter, iaitu, sebanyak RM5.29 juta menyebabkan lebihan bayaran kepada kontraktor sebanyak RM0.7 juta. JKR juga telah terlebih bayar sebanyak RM252 ribu kepada kontraktor bagi pembenaan tembok RC Deck bagi penampanan hakisan ombak. Pelbagai kerosakan lain ke atas projek termasuklah pemendapan longkang, saiz kabel bumi yang dipasang tidak memenuhi piawaian Institute of Electrical Enginners (IEE), iaitu, tidak kurang dari 16mm persegi tetapi yang dipasang hanya 2.5mm persegi, besi reinforcement tidak diturap dengan simen dan lain-lain.

Audit merumuskan bahawa kegagalan projek disiapkan mengikut jadual adalah berpunca dari pelbagai sebab termasuklah masa yang terlalu panjang diambil dalam urusan tanah dan pemilihan kontraktor yang tidak mengiukut peraturan sehingga berlaku keadaan di mana pembinaan tidak mengikut spesifikasi dan penyeliaan kerja tidak memuaskan.

Jelas bahawa kontraktor yang masuk tender dizalimi. Mereka masuk tender dan sudah dapat tender tetapi akhirnya tender dihijack dan diberi kepada kontraktor yang tidak pernah masuk tender. Lebih buruk lagi kontraktor yang mendapat projek tidak memenuhi syarat yang kerajaan sendiri tetapkan. Akhirnya projek tergendala. Bukankah di sini nyata ada penyelewengan dan salahguna kuasa? Akhirnya rakyat yang rugi.

Subang Jaya
20 Ogos 2006

No comments: