Tuesday, October 25, 2011

Mengintai Belanjawan 2012

Dijangka Belanjawan 2012 yang bakal dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 (PM-MK1) pada 7 Oktober 2011 ini berpremiskan dua perkara utama, iaitu, Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU13) dan jangkaan kemelut ekonomi dunia, khasnya ekonomi Eropah dan Amerika yang dihantui krisis hutang. Oleh kerana Eropah dan Amerika adalah rakan dagang utama Malaysia, kemelut ekonomi yang bakal melanda itu dijangka membawa impak negatif yang bukan kecil kepada ekonomi Malaysia.

Oleh itu, Belanjawan 2012, pada bahagian pentingnya, pastinya mengandungi langkah-langkah untuk menangani impak negatif itu. Justeru, bolehlah ditelah bahawa PM-MK1 akan mengemukakan dasar fiskal mengembang (expansionary fiscal policy), iaitu, meningkatkan perbelanjaan bagi melawan arus kemelesetan (counter-cyclical). Ini pasti memburukkan lagi defisit fiskal.
Pilihan raya Umum Ketigabelas (PRU13) akan diadakan pada bila-bila masa sebelum bulan Mac 2013, mungkin sebaik-baik saja selepas pembentangan belanjawan, iaitu, se awal bulan November 2011 atau bulan Februari - Mac 2012. Kalau tidak, mungkin pada satu tarikh dalam bulan Jun - November 2012. Tetapi, iannya tidak mungkin terlalu dekat dengan tarikh luput parlimen sekarang.

Telahan bahawa PRU13 akan di adakan dalam bulan Februari-Mac 2012 lebih meyakinkan kerana PM-MK1 memerlukan ruang selesa untuk membaiki populariti beliau yang dilaporkan merudum sejak kebelakangan ini. Kalau PRU13 diadakan terlalu lambat, kemelesetan ekonomi akan tiba dan mengadakan PRU13 dalam keadaan ekonomi yang meleset pastinya menghakis sokongan rakyat kepada UMNO-BN. Namun, tarikh sebenarnya hanya beliau dan isteri yang tahu.

Sekiranya PRU13 akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini, maka Belanjawan 2012 pastinya belanjawan plilihanraya yang di dalamnya terkandung tawaran-tawaran manis untuk membeli hati pengundi dan mengagihkan “minyak pelincir” kepada jentera pilihanraya UMNO-BN dalam bentuk pemberian kontrak-kontrak kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera – digelar sebagai “projek mi segera.” Projek-projek ini dilulus dan dilaksanakan segera dan kontraktor (orang parti) mendapat bayaran segera – beberapa jam dan hari sahaja selepas projek siap - supaya sempat dibelanjakan semasa kempen pilihanraya.
Dana mesti dimasukkan ke dalam saku ketua-ketua cawangan dan bahagian. Kalau tidak mereka tidak akan mampu menggerakkan jentera pilihanraya. Pemacak bendera, pemasang poster dan semua pekerja pilihanraya kena dibayar. Pengundi luar yang hendak balik kampung perlu diberi alaun. Kalau dana tidak ada dalam saku, macetlah jentera. Takkan ketua cawangan dan bahagian hendak mengeluarkan duit sendiri. Menteri-menteri pun tidak pernah mengeluarkan duit sendiri untuk membiayai pilihanraya, takkanlah ketua cawangan dan bahagian hendak berbuat begitu.

Berdasarkan pengumuman awal pihak berkuasa dan analisis yang dibuat ahli ekonomi, pengarang cuba mengintai perkara-perkara yang besar kemungkinannya dimuatkan di dalam Belanjawan 2012.

Sudah ada pengumuman awal bahawa belanjawan 2012 akan mengandungi langkah-langkah meringankan beban kos hidup rakyat menyedari bahawa kajian pelbagai pihak menunjukkan inilah isu utama dalam PRU13 ini. Pakatan Rakyat telah mengemukakan pelbagai langkah untuk meringankan beban kos hidup yang meningkat ke atas rakyat terbanyak. Sudah tentu kerajaan UMNO-BN mahu mengemukakan satu “versi tawaran yang lebih menarik” bagi menyaingi tawaran-tawaran PR itu.
Mengurangkan kos sara hidup bermakna mengurangkan kos butir-butir utama dalam perbelanjaan isirumah yang terdiri dari belanja perumahan (sewa atau ansuran bulanan rumah), ansuran bulan kereta (atau tambang bulanan perkhidmatan pengangkutan), belanja makan minum (belanja dapur), minyak kenderaan dan belanja makan di luar rumah dan belanja penjagaan dan pendidikan anak-anak. Tetapi, perbelanjaan surirumah juga merangkumi perbelanjaan pelbagai yang lain seperti pakaian, hiburan, perubatan, membayar hutang, membaik pulih kereta, membaik pulih rumah, sumbangan kepada ibu-bapa yang tua, tabungan, belanja menyambut pelbagai perayaan dan lain-lain perbelanjaan luar jangka.

Secara umumnya, sesebuah isirumah bersaiz sederhana (terdiri dari bapa, ibu dan empat orang anak) perlu beberlanja seperti berikut: Rumah (sewa atau ansuran bulanan) – RM800 sebulan, kenderaan (sewa beli atau tambang kenderaan) – RM400 sebulan, minyak kenderaan – RM100 sebulan, belanja dapur – RM250 sebulan, makan di luar rumah – RM100 sebulan dan belanja pendidikan anak-anak – RM200 sebulan. Belanja di atas butiran-butiran utama ini sudah berjumlah RM1,850. Kalau ini dicampur dengan perbelanjaan pelbagai yang dianggarkan kira-kira RM400 sebulan, maka sebuah isirumah yang bersaiz sederhana memerlukan pendapatan bawabalik ke rumah (take-home pay) tidak kurang dari RM2,250 sebulan untuk menikamati taraf hidup yang asasi dalam dunia yang serba moden ini. Oleh kerana masih ramai rakyat Malaysia berpendapatan RM1,500 dan ke bawah sebulan, sesuatu memang perlu dilakukan untuk membolehkan segolongan besar rakyat Malaysia memenuhi tuntutan hidup yang asasi ini. Tentunya, hidup secara mewah diluar jangkauan golongan ini.

Ada dua kaedah yang boleh dilaksanakan untuk meringankan beban kos hidup. Pertama, mengurangkan kos butiran-butiran utama perbelanjaan supaya kuasa beli setiap ringgit pendapatan akan meningkat dan yang kedua, menambahkan pendapatan bolehguna (disposable income) bulanan, iaitu, menambahkan wang dalam saku rakyat supaya dalam keadaan harga yang stabil dan terkawal, kuasa beli akan meningkat. Berasaskan kepada dua keadah ini, maka boleh diramalkan bahawa Belanjawan 2012 yang bakal dibentangkan akan, di antaranya, mengandungi perkara-perkara berikut:

1. Menambahkan subsidi ke atas barangan keperluan seperti petrol, gula, tepung, beras dan minyak masak, diperkasakan dengan penguatkuasaan kawalan harga barangan dan langkah-langkah membendung inflasi. Tidak bijak namanya untuk membiarkan rakyat membayar harga pasaran yang tinggi bila harga itu ditentukan secara tidak adil oleh pemanupulasi pasaran atau pembekal monopoli. Harga petrol di stesyen pam minyak mungkin dikurangkan 10 sen lagi. Harga lain-lain barangan keperluan asasi akan dikurangkan, mungkin sebanyak 5-10 sen lagi. Atau, mungkin juga kerajaan akan memperkenalkan “food stamps” sebagaimana yang diamalkan di Amerika dan lain-lain negara maju dan memberi “cash vouchers” untuk meringankan beban kos utiliti (letrik dan air) bagi golongan rakyat berpendaptan rendah. Ini pasti menambahkan beban fiskal kerajaan tetapi dalam usaha untuk memancing undi, disiplin fiskal duduk belakang. Harus disedari bahawa sebarang langkah untuk meringan kos hidup rakyat terbanyak yang gagal mengambilkira butiran-butiran utama perbelanjaan tidak akan berkesan.

2. Mengurangkan bayaran tol sebanyak 5-10% kerana ini akan mengurangkan kos pengangkutan. Langkah ini mampu dilaksanakan memandangkan keuntungan tinggi yang dikecap pemegang-pemegang konsesi lebuhraya di negara ini. Memang ada bantahan rakyat terhadap kenaikan bayaran tol. Kerajaan dirasa akan tunduk kepada asakan-asakan rakyat. Langkah ini mungkin diperkuatkan dengan meluaskan lagi sistem pengangkutan awam dengan memberi bantuan kewangan kepada syarikat pengangkutan awam (milik kerajaan mahu pun swasta) untuk meningkatkan operasi masing-masing.

3. Memotong lagi cukai pendapatan perseorangan (personel income tax) supaya ia selaras dengan kadar cukai korporat (sekarang ini 25% sedangkan cukai pendapatan persorangan 26% bagi jeda pendapatan yang tertinggi). Kerajaan juga mungkin mengurangkan pelbagai jenis cukai yang lain, memberi pengecualian cukai (tax waiver) dan rebat (rebate). Sementara itu, “sin tax” (cukai minuman keras, rokok dan seumpamanya) dan cukai eksais dan cukai jalan ke atas kereta mewah berkapasiti tinggi (2500 cc ke atas) mungkin dinaikkan. Dikira wajar, kalau cukai eksais bagi kereta berkapasiti rendah diturunkan sebagai langkah meringankan beban kenaikan kos pengangkutan bagi berjuta-juta pemilik kereta. Walaupun ada desakan dari Kumpulan Wang Antarabangsa (IMF) supaya Malaysia melaksanakan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Belanjawan 2012 tidak akan mempekenalkan cukai ini memandangkan ianya masih belum popular di kalangan rakyat.

4. Kakitangan awam dan pesara kerajaan yang masing-masing berjumlah 1,000,000 dan 550,000 orang mungkin menerima durian runtuh sekali lagi seperti yang mereka terima dalam Belanjawan 2007 yang lalu. Dalam tahun 2007, kakitangan kerajaan dalam kategori pengurusan kanan menerima kenaikan gaji sebanyak 7.5% dan kakitangan sokongan Kategori Dua 35%. Anggota polis dan tentera pula menerima kenaikan gaji sebanyak 20%. Berkemungkinan besar tawaran yang sama akan diberikan kepada kakitangan sektor awam, mungkin quantumnya saja yang berbeza. Kerajaan juga mungkin memperkenalkan bonus - satu atau dua bulan gaji - kepada kakitangan awam, dibayar pada hujung tahun 2011 atau awal tahun 2012. Harus diingat bahawa struktur gaji kakitangan sektor awam masih relatif rendah berbanding struktur gaji sektor swasta. Sekiranya, struktur gaji sektor awam tidak ditingkatkan dari masa ke semasa selaras dengan peningkatan struktur gaji sektor swasta mulai sekarang sehingga menjelang tahun 2020 nanti, maka visi untuk Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi akan terjejas memandangkan sektor awam menyumbang sehingga 20-30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).


5. Ditelah bahawa kerajaan tidak akan bersegera melaksanakan sistem upah minimum seperti yang diamalkan oleh tidak kurang dari 140 buah negara di dunia kecuali mengumumkan pelbagai “stalling mechanism” untuk meredakan tekanan dari pekerja. Pertama, kerana sikap kerajaan yang amat mesra pemodal (employer friendly). Kedua, kerana kerajaan masih memiliki kuasa kuku besi ke atas pekerja melalui penguasai proksi-proksi kerjaaan dalam kesatuan sekerja. Ketiga, masih tersedia dengan banyaknya buruh import yang sedia menerima gaji murah di bawah upah pasaran.

6. Kemelut ekonomi yang dijangka menimpa dunia dalam tahun 2012 akan menyebabkan permintaan luaran (external demand) bagi barangan Malaysia jatuh lalu menjejaskan permintaan dalam negeri. Justeru, langkah-langkah bagi meningkatkan permintaan dalam negeri (domestic demand) perlu dilaksanakan. Di antara langkah-langkah yang boleh dilaksanakan untuk merangsangkan permintaan dalam negeri termasuklah mengurangkan caruman pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Perkerja (EPF) dari 11% sekarang ke 9%. Ahli ekonomi menganggarkan langkah ini mampu menyuntik dana sebesar RM700 - 800 juta setahun ke dalam saku rakyat. Namum, jika inflasi gagal dikawal, kuasa beli rakyat akan terus terhakis dan rakyat terus menanggung kos sara hidup yang kekal tinggi. Langkah-langkah lain termasuklah meningkatkan perbelanjaan ke atas infrastruktur dan merangsangkan pertumbukan sektor pembinaan kerana pertumbuhan sektor ini mampu membawa kesan “multiplier effect” yang tinggi ke atas penggunaaan dalam negeri. Biasanya, projek infrastruktur dianugerahkan kepada kroni yang akan memberi sumbangan dana pilihanraya. Projek infrastuktur kecil pula bertujuan memenangi hati budi pengundi luar bandar (kampung tradisi) dan bandar kecil dan menyuntik dana kepada jentera pilihan raya.

Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, pertumbuhan hasil cukai terencat, kekal pada sekitar RM150-160 bilion. Dengan kelembapan ekonomi, dijangka hasil cukai tidak akan bertambah dengan ketara. Juga, pergantungan yang semakin besar ke atas sumber hasil dari sektor petroleum dan gas boleh menyebabkan kedudukan hasil cukai menjadi tidak menentu kerana sektor ini amat terdedah kepada turun naik ekonomi dunia. Oleh itu dijangka, dengan pertambahan perbelanjaan yang ketara, iatu, 15-20% lebih tinggi berbanding tahun 2011, defisit belanjawan akan terus melebar dalam tahun 2012. Sepatutnya, dalam tahun-tahun ekonomi berkembang, di sana ada lebihan belanjawan agar lebihan yang terlonggok yang boleh digunakan dalam masa ekonomi meleset. Displin fiskal nampaknya tidak wujud di dalam kepala pemimpin kerajaan.

Subang Jaya
2 Oktober 2011
Belanjawan 2011

Siaran Akhbar Pengerusi, Lajnah Ekonomi BPPNS berkaitan Belanjawan BN 2012

Soalan 1
Banyak pihak berpandangan Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama pada Jumaat, 9 Oktober lalu adalah belanjawan pilihanraya. Betulkah?

Jawapan 1
Jelas, Belanjawan 2012 yang dibentang Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Pertama pada 7 Oktober 2011 berpremiskan dua isu utama, iaitu, menghadapi Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU13) dan menangani kesan jangkaan kemelut ekonomi dunia ke atas ekonomi Malaysia.

Pertama, Belanjawan 2012, tanpa ragu, berwajah belanjawan plilihanraya kerana ia mengandungi pelbagai tawaran manis untuk membeli hati pengundi dan mengagihkan “minyak pelincir” kepada jentera pilihanraya UMNO-BN dalam bentuk pemberian kontrak-kontrak kecil yang boleh dilaksanakan dengan segera – digelar sebagai “projek mi segera” sebab projek-projek ini dilulus dan dilaksanakan segera dan diagihkan kepada kontraktor kelas F dan mereka akan mendapat bayaran segera, biasanya dalam masa beberapa hari sahaja selepas projek siap, supaya wang itu sempat dibelanjakan semasa kempen pilihanraya. Maka, bolehlah ditelah PRU13 akan diadakan dalam tempoh yang terdekat ini.

Kedua, Negara-negara Eropah dan Amerika - rakan dagang utama Malaysia – dijangka dilanda kemelut ekonomi yang berpontensi membawa impak negatif yang bukan kecil kepada ekonomi Malaysia. Oleh itu, Belanjawan 2012 mengandungi langkah-langkah fiskal mengembang (expansionary fiscal policy), iaitu, meningkatkan perbelanjaan bagi melawan arus kemelesetan (counter-cyclical). Kerajaan akan berbelanja RM232.8 bilion dalam tahun 2012, 5.8% lebih tinggi dari belanjawan tahun 2011. Perbelanjaan ini lebih rendah dari hasil yang dianggarkan RM186.9 bilion. Ini memburukkan lagi defisit yang telah dialami selama 13 tahun. Justeru, hutang negara akan terus bertimbun.

Program merangsangkan pertumbuhan ekonomi ini termasuklah meliberalisasikan sektor perkhidmatan dan melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RMK10 dengan peruntukan tahun 2012 sebanyak RM49.2 bilion dan melaksanakan projek-projek awam seperti menaikkan taraf dan membaik pulih bangunan sekolah, menaikkan taraf hospital, menaikkan taraf jalan luar bandar, membina rumah awam kos rendah dan sebagainya dengan peruntukan RM6 bilion. Dasar mengembang belanjawan keseluruhan dijangaka menjana pertumbuhan ekonomi 5-6% dalam tahun 2012 (berbanding 5-5.5% dalam tahun 2011). Oleh itu, belanjawan 2012 bolehlah dikatakan sebagai “killing two birds with one stone.”

Soalan 2
Kalau begitu PRU13 tentu sudah dekat. Bilakah PRU13 akan diadakan?

Jawapan 2
PRU13 harus diadakan sebelum bulan Mac 2013. Kalau dikira, memang sempat untuk pembentangan Belanjawan 2013 (Oktober 2012). Namun, tidak mungkin kerajaan bersedia mengadakan pilihan raya pada satu tarikh yang terlalu dekat dengan tarikh luput parlimen sekarang. Pilihan strategik ialah mengadakan PRU13 sebaik-baik saja selepas pembentangan belanjawan, iaitu, se awal bulan November 2011 – ada ramalan pada 11 November 2011 - atau bulan Februari - Mac 2012. Telahan PRU13 akan di adakan dalam bulan Februari-Mac 2012 lebih meyakinkan kerana Perdana Menteri memerlukan ruang selesa untuk membaiki populariti beliau yang baru-baru ini dilaporkan merudum dan dalam tempoh itu pelbagai tawaran manis Belanjawan 2012 sudah melihatkan kesan. Kalau PRU13 diadakan terlalu lambat, kemelesetan ekonomi akan tiba dan mengadakan PRU13 dalam keadaan ekonomi meleset dibimbangi akan menghakis sokongan rakyat kepada UMNO-BN.

Soalan 3
Belanjawan 2012 memberi peruntukan besar kepada pembangunan kemudahan asas di luar bandar? Ada pandangan bahawa inilah cara kerajaan UMNO-BN menyalurkan dana kepada jentera pilihan raya parti kerajaan. Betulkah?

Jawapan 3
Betul. Untuk menghadapi PRU13, dana mesti dimasukkan ke dalam saku ketua-ketua cawangan dan bahagian parti pemerintah. Kalau tidak mereka tidak akan mampu menggerakkan jentera pilihanraya. Pemacak bendera, pemasang poster dan semua pekerja pilihanraya kena dibayar. Pengundi luar yang hendak balik kampung perlu diberi elaun. Kalau dana tidak ada dalam saku, tidak bergerak jentera. Ketua cawangan dan bahagian tidak mampu membelanjakan wang sendiri. Menteri-menteri pun tidak pernah mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai pilihanraya, maka tidak mungkin ketua cawangan dan bahagian hendak berbuat begitu. Peruntukan ini diberi nama baru, iaitu, “peruntukan untuk program transformasi luar bandar” tetapi hakikatnya ia adalah projek-projek “ mi segera” yang timbul semasa piliharaya raya sahaja bertujuan memancing undi dan menyalurkan dana kepada jentera pilihan raya parti.
Belanjawan 2012 memperuntukan RM1 bilion untuk projek “mi super segera” melibatkan projek seperti menaikkan taraf dewan serbaguna, membaiki surau, membina dan membaiki jambatan kampong, membersihkan parit dan lain-lain. Projek gula-gula bertujuan menawan hati penduduk luar bandar yang lain termasuklah membina jalan luar bandar dengan peruntukan RM1.8 bilion, projek bekalan air paip (RM2.1 bilion), projek bekalan api letrik (RM1.1 bilion) dan program membaiki pulih dan menyelenggara jalan luar bandar (RM500 juta) yang akan menmanfaatkan 29,000 kontraktor keas F. Sebanyak RM400 juta lagi diperuntukkan kepada projek membaikpulih sistem bekalan air di kawasan FELDA dan RM50 juta untuk projek bekalan air bersih ke estet-estet.

Ada lagi projek mi segera di bawah Kementerian Pendidikan dengan peruntukan dana khas bernilai RM1 bilion untuk membina bangunan tambahan, memperbaiki dan menyelenggara sekolah-sekolah. Sejumlah RM500 juta disalurkan kepada sekolah kebangsaan dan RM100 juta tiap-tiap satu ke sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan maktab rendah sains MARA.

Kesemuanya, projek “mi super-segera” dan “mi segera” ini melibatkan belanja sekitar RM8 bilion.

Soalan 4
Di dalam Belanjawan 2012 terdapat banyak tawaran-tawaran yang berbentuk bayaran “one-off.” Apakah bayaran “one-off” ini dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barang khasnya barang-barang keperluan harian?

Jawapan 4
Jumlah “bayaran sekali sahaja” ini dianggarkan melebihi RM3 bilion. Bayaran sekali sahaja ini memang bertujuan memancing undi. Di antara bayaran sekali sahaja ini termasuklah RM3,000 seorang kepada kakitangan JASA dan KEMAS yang tamat kontrak yang tidak dinyatakan peruntukannya, RM3,000 seorang kepada 62,000 bekas anggota SC, AC, homeguard dan jungle scout atau balu-balu mereka, dengan pruntukan dianggarkan RM186 juta, RM100 seorang kepada 5.3 juta orang pelajar tingkatan 1-5 tanpa mengira kaya atau miskin (peruntukan RM530 juta) dan voucer buku bernilai RM200 seorang kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk pelajar matrikulasi dan tingkatan 6 (peruntukan RM260 juta) dan RM500 kepada setiap isirumah berpendapatan RM3,000 sebulan dengan peruntukan RM1.8 bilion. Bayaran sekali sahaja kepada pelajar-pelajar tingkatan 1-5, pelajar institusi pengajian tinggi dan voucer buku septatutnya dihadkan kepada pelajar miskin sahaja. Apa perlunya memberi bayaran sekali kepada pelajar-pelajar kaya?

Bantuan sekali sahaja ini meringan kos hidup hanya sementara walhal kos sara hidup terus naik dari hari ke hari dan tahun ke tahun. Langkah menaikkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah – seperti mewujudkan gaji minimum, mewujudkan lebih banyak peluang kerja dan menyediakan peluang perniagan kecil - perlu dilaksanakan.

Soalan 5
Kerajaan akan menyenaraikan FELDA Global Ventures di bursa saham. Wajarkah?

Jawapan 5
Saya teringat peristiwa Gabenor Bank Negara Malaysia (Allahyarham Tun Ismail Mohd. Ali) pergi ke London (awalan tahun 1980an) melancarkan “Dawn Raid” bagi mengembalikan penguasaan syarikat perladangan terbesar di Malaysia (sekarang ini dikenali dengan nama Kumpulan Sime Darby) ke genggaman anak watan Malaysia. “Serangan komando” itu berjaya dan syarikat perlandangan itu kekal sebagai hakmilik rakyat Malaysia sehingga hari ini. Hari ini kerajaan UMNO-BN mahu membuka ruang bagi membolehkan pelabur antarabangsa menguasai sebuah syarikat perladangan bertaraf “blue chip” yang seratus peratus milik kaum Bumiputera dengan menyenaraikan syarikat itu di bursa saham. Kononnya, dengan penyenaraian itu penoraka FELDA akan menikmati “durian runtuh.” Pelik sungguh cadangan kerajaan ini. Sesuatu yang berharga yang sudah ada di dalam tangan kaum Bumiputera mahu digadaikan kepada pelabur antarabangsa. Tidakkah mereka tahu peneroka FELDA LBJ Labu dan Sendayan di Negeri Sembilan pernah mendapat “durian runtuh” bila kerajaan Negeri Sembilan membeli tanah mereka tetapi mereka kini telah kembali miskin? Hakikatnya, tanah yang tergadai tidak mungkin dapat ditebus kembali. UMNO menjaga kepentingan kaum pemodal yang rakus “at the expense of “ kaum Bumiputera yang miskin. Tidak wajar syarikat ini disenaraikan. Biarlah 100% keuntungan syarikat dinikmati peneroka dan generasi peneroka yang akan datang.

Soalan 6
Apakah perbezaan di antara Belanjawan Pakatan Rakyat dengan Belanjawan Kerajaan?

Jawapan 6
Pakatan Rakyat menbentangkan Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 pada 4 Oktober 2011. Banyak perbezaannya dengan Belanjawan kerajaan UMNO-BN, di antaranya, pertama, Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 (BPR2012) mengutamakan butiran-butiran perbelanjaan yang membawa manfaat maksimum kepada rakyat terbanyak, bukan kroni dan golongan kecil yang rapat dengan pemerintah. Kedua, BPR2012 mengishtiharkan perang besar ke atas gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sumber, ketidaktelusan, ketidakbertanggungjawaban dan gejala pembaziran yang dilakukan secara berleluasa oleh pemimpin-pemimpin UMNO-BN.
Ketiga, BPR2012 mengandungi langkah-langkah menggiat dan meningkatkan persaingan di dalam ekonomi seperti memecahkan cengkaman monopoli bertujuan mengurangkan kos perniagaan dan kos sara hidup rakyat. Keempat, BPR2012 lebih berhemat dengan peruntukan belanjawan yang lebih kecil – RM220 bilion berbanding peruntukan belanjawan kerajaan sebanyak RM232.8 bilion - dengan sasaran mengurangkan defisit dalam tahun 2012 kepada 4.4% daripada KDNK dan tahun-tahun akan datang. Kerajaan UMNO-BN meneruskan amalan berbelanja boros tanpa rancangan mengurangkan defisit.

Kelima, BPR2012 mengajak rakyat Malaysia membuat perubahan menyeluruh dalam wajah politik, sosial dan ekonomi Malaysia demi kebaikan generasi kini dan masa depan Malaysia. Keenam, BPR2012 mengajak rakyat menolak pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang korup hingga ke hempulur dan memilih sebagai ganti pemimpin-pemimpin yang bersih, beramanah, tidak boros, rendah diri dan “down-to-earth” untuk menerajui perubahan di Malaysia.
Ketujuh, BPR2012 berazam melaksanakan dasar gaji minimum RM1,100 untuk kaum pekerja di negara ini.

Soalan 7
Belanjawan 2012 dikira amat pemurah. Mampukah ia memgembalikan kuasa 2/3 majoriti kepada kerajaan UMNO-BN?

Jawapan 7
Kemurahan kerajaan ini adalah hasil asakan-asakan bertubi-tubi rakyat . Oleh itu,tidak wajar mengajak rakyat menolak gula-gula yang ditawarkan Belanjawan 2012. Yang ditaburkan adalah harta rakyat, ambillah. Namun, rakyat perlu diingatkan janganlah pemberian sekali (one-off gifts) itu menyebabkan kita menggadaikan pendirian yang membawa kerugian besar dalam lima tahun yang akan datang dan selanjutnya. Kerajaan UMNO-BN beri beras, tepong, gula, susu, minyak, kain batik, kain pelikat dan wang tunai, ambillah. Bila mengundi lain ceritanya kerana undi itu sulit. Kesan 54 tahun pemerintahan UMNO-BN ialah wajah ekonomi, politik dan sosial Malaysia sudah menjadi cukup buruk. Tawaran-tawaran manis mereka itu tidak lain melainkan bahan “make-up” murahan untuk memperlihatkan wajah luaran yang anggun tetapi hakikatnya wajah dalamannya sudah terlalu hodoh dengan amalan rasuah, salahguna kuasa, pemborosan dan memperkudakan institusi polis, kehakiman dan lain-lain.

Hari ini rakyat Malaysia hidup dalam zaman media baru yang mampu menyingkap wajah dalaman UMNO-BN betapa pun ia mahu disorokkan. Kalau mereka percaya rakyat Malaysia mudah sahaja termakan dengan gula-gula yang ditawarkan dan akan keluar berduyun-duyun memberi undi kepada mereka dalam PRU13 nanti, kerajaan UMNO-BN sebebarnya “ is sadly mistaken.”

Kecurangan pilihan raya seperti wujudnya undi pos, daftar pengundi yang ternoda dengan pemberian kewarganegaraan segera kepada warga asing, daftar pengundi yang tidak bersih dan penutupan ruang media kepada Pakatan Rakyat boleh memenangkan UMNO dalam PRU13 tetapi belanjawan 2012 tidak boleh.

Soalan 8
Adakah PRNS bercadang membentangkan Belanjawan Alternatif 2012 bagi Negeri Sembilan?

Jawapan 8
PAS Negeri Sembilan memang berminat untuk mengambil insiatif mengemukakan belanjawan bayangan 2012 bagi Negerii Sembilan. Kita akan bermuafakat dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat Negeri - PKR dan DAP - supaya kita mencapai persetujuan untuk membentangkan belanjawan ini pada tarikh yang sesuai.


Lajanah Ekonomi BPPNS
Seremban, NS
Isnin, 17 Oktober 2011
Siaran Akhbar

Hutang Amerika

Diukur dari segi nisbah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hutang negara Amerika (2010: 92%) adalah yang keempat tertinggi di dunia selepas negara Greek (123%), Itali (127%) dan Jepun (197%). Kesemua negara ini menghadapi pelbagai masalah ekonomi termasuk kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah.

Ahli ekonomi masih berbahas tentang paras hutang negara yang membahayakan ekonomi. Di antaranya, Kenneth Rogoff dan Carmen Reinhart berhujah bahawa bagi negara-negara maju, hutang negara mencapai paras bahaya apabila nisbah HN:KDNK mencecah 90% dan ke atas kerana ia memudharatkan pertumbuhan ekonomi. Bagi negara-negara sedang membangun, pertumbuhan ekonomi tertekan apabila nisbah hutang luar negara kepada KDNK mencecah 60%. Mereka seterusnya memerhatikan bahawa jarang didapati negara yang terjebak dalam hutang boleh membebaskan diri darinya dengan mudah. Prof. Paul Krugman pula berpendapat sukar untuk menentukan “paras hutang berbahaya.” Beliau melihat sebaliknya, iaitu, pertumbuhan ekonomi yang rendah menyebabkan hutang negara meningkat. Contohnya, hutang negara Jepun, negara-negara Eropah dan Amerika meningkat kerana pertumbuhan ekonomi mereka berpanjangan rendah.

Pengerusi Federal Reserve, Ben Bernake pula berhujah pengalaman dan teori ekonomi tidak menunjukkan dengan jelas paras hutang negara yang membahayakan kemakmuran dan kestabilan ekonomi tetapi mengingatkan bahawa hutang negara yang semakin besar meningkatkan risiko mungkir membayar balik hutang. Oleh itu, beliau mengsyorkan adalah wajar bagi Amerika melaksanakan rancangan mengurangkan defisit belanjawan ke paras lestari bagi menyahkan kemungkinan mungkir bayar hutang.

Hutang negara Amerika telah bertambah pada purata sebanyak USD500 bilion setahun dalam tempoh 2003-07, USD1 trilion dalam tahun 2008, USD1.9 trilion (2009) dan USD1.7 trilion (2010). Setakat 3 Ogos 2011, ia berjumlah USD14.34 trilion. Nisbah HN:KDNK mencecah 96% (KDNK: USD15.003 trilion pada 30 Jun 2011). Akibatnya, pada 5 Ogod 2011, Standard and Poor (S&P), sebuah syarikat penarafan kredit yang utama di dunia, telah menurunkan taraf kredit berdaulat Amerika dari AAA kepada AA+ dan meletakkan prospek jangka panjang sebagai negatif dengan kemungkinan penarafan diturunkan kepada AA pada bila-bila masa dalam tempoh dua tahun akan datang. Ini bermakna wujud kemungkinan Amerika akan mungkir membayar hutang.

Belanjawan 2010 pentadbiran Presiden Obama mengunjurkan peningkatan hutang negara yang besar, mencecah USD20 trilion dalam tahun kewangan 2015 (TK 2015) dan nisbah HN:KDNK mencecah 100% dalam TK 2020 (Andaian: KDNK berkembang 2.6-4.6% setahun dalam tempoh 2010-2019). Bagaimana pun, unjuran ini meleset kerana nisbah HN:KDNK telah pun mencapai hampir 100% dalam tahun 2011, sembilan tahun lebih awal.

Jabatan Audit Negara Amerika pula melakarkan keadaan yang lebih pesimistik dengan unjuran nisbah HN:KDNK meningkat kepada 200% dalam tahun 2040, 400% dalam tahun 2060 dan 600% dalam tahun 2080 sebahagian besarnya disebabkan peningkatan ketara dalam perbelanjaan mandatori (terutamanya sekuriti sosial, medicare, Medicaid dan bunga hutang negara) yang dijangka mencapai 20% daripada KDNK dalam tahun 2080. Ini bersamaan nisbah pungutan cukai kepada KDNK, bermana hasil cukai hanya cukup untuk menampung perbelanjaan mandatori. Maka, perbelanjaan diskresionari (seperti pertahanan, keselamatan dalam negara, pendidikan, penguatkuasaan undang-undang da lain-lain) harus dibiayai dari sumber bukan cukai. Di atas sebab inilah S&P melihat wujud kemungkinan bahawa Amerika bukan sahaja akan mungkir membayar hutang tetapi juga mengalami ketidakcukupan dana untuk menampong perbelanjaan.

Kenapa Hutang Negara Amerika terus meningkat sehingga menjerumuskan negara itu ke dalam krisis hutang? Defisit belanjawan meningkatkan hutang sementara lebihan mengurangkan hutang. Belanjawan yang sentiasa dalam defisit sepanjang beberapa dekad kebelakangan menyebabkan hutang negara Amerika meningkat tahun demi tahun. Dalam tahun 1994, hutang negara berjumlah USD4.65 trilion atau 67% dari KDNK. Dalam masa enam tahun berikutnya ia telah meningkat hampir tiga kali ganda menjadi USD13.551 trilion atau 93.4% daripada KDNK pada tahun 2010. Dalam tempoh Oktober 2010 – Februari 2011 ia mencecah USD14.1 trilion atau 96.8% daripada KDNK.

Tempoh semenjak tahun fiskal 2001 hingga sekarang memperlihatkan keadaan fiskal negara Amerika semakin buruk. Unjuran Jabatan Belanjawan Kongres (CBO) bahawa Amerika akan mengalami lebihan belanjawan dalam tempoh tahun kewangan 2009-2012 sebanyak kira-kira USD850 bilion setahun meleset sekali. Realitinya, berlaku defisit belanjawan pada kadar purata sebanyak USD 1.125 trilion setahun, satu lonjakan sebesar hampir USD2 trilion. Kenapa ini terjadi?

Dalam penjelasannya, Presiden Obama menyatakan bahawa sebanyak USD5 trilion daripada jumlah defisit belanjawan dalam tahun 2010-2019 (dianggarkan berjumlah USD9 trilion) berpunca dari penerusan program pentadbiran sebelum beliau termasuklah langkah pengurangan cukai tahun 2001 dan 2003 dan peningkatan perbelanjaan Medicare. Sebanyak USD3.5 trilion lagi berpunca dari belanja menangani krisis kewangan dan peningkatan belanja sekuriti sosial. Selebihnya ialah belanja berkaitan perlaksanaan pakej rangsangan dan menyelamatkan syarikat korporat.

Kajian Pew Center (April 2011) menunjukkan hayunan yang besar ini berlaku kerana, di antaranya, faktor-faktor berikut: (1) kemerosotan hasil kerana kemerosotan ekonomi (28%), (2) peningkatan belanja pertahanan (15%), (3) langkah penurunan cukai pentadbiran George Bush (13%), (4) peningkatan bayaran faedah hutang negara (11%), (5) lain-lain belanja bukan pertahanan (10%), (6) lain-lain langkah penurunan cukai (8%) dan (6) langkah rangsangan ekonomi pentadbiran Obama (6%). Dalam jangka panjang (tahun 2030-2040), perbelanjaan mandatori akan melebihi hasil cukai. Maka, perbelanjaan akan terpaksa dibiayai dengan berhutang. Sekiranya perubahan yang drastik tidak dilakukan ke atas perbelanjaan mandatori, pada tahun 2040, nisbah HN:KDNK akan mencecah 200%.

Siapakah yang meminjamkan wang kepada Amerika? Amerika meminjam dari sumber dalam negera – sekitar 50% – iaitu, dari Dana Keselamatan Sosial dan Fedreserve (berkaitan pelaksanaan dasar monetari) dan lain-lain sumber dalam negara. Hutang dari sumber ini diklasifikasikan sebagai “intra-governmental holdings” dan dianggap “tidak membimbangkan.” Pemegang awam surat hutang Amerika terdiri dari pemegang dalam negara dan pemegang asing.

Setakat Januari 2011, sebanyak USD9.49 trilion atau 47% dari hutang negara Amerika ada di dalam tangan pemegang awam. Hutang dari sumber luar negara semakin membesar, dari 13% dalam tahun 1988 kepada 25% dalam tahun 2007. Setakat Januari 2011, sebanyak USD4.45 trilion atau 32% daripada hutang negara Amerika datangnya dari sumber luar negara. Pemegang asing surat hutang Amerika yang terbesar ialah China (setakat November 2011 – 26%), Jepun (20%), United Kingdom (6%), Negara pengeksport minyak (5%), Brazil (4%), Pusat Perbankan Caribbean (4%), Taiwan (4%), Russia (4%), Hong Kong SAR (4%), Switzerland (3%) dan lain-lain. Hutang dari sumber luar negara inilah yang membimbangkan Amerika kerana ia mendedahkannya kepada risiko kewangan dan politik sekiranya pemegang surat hutang tiba-tiba menjual surat hutang itu dan bila bank-bank asing enggan membeli surat hutang Amerika. Memandangkan aset yang didenominasi dalam USD telah mengalami susut nilai, ramai pelabur dalam surat hutang Amerika telah mengalami kerugian besar sejak.

Ahli-ahli ekonomi tidak menolak kemungkinanpelabur-pelabur akan secara tergesa-gesa mencairkan pegangan surat hutang Amerika dan memberi amaran bahawa kemungkinan ini tidak boleh dipandang ringan. Jika ini berlaku, nilai matawang Amerika (USD) akan terus susut dan pemegang aset yang didominasi dalam USD terus rugi. Jika wujud sesuatu keadaan yang memburukkan ketidakyakinan pelabur dalam aset didenominasi dalam USD (misalnya, Amerika mungkir membayar hutang), pelabur akan bertindak menyekat kerugian lalu menjerumuskan Amerika ke dalam krisis pasaran kewangan yang serius. Bersamanya, akan terjadi kekalutan dalam pasaran kewangan dunia dengan implikasi besar ke atass ekonomi pelbagai negara.

Pelarian dari USD telah mula berlaku. Misalnya, bermula pada 20 Mei 2007, negara Kuwait tidak lagi mengikat matawangnya kepada USD semata-mata, sebaliknya, mengikat matawangnya kepada “sebakul matawang.” Negara Syria juga berbuat demikian pada 4 Jun 2009. Dalam bulan Novewmber 2009, China, Russia dan India menambahkan emas ke dalam pegangan rezab antarbangsa masing-masing.

Ahli ekonomi melihat hutang negara Amerika yang tinggi boleh membawa mudharat berikut: (1) semakin besar tabungan akan digunakan untuk membeli surat hutang keraajaan, bukannya dilabur dalam barangan modal produktif (pelaburan) dan ini menjejaskan pendapatan, (2) sekiranya kadar cukai dinaikkan untuk membayar bunga hutang, tabungan akan berkurangan dan semangat bekerja luntur, (3) bunga hutang yang semakin tinggi akan memaksa kerajaan memotong atau mengurangkan perbelanjaan ke atas program-program awam yang penting, (3) risiko akan melutusnya krisis fiskal secara mendadak semakin tinggi menyebabkan pemberi hutang meminta kadar bunga yang lebih tinggi, (4) hutang yang lebih tinggi memaksa kerjaaan untuk mengkitarkan semula hutang, iaitu, membayar hutang dengan membuat pinjaman baru yang akhirnya membawa kepada peningkatan bertersusan hutang negara, (5) sekiranya kerajaan meminjam dari luar negara, maka semakin besar penggantungan dana kepada sumber luar negara dan bila persepsi mengenai risiko berubah dengan mendadak di pasaran surat hutang, maka kos hutang akan turut naik dengan mendadak, dan (6) penggantungan yang semakin tinggi ke atas sumber luar negara menyebabkan kebebasan Amerika untuk menentukan polisi dan tindakan akan lebih terbatas.

Prof. Laurence Kotlikoff, dalam menilai kedudukan fiskal Amerika memberi amaran bahawa akhirnya Amerika akan terpaksa memilih di antara menjadi sebuah negara yang bankrup, menaikkan cukai atau memotong perbelanjaan. Amerika sekarang terjebak dalam “perangkap besar tiga lapis” – belanja besar, defisit besar dan hutang besar. Ia mendapati sukar untuk melepaskan diri dari perangkap ini seperti mana yang dikatakan oleh Prof. Kenneth Rogoff dan Prof. Carmen Reinhart bahawa jarang didapati negara yang terjebak dalam hutang boleh membebaskan diri darinya dengan mudah. Inilah padah pengurusan fiskal yang tidak berdisiplin dan inilah padah defisit belanjawan yang tidak terkawal.


Subang Jaya
Selasa 23 Ogos 2011
Hutang Amerika